Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Monday, May 21, 2012

KAEDAH MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DLM ISLAM


KAEDAH MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DLM ISLAM

Objektif :

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.

Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.


Aktiviti :

1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.

Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa� dan surah Al-Hasyr.

Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :

Maksudnya : "Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).


2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.

Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi� r.a. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a.

Riwayat Abu Daud dan Tirmizi


3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.

Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.

Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :

Maksudnya : Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)

Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya.


5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.

Memberikan nama yang baik.

Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu.
Riwayat Abu Daud

Membaca Doa ketika memberikan nama anak.

Maksudnya : Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat muakad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.

Riwayat abu Daud

Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.

Maksudnya : Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ��(sebut nama anak).
Gesaan Aqiqah :

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu.

Antara hikmah aqiqah adalah :

Membiiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.

Melindungi diri dari gangguan syaitan.

Bercukur rambut.

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :

Hikmah kesihatan.

Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.

Hikmah kemasyarakatan.

Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata :

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak.

Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

Khurafat yang perlu ditinggalkan.

Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka.

Mengkhatankan anak.

Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan :

Maksudnya : Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita.
Riwayat Abu Daud

Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.

Antara faedah berkhatan adalah :

Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit.

Membersihkan diri dari kekotoran.


6. Menyusukan Anak.

Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.

Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:

Maksudnya : Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

Imam As-Syafie berkata
Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan
Kelebihan menyusukan anak :
Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.

malaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Alla

Thursday, May 17, 2012

Mencari Penawar Duka Pengubat Sengsara

Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?

Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.

Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Allah al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?

Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Allah kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)


Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.

Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.

Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.

Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.

Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.

Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.

Friday, May 11, 2012

Hak Kanak-Kanak Dalam Islam


Islam sangat memandang berat soal pendidikan kanak-kanak dan memberi hak-hak yang sepatutnya kepada mereka. Islam telah menggariskan panduan yang tertentu serta cara dalam mendidik anak-anak sejak ia di dalam kandungan ibunya lagi malahan lebih awal daripada itu.Islam menggalakkan umatnya apabila memilih suami atau isteri hendaklah seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia.Anak merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan merupakan perhiasan dalam kehidupan manusia. Orang yang telah diberi nikmat ini sudah tentu memelihara dan mendidik dengan pendidikan Islam sebagai mensyukuri nikmat tersebut.
 
Menurut ahli Psikologi, kehidupan manusia ini terbahagi kepada dua peringkat.Peringkat pertama iaitu sejak ia lahir hingga berusia 18 tahun atau 20 tahun.Peringkat kedua iaitu berusia 20 tahun sehingga meninggal dunia.Pada peringkat pertama tadi, ia terbahagi kepada tiga bahagian iantu sejak lahir sehingga mengjangkau umur enam tahun,ketika berusia tahun sehingga berusia tiga belas tahun manakala bahagian ketiga ketika berusia 13 tahun sehingga berusia 18 atau 20 tahun.
 
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang.
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa sepertimana ia berhajat kepada makanan dan minuman.Kasih sayang kepada anak-anak adalah merupakan sebahagian daripada pendidikan pertama yang sepatutnya diberi perhatian oleh ibubapa.Menurut ahli psikologi,kanak-kanak memerlukan kasih sayang disebabkan kepada tiga faktor utama iaitu:

Pertama: Kanak-kanak memerlukan kebahagian dan ketenangan dalam hidupnya. Melalui kasih sayang kepada kanak-kanak ,ia dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan kerana mereka dilahirkan dalam keadaan lemah dan memerlukan pertolongan dan pergantungan kepada orang lain.

Kedua:Pembentukan dari segi pemikiran .Kanak-kanak yang terbentuk dari suasana kasih sayang yang sepenuhnya ,maka ia dapat membentuk pemikiran yang kreatif dan bernas.Di samping itu,kanak-kanak tersebut mempunyai daya ingatan yang kuat dan perangai yang baik.

Ketiga:Pembentukan dari segi masyarakat .Kanak-kanak yang diberikan kasih sayang sejak kecil lagi dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan mempunyai kasih sayang kepada masyarakat sekelilingnya.
 
