Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Friday, October 29, 2010

Karya Ekspresi Jiwa Dan Minda


Semua orang yakin jika saya mengatakan menulis itu mudah. Memang mudah,tetapi kalau Allah tak mengizinkan,tidak walau sepatah atau sebaris ayat pun kita mampu nukilkan. Itulah kita, manusia yang sememangnya lemah dan kelemahan itu sifat kita. Kita takkan berdaya menyalahi sifat itu dan menjadi kuat tanpa bantuannya.

Susah Vs Mudah

Mudah atau susah bergantung pada Ilham yang Allah kurniakan. Ilham atau idea tidaklah sukar untuk diperolehi, hanya meneliti dan mentafsir senario masakini saja sudah mampu membuahkan seribu juta Idea, tetapi kenapa ianya masih kelihatan sukar untuk diterjemah dalam media yang menarik?

Interpretasi Idea dan Pengimplementasiannya

Apabila sebuah Idea telah menyelinap masuk dalam akal pemikiran kita, haruslah kita perkembangkan dan menginovasikan menjadi sebuah karya Kreatif yang mana mampu saja menawan hati sesiapa yang membacanya.

Bagaimana?

Skill dalam penterjemahan idea terlalu banyak. Ada antara kita suka untuk melukis, maka dengan lukisanlah idea itu disampaikan. Ada yang suka menulis lirik lagu, maka dengan Lagulah dia mempamerkan idea yang terwujud dalam benak pemikirannya. Banyak wasilah dan metod dalam penyampaian atau penterjemahan idea, dan ia boleh diasah dengan latihan yang bersungguh.

"Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka usahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya" (4:32).

Hasil sesuatu latihan boleh saja dikira dengan berapa ramai yang menjadi pengulas karya anda. Semakin banyak yang memberikan pandangan semakin baiklah penulisan itu atau karya tersebut. Skill tersendiri boleh tercipta mengikut naluri kita, personaliti kita. Dengan cara penterjemahan idea sahaja sudah mampu menggambarkan personaliti seseorang itu. Benar atau tidak?

Anda mungkin tidak percaya tetapi itu adalah kebenaran kerana ia adalah terjemahan daripada sikap kita samada kita adalah seorang yang sistematik, romantik, jiwang ataupun mempunyai semangat juang yang tinggi. Itu semua boleh dilihat daripada hasil karya yang kita implementasikan tidak kira dalam bentuk apa pun metod yang kita pilih ia tetap mencermin jiwa kita.

Seni Dakwah

Berkaryalah kerana Agama dan itu banyak manfaatnya.

Wahai pengembang dakwah, perlulah kita semua ingat sesungguhnya setiap karya itu berbeza-beza sifatnya dan bukan setiap yang kita usahakan kena pada jiwa mereka. Maka salah satu wasilah pengetuk hati-hati mereka adalah karya kreatif. Ada yang diantara saudara baru kita tertarik pada Islam hanya melalui tulisan khat. Ada pula melalui novel dan ada pula yang melalui lagu-lagu islam. Telah saya tekankan pada artikel pertama saya bahawa wasilah dakwah itu banyak selagi mana tidak bertentangan dengan syariah islam maka pergunakanlah dengan sebaiknya. Islam itu indah dan telah Allah kurniakan Quran sebagai petunjuknya dan oleh itu alangkah baiknya Al-Quran yakni karya agung ini di inovasikan isinya dan di jadikan karya yang pelbagai. Dengan itu jalan-jalan kebenaran itu makin luas dan makin terang.

"Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu: menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.(Surah ali imran 3:7 )

Islam amat memerlukan bakat-bakat ataupun potensi-potensi dalam apa jua bidang untuk dipergunakan dalam dakwah Islam. Maka, sedarlah tiap pada kita ada potensi yang telah Allah kurniakan. Ketahuilah bahawa apa guna bakat itu jika tiada sedikit dipergunakan dalam jalan yang telah Allah memberikan jaminan kebahagiaan kelak.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)' (surah assaf 61:10-11)

Thursday, October 28, 2010

Setiap Amalan Adalah Dengan Niat



Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية)



SYARAH HADITH OLEH DR. MUSTAFA AL-BUGHA DAN MUHYIDDIN MISTO

Kepentingan Hadith:

Sesungguhnya hadith ini adalah di antara hadith penting yang menjadi paksi kepada putaran Islam. Ia adalah asas kepada Islam. Kebanyakan hokum-hukam Islam bersandarkan kepada hadith ini. Ini jelas dapat dilihat daripada kata-kata para ulama’

Imam Abu Daud berkata: “Sesungguhnya hadith ini iaitu hadith bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat adalah separuh daripada Islam, kerana ad-din itu dua perkara, sama ada ianya perkara zahir iaitu amalan ataupun yang batin iaitu niat”

Sementara Imam Ahmad dan Imam Syafie pula berkata: “ Di dalam hadith ini (iaitu hadith “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat”) mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.” Kerana itulah para ulama’ suka memulakan kitab-kitab serta penulisan mereka dengan hadith ini. Imam Bukhari telah meletakkan hadith ini pada awal kitab sahihnya. Imam Nawawi juga telah memulakan ketiga-tiga kitabnya iaitu Riyadhus Sholihin, al-Azkaar dan al-Arba’uuna Hadiithan (Hadith Empat Puluh) dengan hadith ini.

Faedah pembukaan dengan hadith ini ialah sebagai peringatan kepada penuntut ilmu agar mrngikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah Taala di dalam menuntut ilmu dan melakukan amalan kebaikan.

Maksud Kalimah

Al-Khafshu: Singa dan abu khufshin adalah gelaran kepada Saidini Umar bin al-Khattab

Innama: Bahawasanya. Ia adalah huruf hasr yang bertujuan untuk menisbatkan sesuatu yang disebut selepas daripada perkataan ini dan menafikan selainnya.

Binniyat: Jamak (plural) kepada niati. Maknanya dari segi bahasa ialah tujuan. Dari segi istilah pula ialah tujuan yang diserai dengan perbuatan.

Amrii: setiap orang. Iaitu semua insane sama ada lelaki mahupun perempuan.

Hijratuhu: Hijrahnya. Hijrah pada bahasa ialah meninggalkan. Dari segi syara’, hijrah ertinya berpindah dari Negara kafir ke Negara Islam kerana takutkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan hijrah di dalam hadith ini ialah perpindahan dari Mekah dan lainnya ke Madinah sebelum berlakunya pembukaan kota Mekah.

Ilallahi: kepada Allah, iaitu ke tempat yang diredhai oleh Allah Taala dengan niat dan tujuan yang diredhaiNYA.

Fahijratuhu ilallahi warasulihi: Maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan RasulNya. Maksudnya, hijrahnya itu diterima dan diberikan ganjaran. Lidunya yushibuha: kerana dunia yang akan diperolehinya. Maksudnya, kerana tujuan keduniaan yang ingin diperolehinya.

Sebab Hadith ini Dilafazkan

Imam at-Thabrani telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir dengan rantaian perawinya yang tsiqah, daripada Ibnu Mas’ud Radhiyallahuanhu beliau berkata: “Terdapat di kalangan kami, seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai ‘Penghijrah Ummu Qais’.


Kandungan Hadith

1. Syarat Niat

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (al-‘ibadatul maqshudah) seperti sembahyang, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Manakala ibadat tidak langsung, iaitu yang hanya menjadi wasilah seperti wudhuk dan mandi, maka ulama’ Mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama’ mazhab Syafi;e dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat langsung tidak sah kecuali disertai dengan niat.

2. Waktu niat dan tempatnya

Waktu niat ialah permulaan ibadat, seperti takbiratul ihram di dalam ibadat sembahyang dan ihram di dalam ibadat haji. Manakala di dalam ibadat puasa, memadai niat sebelum bermulanya puasa kerana kesukaran untuk memerhati fajar pagi.

Tempat niat ialah di hati, justeru itu tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Walaupun begitu, disunatkan berlafaz sebagai menolong hati untuk memudahkannya mengingati apa yang ingin diniatkan. Disyaratkan juga pada niat, menentukan perkara yang diniatkan dan membezakannya daripada perkara lain. Oleh itu tidak memadai bagi seseorang itu sekadar meniatkan sembahyang sahaja, bahkan mesti menentukan jenis sembahyang tersebut sama ada zohor atau asar dan seterusnya.

3. Berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh

Hadith ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang telah berniat untuk melakukan sesuatu amal soleh, tetapi terdapat keuzuran yang kuat seperti sakit, mati atau seumpamanya yang menghalang seseorang daripada melaksanakannya, maka dia diberi pahala berdasarkan niatnya itu.

4. Ikhlas di dalam amalan dan ibadat

Hadith ini juga membimbing kita supaya ikhlas di dalam amalan dan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dan pahala di akhirat, juga mendapat taufik serta kejayaan di dunia.

5. Amalan yang bermanfaat

Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadat apabila disertai dengan niat dan keikhlasan serta menuntut keredhaan Allah s.w.t

Tuesday, October 26, 2010

Zaid Bin Tsabit - Penghimpun al-Quran


Jika anda seorang yang tekun dan selalu membaca al-Quran, anda akan menurutinya dengan teliti, surah demi surah, ayat demi ayat. Ketahuilah bahawa orang yang telah berjasa besar dan patut diberi ucapan terima kasih atas sumbangan membukukan kitab ini adalah seorang tokoh besar bernama Zaid bin Tsabit.

Peristiwa-peristiwa pengumpulan al-Quran sehingga menjadi satu mushaf (buku), tidak dapat dipisahkan daripada tokoh ini.

Sekiranya diadakan undian bintang untuk mengenang sahabat-sahabat Rasulullah yang berjasa dalam pengumpulan dan penyusunan al-Quran, maka Zaid bin Tsabit akan mendapat undian bintang tertinggi.

Beliau termasuk kaum Anshar. Sewaktu Rasulullah saw datang ke Madinah, usianya baru mencecah 11 tahun. Beliau masuk Islam bersama keluarganya dan pernah didoakan oleh Rasulullah sendiri. Satu kemuliaan tersendiri baginya.

Beliau pernah dibawa oleh ibubapanya berangkat ke Perang Badar, namun Rasulullah melarangnya ikut berperang karena usia dan tubuhnya ketika itu masih kecil.

Ketika Perang Uhud, beliau bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya meminta kebenaran daripada Rasulullah supaya diizinkan untuk ikut serta dalam peperangan. Bahkan, keluarga mereka juga turut merayu kepada Rasulullah agar diizinkan bagi mujahid-mujahid kecil ini untuk ikut sama berjihad.

Rasulullah memandang ke arah para penunggang kuda ini. Ada rasa bangga tersirat di wajah baginda. Namun, baginda tetap tidak akan mengizinkan mereka untuk bergabung dalam tentera Islam.

Rafi' bin Khadij, salah seorang daripada mereka, berdiri di hadapan Nabi dengan membawa tombak. Beliau menghayunkan tombaknya dengan hebat sekali. Kemudian, beliau berkata kepada Rasulullah, "Seperti yang Rasul lihat, aku handal melontar tombak. Oleh sebab itu, izinkanlah aku ikut berperang."

Rasulullah tersenyum dengan gelagat jaguh muda ini. Baginda terus mengizinkannya ikut berperang.

Sikap beliau telah menaikkan semangat rakan-rakannya yang lain. Sekarang tiba pula giliran Samurah bin Jundub untuk tampil ke hadapan. Dengan penuh sopan beliau menunjukkan kedua-dua lengannya yang kuat dan kental. Keluarganya berkata, "Ya Rasul, Samurah mampu mengalahkan Rafi' dalam bertumbuk."

Rasulullah tersenyum puas. Baginda memberikan keizinan kepadanya untuk berperang.

Rafi' dan Samurah ketika itu sudah berusia 15 tahun. Di samping itu juga, tubuh mereka besar dan gagah.

Masih tinggal 6 orang lagi, termasuk Zaid bin Tsabit dan Abdullah bin Umar. Apa sahaja cara dilakukan agar diizinkan untuk ikutserta dalam Perang Uhud. Ada yang berharap dan merayu, ada juga yang menunjukkan kepandaian mereka. Namun, usia dan tubuh mereka masih terlalu kecil. Akhirnya, Rasulullah berjanji akan memberi keizinan kepada mereka untuk ikut sama berperang pada perang yang akan datang.

Zaid dan rakan-rakannya mulai ikut berperang ketika Perang Khandaq, iaitu pada tahun ke-5 H.

Keimanan Zaid semakin kukuh dari hari ke hari. Beliau tidak hanya menonjol di medan pertempuran, tetapi juga hebat sebagai ilmuwan dengan pelbagai keistimewaan. Beliau menghafal al-Quran, menulis wahyu yang turun kepada Nabi, dan juga hebat di bidang ilmu dan hikmah. Ketikamana Rasulullah memulakan langkah mengembangkan dakwah Islam ke luar Madinah dan mengirimkan surat tawaran masuk Islam kepada para pemerintah negeri, baginda menyuruh Zaid untuk belajar bahasa mereka. Hanya dalam masa yang singkat sahaja, Zaid dapat menguasai bahasa mereka.

Peribadi Zaid makin terserlah. Belau dihormati dan dimuliakan.

Sa'bi berkata, "Pada suatu hari, Zaid hendak pergi menaiki kuda, maka Ibnu Abbas memegangkan tali pemacu kudanya. Zaid berkata, 'Tidak mengapa, wahai sepupu Rasulullah.' Ibnu Abbas kemudiannya menjawab, 'Seperti inilah yang kami Iakukan terhadap ulama kami.'"

Qabishah berkata, "Di Madinah, Zaid menjadi ketua Dewan Peradilan, ketua Dewan Fatwa, ketua Kumpulan Pembaca al-Quran, dan ketua Kumpulan Pembahagi Harta Warisan."

Tsabit bin Ubaid berkata, 'Aku belum pernah berjumpa dengan orang seperti Zaid. Di rumahnya, beliau suka bergurau manakala di majlis ilmunya, beliau sangat dihormati."

Ibnu Abbas berkata, "Para sahabat terkemuka tahu akan ilmu yang ada pada Zaid bin Tsabit."

Kata-kata di atas merupakan pandangan para sahabat terhadap keistimewaan yang dimiliki oleh Zaid. Hal ini kerana beliau menyimpan kemuliaan tersendiri. Beliau memikul tugas paling penting dan paling mulia dalam sejarah Islam, iaitu menghimpun al-Quran.

Sejak wahyu diturunkan kepada Rasulullah sebagai tanda pengangkatan baginda menjadi seorang ”Pemberi Peringatan”, ayat-ayat yang pertama sekali turun adalah ayat 1 hingga 5 daripada surah al-’Alaq:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-’Alaq[96]:1-5)

Setelah itu, wahyu kemudiannya turun kepada baginda pada setiap kali baginda memohon petunjuk dan bimbingan daripada Allah swt.

Dalam tempoh kerasulan baginda, Rasulullah menghadapi peperangan demi peperangan. Baginda melawan setiap tipu daya, helah dan serangan musuh. Hal ini dilakukan demi membangun masyarakat baru yang penuh dengan kesungguhan. Dalam tempoh itu juga, wahyu terus turun kepada baginda, dan Rasulullah membacakannya kepada para sahabat. Di sinilah ada segelintir para sahabat yang mencurahkan perhatiannya kepada al-Quran sejak daripada hari pertama wahyu diturunkan kepada Rasulullah. Ada di antara mereka yang menghafalnya dan ada juga yang menulisnya untuk memelihara keaslian al-Quran.

Selama lebih kurang 21 tahun, al-Quran turun ayat demi ayat sesuai dengan keperluan dan situasi yang dihadapi. Para penghafal dan penuIis al-Quran menumpukan sepenuh perhatian terhadap wahyu yang diturunkan.

Al-Quran tidak turun sekaligus, karena al-Quran itu bukanlah buku ataupun artikel. Akan tetapi, al-Quran adalah pedoman bagi umat baru yang dibangun secara bertahap, sejengkal demi sejengkal dan dari masa ke masa. Akidah mereka dibangunkan, hati mereka dibersihkan, pola fikir mereka dikembangkan dan tekad mereka dikuatkan sesuai dengan kehendak dan izin Allah swt. Mereka menerima kehendak ini dengan sepenuh hati tanpa adanya alasan.

Oleh sebab itulah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Hal ini demikian untuk mengikuti perjalanan hidup mereka, situasi yang berubah-ubah dan permasalahan yang ada.

Sebagaimana yang telah kita ketahui, jumlah sahabat yang menghafal dan menulis al-Quran cukup banyak. Antara yang terkenal adalah Ali bin Abu Thalib, Ubai bin Ka'ab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, dan Zaid bin Tsabit; semoga Allah ridha kepada mereka semua.

Setelah isi al-Quran turun dengan sempurna, Rasulullah membacakannya kepada para sahabat dan kaum muslimin secara tersusun, surah demi surah dan ayat demi ayat.

Selepas wafatnya Rasulullah, berlaku Perang Riddah.

Ketika berlakunya Perang Yamamah, ramai penghafal al-Quran yang syahid. Oleh sebab itulah, Saidina Umar bin al-Khattab segera menemui Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan mencadangkan agar al-Quran dihimpunkan sebelum semua penghafal al-Quran gugur dalam peperangan.

Saidina Abu Bakar yang menjadi khalifah ketika itu meminta petunjuk dari Allah. Beliau juga meminta pendapat daripada para sahabat. Kemudian, beliau memanggil Zaid bin Tsabit dan berkata kepadanya, "Wahai Zaid, kau masih muda dan cerdas. Kami sedikitpun tidak berburuk sangka kepadamu." Lalu, Zaid diperintahkan untuk mengumpul al-Quran dengan mendapat bantuan daripada para penghafal yang lain.

Zaid memulakan tugas yang bakal menentukan masa depan Islam. Segala usaha dan pengorbanan dicurahkan untuk menyelesaikan tugas yang paling agung dan berat ini. Beliau mengumpulkan ayat demi ayat dan surah demi surah daripada para penghafal al-Quran serta daripada lembaran-lembaran yang ada. Pekerjaan ini dilakukan dengan sangat teliti sehinggalah al-Quran dikumpulkan kesemuanya dan tersusun rapi.

Hasil kerjanya mendapat persetujuan daripada para sahabat yang telah mendengar al-Quran secara terus daripada Nabi semasa hidup baginda, terutamanya para penghafal dan penulis al-Quran.

Zaid pernah menyatakan kesusahan dalam menjalankan tugas mulia dan agung ini, "Demi Allah, seandainya mereka memintaku untuk memindahkan gunung dari tempatnya, maka itu adalah lebih mudah bagiku daripada mengumpulkan al-Quran."

Daripada doanya, ini menunjukkan bahawa Zaid lebih suka memikul satu atau lebih buah gunung daripada melakukan kesalahan walau sekecil mana pun ketika menyalin ayat atau menyusunnya dalam satu surah.

Beliau masih boleh bertahan walaupun terpaksa menghadapi ujian yang sangat getir. Namun, beliau tidak dapat menerima jika tersilap ketika melaksanakan tugas suci ini, meskipun kesalahan tersebut tidak disengajakan.

Zaid selalu mendapat petunjuk daripada Allah dan jaminan yang dijanjikanNya, iaitu; "Sesungguhnya Kami yang menurunkan peringatan (al-Quran), dan sesungguhnya Kamilah yang akan memeliharanya." (al-Hijr[15]:9)

Maka, akhirnya Zaid dapat melaksanakan tugas penting ini dengan baik.

Inilah tahap pertama pengumpulan al-Quran. Al-Quran kemudiannya disalin menjadi beberapa mushaf. Mushaf-mushaf tersebut ada sedikit perbezaan, meskipun tidak banyak. Sesuai dengan peredaran masa, peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan umat Islam menyebabkan para sahabat menjadikan al-Quran hanya dengan satu mushaf.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Uthman bin Affan, umat Islam terus mengembangkan dakwah sehingga ke luar daripada kota Madinah. Di samping itu, penduduk dunia yang memeluk agama IsIam semakin banyak. Mereka memiliki perbezaan bahasa dan dialek. Ketika inilah berlakunya perbezaan mushaf yang menyebabkan berlakunya perbezaan cara baca terhadap al-Quran. Hal ini bahkan terjadi perbezaan cara baca antara para sahabat generasi tua dengan generasi muda. Oleh sebab itulah, sejumlah sahabat (yang dipimpin oleh Hudzaifah bin Yaman) datang menghadap Khalifah Uthman untuk memberitahu bahawa pentingnya penyatuan al-Quran.

Saidina Uthman meminta petunjuk daripada Allah dan meminta pendapat daripada para sahabat yang lainnya. Sebagaimana Khalifah Abu Bakar yang dahulunya menugaskan Zaid bin Tsabit, sekarang Khalifah Utsman juga menugaskan Zaid.

Zaid mengumpulkan rakan-rakannya. Mereka mengambil kembali beberapa mushaf yang sengaja disimpan di rumah Hafshah binti Umar selama ini. Zaid memulakan tugas yang berat dan mulia ini bersama para sahabat yang turut ditugaskan mengumpulkan al-Quran menjadi satu mushaf. Mereka yang bersama Zaid dalam melaksanakan tugas ini adalah para penulis dan penghafal al-Quran.

Hampir tidak ada perbezaan pendapat di kalangan mereka. Jika wujud perbezaan pendapat di antara mereka, maka mereka akan menjadikan pendapat Zaid sebagai yang utama.

Pada masa sekarang, ketikamana kita membaca al-Quran dengan lancar, atau sedang mendengar bacaan al-Quran, kita sama sekali tidak terfikir bahawa ada kesulitan besar yang pernah dihadapi oleh para pengumpul al-Quran pada masa dahulu.

Sesungguhnya, kesulitan yang dihadapi oleh mereka adalah sama dengan kesulitan di medan peperangan untuk menegakkan kalimah Allah dan rnenghancurkan kegelapan dengan cahaya Ilahi.

Monday, October 25, 2010

UKHWAH ISLAMIAH





“Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.”
- Sahih Bukhari

Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata tetapi kita juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain. Ini dapat dilihat secara jelas dalam maksud firman Allah s.w.t yang berbunyi:

Yang bermaksud: “ Ditimpa kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. ” (Surah A-li ‘Imran : Ayat 112)

Untuk membina perpaduan sesama umat Islam, Allah s.w.t menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi disatukan dengan tingkatan akidah dalam Islam seperti firman Allah s.w.t:

Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara” (Surah Al-Hujurat : Ayat 10)

Ayat di atas mengambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah s.w.t sebagai saudara seagama, yang banyak hak yang perlu dipelihara bersama-sama.

Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggalakkan kita sebagai seorang Muslim untuk menghormati saudara sesama Islam, bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara, malah dalam segala aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan sosial juga, meletakkan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Dalam syariah Islam, setiap umat bukan sekadar disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya sebagai pengabdian kepada Allah s.w.t semata-mata, tetapi digalakkan juga kita melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan matlamat yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t. Malah dalam aspek pembinaan masyarakat Islam itu sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan dan kedudukan sosial mereka. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat yang besar melainkan kejayaan Baginda Rasulullah s.a.w membina ketamadunan umat dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza, kepada agama Islam.

Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba sahaya sehingga sanggup berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih sayang yang teramat menusuk dalam sanubari mereka, seperti Saidina Abu Bakar Assidik r.a dengan Saidina Bilal bin Rabah r.a. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta persaudaraan berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Yang bermaksud: ” Tidak ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa. “

Walaupun persaudaraan merupakan satu lambang keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan tenaga untuk mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan konsep tauhid dan ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman dan luaran yang akan mengagalkan misi umat sebagai khalifah di dunia ini. Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia terus berusaha dengan bersunguh-sunguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam masa kini yang semakin parah sehingga umat Islam kini menderita dan gagal bersaing denga bangsa lain yang beragama lain. Maka tidak hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita dari bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang berbunyi :

Yang bermaksud : “ Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti mana api memakan daun kering. ” (Hadis Sahih)

Faktor luaran pula, sebagai contohnya, pelbagai hasutan dan khabar agin yang sengaja diada-adakan agar umat Islam sentiasa bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja. Akhirnya, umat Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat membawa apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau bangsa akan tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang Yahudi, Kristian mahupun Komunis.

Sebenarnya umat Islam hari ini amat mengharapkan mana-mana negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini menghulurkan bantuan dan memerdekakan mereka dari penjajah-penjajah Barat, yang semakin memeras dan menindas umat dan kesucian Islam. Sudah ramai yang menjadi penuntun sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat Islam, siapa lagi? Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan ingatlah orang Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak mengenai tanggungjawab yang telah kita jalankan terhadap saudara seagama kita.

Ayuh bangkit wahai saudaraku!

Tuesday, October 19, 2010

Kedudukan Masjid Dalam Islam


Masjid adalah sebuah bangunan yang dikhaskan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dan ia merupakan tempat yang mulia dan suci dalam Islam.

Selain dari menjadi lambang kepada syiar Islam, masjid juga sebagai pusat bagi mengembangkan ajaran-ajaran Islam, pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam kerana di dalamnya umat Islam dapat beribadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk, dapat mengerjakan sembahyang berjemaah, memperolehi ilmu pengetahuan dan dapat menerima nasihat dan pengajaran demi untuk kebaikan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.

Justeru itulah usaha yang mula-mula sekali dibuat oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, ialah mendirikan masjid Quba', iaitu sebuah masjid yang disifatkan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai masjid yang didirikan atas dasar takwa.

Firman Allah,

Ertinya, sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa semenjak mula-mula dibina adalah lebih patut engkau mendirikan sembahyang di dalamnya. Di dalam masjid itu terdapat beberapa orang lelaki yang suka supaya dirinya bersih, sedang Allah kasih kepada orang yang bersih.

Firmannya lagi,

Ertinya, manakah yang lebih baik, orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya atas takwa kepada Allah dan keredhaannya, atau orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya di atas tepi jurang yang runtuh sehingga ia jatuh bersama-samanya dalam neraka jahanam ? sedang Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.

Kemudian tidak lama selepas Rasulullah menetap di Madinah baginda mendirikan sebuah .lagi masjid di bandar Madinah yang lebih terkenal dengan Masjid an Nabawi yang juga disifatkan oleh baginda sebagai "masjid yang telah dibina atas dasar takwa". Sebagaimana diterangkan oleh baginda di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dalam "Syarhu Jamiu At-Tarmizi."

Memandangkan kepada pentingnya pembinaan masjid dalam perkembangan agama Islam Rasulullah telah menggalakkan umatnya supaya mendirikan masjid di mana sahaja mereka berkampung, sebagaimana yang diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah Radiallahu Anha, katanya ;

Etinya ;Rasulullah s.a.w. telah menyuruh umatnya mendirikan masjid di tempat-tempat perkampungan dan hendaklah sentiasa dibersihkan dan diharumkan

( Ahmad dan Abu daud dan Al-Tarmizi )

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah telah menerangkan kelebihan orang yang mendirikan masjid atau balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang mendermakan hartanya untuk mendirikan masjid seperti tersebut di dalam sebuah hadis :

Dari Usman Radiallahu Anhu katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda

Ertinya: "barangsiapa membina sebuah masjid semata-mata ikhlas kerana Allah Taala nescaya Allah taala akan membinakan untuknya sebuah rumah di syurga."

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis tersebut jelaslah bahawa seseorang yang hendak membuat amal jariah mendirikan masjid atau mengeluarkan harta sebagai derma mendirikan masjid mestilah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dicontohkan oleh nabi Muhammad s.a.w.. Seterusnya elakkan diri dari mengandungi niat atau tujuan yang kotor yang tidak diredhai oleh Allah.

Sebagaimana firmannya ;

Ertinya ;Di antara mereka terdapat juga orang-orang yang mendirikan masjid untuk mendatangkan mudarat dan kufur, dan mencerai beraikan antara orang-orang yang beriman dan sebagai pengintip kepada orang-orang yang memerangi Allah dan Rasulnya semasa dahulu serta mereka bersumpah dengan katanya, "Tiadalah kami bermaksud untuk memperbuat masjid ini melainkan semata-mata kebaikan " sedang Allah mengetahui bahawa mereka orang yang bohong.
Surah At-Taubah ayat 107

Monday, October 18, 2010

Nabi Saleh berdakwah kepada kaum Tsamud

Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya berada dalam kegelapan terus-menerus tanpa diutusnya nabi pesuruh disisi-Nya untuk memberi penerangan dan memimpin mereka keluar dari jalan yang sesat ke jalan yang benar. Demikian pula Allah tidak akan menurunkan azab dan seksaan kepada suatu umat sebelum mereka diperingatkan dan diberi petunjukkan oleh-Nya dengan perantara seorang yang dipilih untuk menjadi utusan dan rasul-Nya. Sunnatullah ini berlaku pula kepada kaum Tsamud, yang kepada mereka telah diutuskan Nabi Saleh seorang yang telah dipilih-Nya dari suku mereka sendiri, dari keluarga yang terpandang dan dihormati oleh kaumnya, terkenal tangkas, cerdik pandai, rendah hati dan ramah-tamah dalam pergaulan.


Dikenalkan mereka oleh Nabi Saleh kepada Allah yang sepatut mereka sembah,Allah Yang Maha Esa, yang telah mencipta mereka, menciptakan alam sekitar mereka, menciptakan tanah-tanah yang subur yang menghasilkan bahan-bahan keperluan hidup mereka, mencipta binatang-binatang yang memberi manfaat dan berguna bagi mereka dan dengan demikian memberi kepada mereka kenikmatan dan kemewahan hidup dan kebahagiaan lahir dan batin.Allah Yang Esa itulah yang harus mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka pahat sendiri dari batu-batu gunung yang tidak berkuasa memberi sesuatu kepada mereka atau melindungi mereka dari ketakutan dan bahaya.

Nabi Saleh memperingatkan mereka bahwa ia adalah seorang daripada mereka, terjalin antara dirinya dan mereka ikatan keluarga dan darah. Mereka adalah kaumnya dan sanak keluarganya dan dia adalah seketurunan dan sesuku dengan mereka.Ia mengharapkan kebaikan dan kebajikan bagi mereka dan sesekali tidak akan menjerumuskan mereka ke dalam hal-hal yang akan membawa kerugian, kesengsaraan dan kebinasaan bagi mereka. Ia menerangkan kepada mereka bahwa ianya adalah pesuruh dan utusan Allah, dan apa yang diajarkan dan didakwahkan kepada mereka adalah amanat Allah yang harus dia sampaikan kepada mereka untuk kebaikan mereka semasa hidup mereka dan sesudah mereka mati di akhirat kelak. Ia mengharapkan kaumnya mempertimbangkan dan memikirkan sungguh-sungguh apa yang ia serukan dan anjurkan dan agar mereka segera meninggalkan persembahan kepada berhala-berhala itu dan percaya beriman kepada Allah Yang Maha Esa seraya bertaubat dan mohon ampun kepada-Nya atas dosa dan perbuatan syirik yang selama ini telah mereka lakukan. Allah maha dekat kepada mereka mendengarkan doa mereka dan memberi ampun kepada yang salah bila dimintanya.

Terperanjatlah kaum Saleh mendengar seruan dan dakwahnya yang bagi mereka merupakan hal yang baru yang tidak diduga akan datang dari saudara atau anak mereka sendiri. Maka serentak ditolaklah ajakan Nabi Saleh itu seraya berkata mereka kepadanya:

“Wahai Saleh! Kami mengenalmu seorang yang pandai, tangkas dan cerdas, fikiranmu tajam dan pendapat serta semua pertimbangan mu selalu tepat. Pada dirimu kami melihat tanda-tanda kebajikan dan sifat-sifat yang terpuji. Kami mengharapkan dari engkau sebetulnya untuk memimpinkami menyelesaikan hal-hal yang rumit yang kami hadapi, memberi petunjuk dalam soal-soal yang gelap bagi kami dan menjadi ikutan dan kepercayaan kami di kala kami menghadapi krisis dan kesusahan. Akan tetapi segala harapan itu menjadi meleset dan kepercayaan kami kepadamu tergelincir hari ini dengan tingkah lakumu dan tindak tandukmu yang menyalahi adat-istiadat dan tatacara hidup kami. Apakah yang engkau serukan kepada kami? Enkau menghendaki agar kami meninggalkan persembahan kami dan nenek moyang kami, persembahan dan agama yang telah menjadi darah daging kami menjadi sebahagian hidup kami sejak kami dilahirkan dan tetap menjadi pegangan untuk selama-lamanya.Kami sesekali tidak akan meninggalkannya karena seruanmu dan kami tidak akan mengikutimu yang sesat itu. Kami tidak mempercayai cakap-cakap kosongmu bahkan meragukan kenabianmu. Kami tidak akan mendurhakai nenek moyang kami dengan meninggalkan persembahan mereka dan mengikuti jejakmu.”

Nabi Saleh memperingatkan mereka agar jangan menentangnya dan agar mengikuti ajakannya beriman kepada Allah yang telah mengurniai mereka rezeki yang luas dan penghidupan yang sejahtera.

Diceritakan kepada mereka kisah kaum-kaum yang mendapat seksa dan azab dari Allah karena menentang rasul-Nya dan mendustakan risalah-Nya. Hal yang serupa itu dapat terjadi di atas mereka jika mereka tidak mahu menerima dakwahnya dan mendengar nasihatnya, yang diberikannya secara ikhlas dan jujur sebagai seorang anggota dari keluarga besar mereka dan yang tidak mengharapkan atau menuntut upah daripada mereka atas usahanya itu. Ia hanya menyampaikan amanat Allah yang ditugaskan kepadanya dan Allah lah yang akan memberinya upah dan ganjaran untuk usahanya memberi pimpinan dan tuntutan kepada mereka.

Sekelompok kecil dari kaum Tsamud yang kebanyakkannya terdiri dari orang-orang yang kedudukan sosial lemah menerima dakwah Nabi Saleh dan beriman kepadanya sedangkan sebahagian yang terbesar terutamanya mereka yang tergolong orang-orang kaya dan berkedudukan tetap berkeras kepala dan menyombongkan diri menolak ajakan Nabi Saleh dan mengingkari kenabiannya dan berkata kepadanya:

” Wahai Saleh! Kami kira bahwa engkau telah kerasukan syaitan dan terkena sihir. Engkau telah menjadi sinting dan menderita sakit gila. Akalmu sudah berubah dan fikiranmu sudah kacau sehingga engkau dengan tidak sedar telah mengeluarkan kata-kata ucapan yang tidak masuk akal dan mungkin engkau sendiri tidak memahaminya. Engkau mengaku bahwa engkau telah diutuskan oleh Tuhanmu sebagai nabi dan rasul-Nya. Apakah kelebihanmu drp kami semua sehingga engkau dipilih menjadi rasul, padahal ada orang-orang di antara kami yang lebih patut dan lebih cekap untuk menjadi nabi atau rasul daripada engkau. Tujuanmu dengan bercakap kosong dan kata-katamu hanyalah untuk mengejar kedudukan dan ingin diangkat menjadi kepala dan pemimpin bagi kaummu. Jika engkau merasa bahwa engkau sihat badan dan sihat fikiran dan mengaku bahawa engkau tidak mempunyai arah dan tujuan yang terselubung dalam dakwahmu itu maka hentikanlah usahamu menyiarkan agama barumu dengan mencerca persembahan kami dan nenek moyangmu sendiri. Kami tidak akan mengikuti jalanmu dan meninggalkan jalan yang telah ditempuh oleh orang-orang tua kami lebih dahulu.”

Nabi Saleh menjawab:

” Aku telah berulang-ulang mengatakan kepadamu bahwa aku tidak mengharapkan sesuatu apapun drpmu sebagai imbalan atas usahaku memberi tuntunan dan penerangan kepada kamu. Aku tidak mengharapkan upah atau mendambakan pangkat dan kedudukan bagi usahaku ini yang aku lakukan semata-mata atas perintah Allah dan drp-Nya kelak aku harapkan balasan dan ganjaran untuk itu. Dan bagaimana aku dapat mengikutimu dan menterlantarkan tugas dan amanat Tuhan kepadaku, padahal aku telah memperoleh bukti-bukti yang nyata atas kebenaran dakwahku. Jgnlah sesekali kamu harapkan bahawa aku akan melanggar perintah Tuhanku dan melalaikan kewajibanku kepada-Nya hanya semata-mata untuk melanjutkan persembahan nenek moyang kami yang bathil itu. Siapakah yang akan melindungiku dari murka dan azab Tuhan jika aku berbuat demikian? Sesungguhnya kamu hanya akan merugikan dan membinasakan aku dengan seruanmu itu.”

Setelah gagal dan berhasil menghentikan usaha dakwah Nabi Saleh dan dilihatnya ia bahkan makin giat menarik orang-orang mengikutinya dan berpihak kepadanya para pemimpin dan pemuka kaum Tsamud berusaha hendak membendung arus dakwahnya yang makin lama makin mendapat perhatian terutama dari kalangan bawahan menengah dalam masyarakat. Mereka menentang Nabi Saleh dan untuk membuktikan kebenaran kenabiannya dengan suatu bukti mukjizat dalam bentuk benda atau kejadian luar biasa yang berada di luar kekuasaan manusia.

Luahan Penulis:

Ya ALLAH, berikanlah kekuatan kepada ku untuk menegakkan syiar agamamu sebagaimana yang engkau telah kurniakan kepada para anbia’

Thursday, October 14, 2010

Pelayaran Mengenal Fungsi Diri



Mencari jawapan kepada soalan, “saya hidup ini untuk buat kerja apa”… adalah suatu pelayaran di lautan yang luas. Jawapan kepada soalan itu memang luas.

Ya, menjadi seorang doktor… itulah karier yang menanti seorang pelajar perubatan. Tetapi lautan itu masih luas.

Doktor apa? Mahu ke medical atau surgery? Lautannya masih luas.

Itu kalau dikecilkan soalan kepada kerjaya. Tetapi jika dibesarkan kepada soal menjadi khalifah Allah… khalifah yang bagaimana… maka lautan itu akan terus melebar.

Habis,bila nak nampak daratannya? Itulah persoalannya…

Jika kita berhenti berlayar, dan memilih untuk menjadi pulau kecil di tengah lautan, maka di situlah berakhirnya persoalan “hidup untuk apa” itu tadi.

MEMILIH HIDUP YANG TIDAK BERMAKNA

Melukut di tepi gantang, kata orang Melayu. Hadirnya tidak dirasai, perginya tidak disedari. Sungguh tidak bermakna. Sebutir pulau di tengah lautan bererti cukup sahaja dengan apa yang ada.

Minum air masin, tak apa. Eloklah… daripada tak ada air langsung. Makan ikan sahaja, tak apa. Eloklah… daripada tak ada makanan langsung.

Orang yang malas belayar dan mengambil keputusan untuk bercukup dengan apa yang ada, tidak akan dapat menjawab soalan “apa peranan sebenar saya hidup di dunia ini”.

Kalau seorang doktor, mungkin sehingga jadi chronic MO! Peningkatan diri hanya sekadar pada peningkatan tangga gaji kerana bertambahnya tahun perkhidmatan dengan sedikit kelulusan kursus-kursus induksi.

Tiada pengkhususan dan tidak berjaya untuk tersendiri, kerana berpada dengan apa yang ada. Berhenti belayar dan mencipta daratan sendiri, biar pun hanya sekangkang kera.

Maka kita kena terus belayar… hingga nampak daratan. Pelbagai daratan. Singgahlah di daratan itu, satu demi satu, ketahui realitinya dan bukan hanya memandang pantai dari jauh.

BELAYAR LAJU DAN HINGGA KETEMU

Kuncinya ialah, belayarlah selaju mungkin agar cepat melihat daratan, agar banyak melihat daratan, agar boleh menggunakan masa untuk turun ke daratan demi daratan, dan akhirnya memilih daratan terbaik untuk tercampak ke darat menjadi gunung.

Dalam hidup ini, buat apa pun, buat yang terbaik. Terokai habis-habisan setiap peluang yang ada. Ia seumpama belayar biar sampai jumpa daratan. Beranikan diri turun ke pantai dan ketahui realiti sebenar di pantai itu.

Dengan syarat, anda belayar laju dan optimum. Agar jangan lengah tiba ke satu daratan, kerana mungkin ada beberapa daratan lagi yang perlu dicuba.

Kalau kita buat attachment contohnya, jika belajar sambil lewa, kita pun tak pasti kita berpotensi atau tidak di bidang itu. Kecuali kita buat habis-habisan, barulah kita tahu bidang itu adalah bidang kita atau tidak…

Jika memang bidang kita, segeralah bercucuk tanam dan memakmurkan daratan kita itu. Jika bukan bidang kita, jangan berlengah untuk terus belayar dan mencuba daratan-daratan yang lain.

BAKAT SAHAJA TIDAK CUKUP

Dalam pelayaran mengenal fungsi diri, adakalanya kita ditipu oleh pujian bahawa kita berbakat dalam satu-satu kerja yang kita buat, dek satu dua kejayaan yang terhasil. Kita sangkakan bakat itulah penentu kepada tempat sauh dilabuh. Sedangkan bakat semata-mata, tidak pernah memadai. Ia hanya sebahagian daripada jawapan kita dalam pelayaran mengenal fungsi diri.

  • Bakat memerlukan kekuatan pada kepercayaan dan keyakinan diri.
  • Bakat juga berhajat kepada inisiatif untuk menjadi aktif.
  • Bakat perlu mendambakan fokus diri agar ia terarah.
  • Bakat juga memerlukan perancangan dan persiapan untuk ia mengambil posisi.
  • Bakat sangat memerlukan latihan untuk menajamkannya.
  • Bakat juga amat memerlukan istiqamah untuk terus menghidupkannya.
  • Bakat hanya akan terpelihara dan terus berguna apabila SIKAP yang betul mengiringinya.

Mudah-mudahan di hujung percubaan demi percubaan itu, saya, Imad dan kita semua akan bertemu dengan keunikan dan keistimewaan diri sebagai gelanggang kita yang tersendiri… khalifah Allah di muka bumi.

Allah tidak menciptakan manusia ada yang pandai ada yang bodoh. Tetapi Allah mencipta kita semua berbeza kepandaian. Carilah keistimewaan diri masing-masing

Allah tidak menciptakan manusia ada yang pandai ada yang bodoh. Tetapi Allah mencipta kita semua berbeza kepandaian. Carilah keistimewaan diri masing-masing pada kata kunci yang mudah…

Buat apa sahaja, biar sehabis baik! insyaAllah! =)

Wednesday, October 13, 2010

Muslimah Mencontohi Dari Muslimah Agung

Fatimah binti Muhammad salallahu alaihi wasallam.

Fatimah al-Zahra adalah puteri kepada Rasulullah SAWA. Ibunya Khadijah iaitu isteri Rasulullah SAWA yang pertama dan amat dikasihinya. Tentang bondanya Khadijah, Rasulullah SAWA pernah bersabda yang bermaksud:
“Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun.” [Muhibuddin al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl.42; Al-Hakim alam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm.157].

Fatimah AH mempunyai nama-nama timangan seperti Ummal Hasan, Ummal Husayn, Ummal Muhsin, Ummal A’immah dan Umma Abiha [Bihar al-Anwar' Juzuk 43, hlm.16]

Rasulullah SAWA menggelarkannya Fatimah AH sebagai “Ummu Abiha” bermaksud ibu kepada ayahnya. Ini kerana Fatimah AH sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya yang dikasihi itu. Selain daripada itu gelaran-gelaran lain ialah Zahra, Batul, Siddiqah Kubra Mubarakah, Adhra, Tahirah, dan Sayyidah al-Nisa [Bihar al-Anwar, Juzuk 43, hlmn.16]

Fatimah dilahirkan pada 20 Jamadil Akhir di Mekah iaitu pada Hari Juma’at, tahun kelima selepas kerasulan Nabi Muhammad SAWA [Manaqib Ibn Shahrashub, (Najaf), Juzuk 3, hlm.132; al-Kulaini, al-Kafi; Misbah al-Kaf'ami; Syeikh al-Mufid, Iqbal al-Amal]. Tempat beliau dilahirkan ialah di rumah ayahanda dan ibundanya iaitu Rasulullah SAWA dan Khadijah ak-Kubra. Beliau AH wafat pada tahun ke-11 hijrah iaitu selepas enam bulan kewafatan ayahandanya Rasulullah SAWA [al-Bukhari, Sahih, Juzuk 5, Hadith 546]

Kelahiran Fatimah AH amat menggembirakan Rasulullah SAWA. Beliau SAWA bersabda tentang Fatimah AH:
” Dia adalah daripadaku dan aku mencium bau syurga dari kehadirannya.”[Kasyf al-Qummah, Juzuk 2, hlm.24].

Mengapa diberkan Nama Fatimah? Menurut Imam Ali al-Ridha AS nama “Fatimah” diberikan oleh Rasulullah SAWA Fatimah AH dan para pengikutnya terpelihara dari api neraka. Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata: ” Rasulullah SAWA bersabda kepada Ali AS: Tahukah kamu nama mengapa nama Fatimah diberikan kepadanya? Ali menjawab: Mengapa dia diberikan nama itu? Dia (Rasulullah SAWA) bersabda: Kerana dia dan shiahnya akan diperlihara dari api neraka.”

Fatimah az-Zahra AH mempunyai sifat-sifat kemuliaan yang dinyatakan dalam al-Qur’an. Ulama ahli sunnah dan syi’ah bersetuju bahawa ayat al-Qur’an surah Al-Insaan(76);8-9 ditujukan kepada keluarga Fatimah AH iaitu yang bermaksud: ” Dan mereka memberikan makanan yang disukai kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberikan makanan kepada kamu hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidaklah kami mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga (ucapan) terima kasih.”

Ayat di atas mengisahkan Hasan dan Husayn AS sedang dalam keadaan sakit. Rasulullah SAWA dengan beberapa orang sahabat menziarahi mereka. Rasulullah SAWA mencadangkan kepada Ali AS bernazar kepada Allah SWT bahawa dia dan keluarganya akan berpuasa selama tiga hari apabila anak mereka sembuh dari penyakit tersebut. Ali, Fatimah, dan pembantu mereka, Fizzah bernazar kepada Allah SWT. Apabila Hasan dan Husayn AS sembuh, mereka pun berpuasa. Pada waktu berbuka datang seorang pengemis meminta makanan kepada mereka. Pada hari itu mereka hanya berbuka dengan sahaja. Keesokan hari ini datang seorang anak yatim meminta makanan daripada mereka pada waktu berbuka dan sekali lagi mereka hanya berbuka dengan air sahaja. Pada hari ketiga, datang pula seorang tawanan perang meminta makanan. Selepas memberikan makanan, Ali membawa anak-anaknya ke rumah Rasulullah SAWA. Rasulullah SAWA berasa sedih melihat keadaan cucunya itu. Ali AS membawa Rasulullah SAWA ke rumah mereka. Sampai di sana Rasulullah SAWA melihat Fatimah AH sedang berdoa dengan keadaan yang amat lemah. Rasulullah SAWA berasa amat sedih. Turun malaikat Jibril berkata kepada beliau SAWA,” Wahai Muhammad ambillah dia (Fatimah). Allah memberikan tahniah pada Ahl Bayt kamu.” Lalu Jibril membacakan ayat tersebut.[Al-Hakim al-Haskani, Shawahid al-Tanzil, jld.II, hlm.298; al-Alusi, Ruh al-Ma'ani, jld.XXIX, hlm.157; Fakhur al-Razi, Jild.XIII, hlm.395]

Al-Bukhari meriwayatkan hadith dari Imam Ali AS bahawa pada suatu ketika Fatimah AH mengadu tentang kesusahannya mengisar tepung. Apabila beliau mendengar berita ada beberapa orang hamba dari rampasan perang telah dibawa kepada Rasulullah SAWA, beliau lalu pergi (ke rumah Rasulullah SAWA) untuk menemui baginda SAWA bagi mendapatkan pembantu tersebut, tetapi pada ketika itu (Rasulullah SAWA tidak ada di rumah) Aisyah tidak dapat mencari baginda SAWA. Lalu Fatimah menceritakan hasratnya kepada Aisyah. Apabila Rasulullah SAWA pulang, Aisyah menyatakan kepadanya perkara tersebut. Rasulullah SAWA kemudian pergi ke rumah kami….Mahukan kamu aku nyatakan suatu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? (Iaitu) apabila kamu hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah Allahu Akbar 34 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Subhan Allah 33 kali. Ini adalah lebih baik daripada yang kamu pohonkan.”[ Al-Bukhari, Jld. VI, hadith 344]

Aisyah binti Abu Bakr As-Siddiq Ummul Mu’minin

Aisyah binti Abu Bakar merupakan puteri kepada sahabat Baginda yang paling rapat, Abu Bakar as-Shiddiq. Beliau memiliki kedudukan yang amat istimewa di kalangan isteri Rasulullah dan diberi gelaran Humairah. Sepanjang 9 tahun hidup bersama Rasulullah SAW, beliau telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang berlaku kepada umat Islam di Madinah. Melalu pengalaman inilah beliau mampu untuk membezakan antara yang haq dan yang bathil, walaupun pada usia yang amat muda. Peribadinya juga dibentuk secara langsung oleh Rasulullah SAW, menjadikan Saidatina Aisyah seorang wanita yang ulung pada zamannya.

Beliau hanya berusia 9 tahun ketika menikahi Rasulullah SAW, setelah kewafatan Sayyidah

Khadijah. Pada usia yang amat muda, Aisyah merupakan seorang wanita yang cerdas dan kuat daya ingatannya. Beliau banyak sekali meriwayatkan hadith Rasulullah dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat ridhwanullah alaihim. Beliau juga merupakan satu-satunya isteri Rasulullah yang masih perawan, sedangkan Ummahatul Mu’minin yang lain telah bergelar janda sebelum menikahi Rasulullah SAW.

Pernah suatu ketika sewaktu pulang dari peperangan dengan Bani Mustaliq, Saidatina Aisyah ditinggalkan oleh rombongan yang membawanya, kerana mereka menyangkakan beliau masih berada di dalam sekedup untanya sewaktu mereka berangkat. Pada saat Aisyah duduk di tempat persinggahannya sambil berharap seseorang dari rombongannya akan menyedari kehilangannya dan berpatah balik untuk mengambilnya, lalu beliau tertidur. Ternyata Shafwan ibn al-Mu’attal as-Sulami kemudiannya melihat beliau, lantas mengenali Ummul Mu’minin yang berada di hadapannya. Kemudian Shafwan membawa beliau ke khemah berhampiran di mana tentera Islam sdg beristirehat pada hari yang sangat panas.

Kaum munafiqin mengambil peluang atas peristiwa ini untuk menaburkan fitnah terhadap Saidatina Aisyah dan Shafwan, lantas berita tersebut tersebar dengan pantas di serata kota Madinah. Natijah daripada fitnah ini Rasulullah SAW dan seluruh isi rumahnya berasa tertekan. Aisyah yang jatuh sakit pada waktu itu tidak menyedari akan hal ini, tetapi merasakan kelainan daripada cara Baginda selalu melayannya. Setelah mendapat tahu tentang fitnah yang tersebar itu Aisyah menjadi bertambah sakit, maka dengan izin Rasul beliau tinggal bersama kedua ibubapanya buat sementara waktu. Kerana api fitnah yang semakin dahsyat dan tekanan yang diterima, Baginda pergi berjumpa dengan Aisyah dan berkata kepadanya;Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku pelbagai perkataan tentang dirimu. Jika engkau memang bersih, Allah pasti akan membersihkanmu. Tetapi jika engkau bersalah, maka mohonkanlah ampunan dari Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya seorang hamba, apabila dia mengakui kesalahannya, kemudian dia bertaubat, maka Allah akan menerima taubatnya.

Tidak lama kemudian turunlah firman Allah yang membersihkan nama Aisyah daripada fitnah yang didatangkan oleh kaum munafiqin, melalui surah an-Nur ayat 11-26. Beliau kemudiannya memaafkan kesemua mereka yang terlibat dalam menyebarkan fitnah terhadapnya, dan kedudukannya menjadi semakin tinggi di mata umat Islam pada waktu itu.

Ummul Sulaim binti Milhan

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
“Aku masuk ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”[HR Bukhari]. Beliaulah Ummu Sulaim bintu Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Anshariyah Al-Khazrajiyah. [Siyar Alamin-Nubala, 2/304]. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi tauladan buat kita semua.

Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Ini menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, disamping iman, keikhlasan dan kebenarannya. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiat di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah. Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar. Ayuh kita ikuti kisah ini.

Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya kembali seraya memarahi beliau dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”. Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas, “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah)”. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya, Anas dan mengisyaratkan Anas agar mengucapkan lafaz syahadatain. Anas akur. Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga beliau menengking dengan kasar, “Jangan kau rosakkan anakku!”. Tetapi dengan penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab, “Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran”. Dengan membawa kemarahan yang menggumpal, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam, tetapi dibunuh musuhnya di pertengahan perjalanan tersebut. Ketika berita kematian suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bertekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.

Beliau bernikah kali kedua setelah dewasa puteranya Anas bin Malik. Suaminya bernama Abu Talhah bin alAnshary. Mahar pernikahan ini adalah pengislaman Abu Talhah dihadapan Rasulullah SAW. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.

Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Abu Thalhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil itu dengan jiwa yang redha dan sabar seraya berucap, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Beliau membaringkan jasad anaknya di atas tempat tidurnya dan berkata kepada ahli keluarganya yang lain,”Jangan kalian sampaikan khabar ini kepada Abu Talhah berkenaan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini kepadanya”.

Sekembalinya dari masjid, Abu Talhah bertanyakan keadaan Umair, “Bagaimanakah keadaan anakku?”

“Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya” jawab Ummu Sulaim. Kemudian Ummu Sulaim menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima’ dan setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya. Abu Talhah bersedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah dan menceritakan perlakuan isterinya. Mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita Bani Israel”. (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74)

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya kepada Abu Talhah, “Apakah semalam kalian telah berjima’?”. “Ya”. Jawab Abu Talhah. Rasulullah mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam ini dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala,. Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan tersebut. Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang soleh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi’ berkata, “ Aku melihat anak itu di kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya hafal Al-Quran” (Ath-thabaqat, 8/334; Sifathush-Shafwah, 2/69; Dala’ilun-Nubuwwah, 6/199)

Tuesday, October 5, 2010

Mendekatkan Diri Kepada Allah

Dari Abu Zar r.a., katanya: “Nabi s.a.w. bersabda:

“Allah Azzawajalla berfirman -dalam Hadis Qudsi:

“Barangsiapa yang datang – mengerjakan – kebaikan, maka baginya adalah pahala sepuluh kali lipatnya atau Aku tambahkan dan barangsiapa yang datang – melakukan – kejelekan balasannya kejelekan ialah kejelekan yang seperti itu atau Aku ampunkan dosanya.

Barangsiapa yang mendekat padaKu sejengkal, maka Aku mendekat padanya sehasta, barangsiapa yang mendekat padaKu sehasta, maka Aku mendekat padanya sedepa. Barangsiapa yang datang di tempatKu dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan bergegas-gegas.

Barangsiapa yang menemui Aku dengan membawa kesalahan hampir sepenuh bumi, maka asalkan ia tidak menyekutukan sesuatu denganKu,tentu Aku akan menemuinya dengan pengampunan sebanyak kesalahan yang dilakukan olehnya.” (Riwayat Muslim)

Makna Hadis di atas ialah barangsiapa yang mendekat kepadaKu dengan melakukan
ketaatan, maka Aku akan mendekatinya dengan memberikan kerahmatanKu, jikalau itu
ditambah oleh orang itu, maka kerahmatan itu pun Kutambahkan. Jikalau seseorang itu
datang padaKu dengan berjalan dan bergegas-gegas dalam melakukan ketaatan padaKu,
maka Aku akan mendatanginya dengan bergegas-gegas pula yakni bahawa Aku akan
menuangkan padanya kerahmatan yang berlimpah-ruah dan Aku mendahuluinya untuk
melakukan itu dan Aku tidak memerlukan supaya ia berjalan terlalu banyak untuk dapat
sampai kepada yang dimaksudkan itu.

Sumber: Riyadhus Salihin (Taman Orang-orang Soleh) oleh Imam Nawawi

Friday, October 1, 2010

Hakikat kita.................


Antara sedar atau tidak, hari demi hari berlalu meninggalkan kita. Dalam kesibukan kita berusaha mencapai yang terbaik dalam kehidupan kita, ada kalanya kita terlupa untuk merenung kembali, siapa kita, mengapa kita di sini dan apa yang sedang kita usahakan.. Ya, mungkin kita semakin mengenali manusia, iaitu kita sendiri secara jasadnya. Kita semakin memahami apa yang sedang berlaku di dalam tubuh badan kita secara fizikalnya. Namun sejauh manakah kita cuba untuk mengenali hakikat kejadian manusia itu sendiri ; siapakah Pencipta kita? Untuk apa sebenarnya kita diciptakan..?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, dalam jutaan manusia, kita telah dipilih olehNya untuk berada di bumi, dengan segala keunikannya. Kita adalah antara insan yang dipilih untuk menikmati suasana musim luruh yang diciptakanNya ; tenang dan mendamaikan..Seolah-olah menyediakan ruang untuk kita duduk sebentar, dan bertanya pada diri, “Apa khabar imanku?” Sesekali memerhatikan daun-daun yang jatuh berguguran ke atas tanah, cuba menyelami apa yang disampaikan oleh Allah pada kita, hambaNya..

“Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada padaNya ; tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahuiNya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata.”

(Al-An’am 6 : 59)

Siapakah DIA Yang Maha Mengetahui itu, hinggakan setiap helaian daun yang berguguran di musim luruh ini berada di dalam pemerhatianNya? Pernahkah kita mengukur sejauh mana pengenalan kita kepadaNya? Cukupkah mengenalNya dengan mengetahui dan menghafal nama-nama dan sifat-sifatNya? Mengetahui dan menghafalnya merupakan sebahagian daripada pengenalan kita kepada Allah akan tetapi ia bukan sekadar itu.. Pengenalan yang sebenar-benarnya, sebagaimana diungkapkan oleh Ibnu Qayyim r.a, adalah pengenalan yang dapat menimbulkan perasaan malu, kecintaan, keterikatan hati, kerinduan, taubat, kedekatan dan hanya berharap kepadaNya. Semakin dikaji dan dikenali, semakin banyak keagungan Allah yang tersingkap, semakin besar cinta dirasakan, semakin besar harapan kepadaNya, semakin besar rasa takut kepadaNya, serta semakin meningkat upaya pendekatan diri kepadaNya..

“ Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

(Qaf 50 :16)

Manusia tidak akan mampu mengenali dirinya sendiri tanpa mengenali Tuhan Yang Menciptakannya. Manusia yang mengenal Tuhannya, tidak akan hidup di dunia ini melainkan dengan pengetahuan bahawa apa yang ada padanya dan yang ada pada manusia datang daripada Allah. Manusia tidak memiliki dirinya dan kekuatan tubuhnya; dan bahawa setiap sesuatu yang ada padanya adalah amanah daripada Allah yang tidak digunakan sesuka hatinya melainkan mengikut yang ditentukan oleh keridhaan Allah. Dan ia amat yakin dan pasti, bahawa Allah sentiasa memerhatikan pelaksanaan amanah ini dan akan membuat perhitungan seteliti-telitinya pada hari yang tidak diragukan lagi ketibaannya suatu hari nanti, yakni hari kiamat..

“Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan (sekecil zarah), nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisiNya.”

(An-Nisa` 4 : 40)

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita fikirkan dan renungkan bersama.. Siapakah DIA di hati kita? Dan siapakah kita di pandanganNya?..
Related Posts with Thumbnails