Hak kanak-kanak sebelum dilahirkan
Antara keistimewaan syariat islam ialah ia telah menggariskan hak kanak-kanak sebelum kanak-kanak itu dilahirkan di dunia ini lagi.Antara hak-hak tersebut ialah:

1. Ikatan perkahwinan suami isteri yang sah.Islam melarang keras perhubungan diantara lelaki dan perempuan tanpa ada ikatan perkahwinan yag sah.Adalah menjadi hak kanak-kanak supaya ikatan ibubapanya merupakan ikatan yang sah dari segi syarak supaya keturunannya terpelihara

2. Akidah ibubapa yang sama. Islam melarang seseorang muslim berkahwin dengan orang kafir kecuali ia memeluk agama islam.Seseorang lelaki yang hendak berkahwin hendaklah mencari perempuan yang solehah.Saidina Umar r.a pernah ditanya ; hendaklah seorang bapa memilih isterinya yang solehah, hendaklah menamakan anak-anaknya dengan nama yang baik dan hendaklah ia mengajarkan al-Quran.

3. Dilarang membunuh kanak-kanak dan membenci anak perempuan. Dalam masyarakat Jahiliah dahulu mereka membunuh kanak-kanak perempuan kerana menganggap ia boleh membawa malapetaka kepada keluarga. Oleh demikian semasa kedatangan Islam, Islam telah membawa sinar baru dalam kehidupan wanita serta mengangkat martabat mereka. Islam juga melarang membunuh kanak-kanak disebabkan takut kepada kemiskinan. Firman Allah yang bermaksud:"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana khuatirkan kealpaan dan kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka itu adalah satu dosa yang besar.

4. Ibubapa perlu menyediakan persiapan untuk kanak-kanak yang bakal dilahirkan. Ibubapa hendaklah bersedia untuk mendidik anak-anak tersebut sehingga besar dengan didikan nilai-nilai murni dan mulia. Persiapan ini termasuk dari segi material dan kerohanian.
 
Hak kanak-kanak selepas lahir ke dunia.
1. Azan di telinga kanan dan iqamat di telinga seorang bayi sebaik sahaja ia lahir ke dunia .Antara rahsia dan hikmah azan ini ialah supaya kalimat yang mula-mula sekali didengar ialah kalimat tauhid, kalimah mengesakan Allah, kalimah syahadah ,mengajak menunaikan solat dan menuju kejayaan. Diriwayatkan dari Abu Daud dan al-Turmizi dari Abu Rafie bahawa Rasulullah mengazankan di telinga Hassan bin Ali sebaik sahaja dilahirkan oleh Fatimah. Di samping itu juga ia bertujuan untuk menghambat syaitan yang sentiasa menjadi musuh kepada manusia dan bersedia menggodanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa yang mendapat anak lalu ia azan di telinga kanannya dan diiqamatkan di telinga kirinya nescaya syaitan tidak dapat memudharatkan.”

2. Melakukan Tahnik, mencukur rambut dan Akikah. Tahnik bayi bererti menggosok-gosok langit-langit bayi dengan sedikit buah tamar yang telah dilecek atau dimamah supaya lembut. Disunatkan ketika memberikannya itu, kanak-kanak itu didoakan agar hidupnya sentiasa dalam keberkatan. Seeloknya orang yang hendak melakukan tahnik ini terdiri daripada orang yang soleh dan bertaqwa.

3. Mencukur rambut bayi ini dilakukan sebelum akikah dan sebaik-sebaiknya pada hari yang ketujuh dari kelahiran bayi. Ia merupakan sebagai lambang ibadat dan kesyukuran kepada Allah. Akikah ialah kenduri kesyukuran dengan menyembelih binatang sempena kelahiran bayi. Bagi kanak-kanak lelaki ialah dua ekor kambing manakala kanak-kanak perempuan satu ekor kambing.Walaubagaimanapun harus menyembelih seekor sahaja untuk anak lelaki kerana Rasulullah SAW pernah melakukan dengan menyembelih akikah seekor untuk Hassan dan seekor untuk Husain.

4. Memberi nama yang baik. Ibubapa bertanggungjawab memberi nama yang baik kepada anaknya .Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Di antara hak anak yang mesti ditunaikan oleh bapa tiga perkara:mengelokkan namanya bila ia lahir ,mengajarkannya al-Quran apabila ia matang dan mengahwinkannya apabila ia baligh".Para ulama menyebutkan bahawa harus menukar nama daripada nama yang buruk maknanya kepada nama yang lebih baik maknanya.Pada hari qiamat nanti semua manusia akan dipanggil dengan nama-namanya di dunia ini.

5. Hak Menyusu. Ibubapa bertanggungjawab menyusukan anaknya terutama dalam dua tahun pertama.Firman Allah SWT yang bermaksud:"Dan ibu itu wajib menyusui anak-anak mereka dalam tempoh dua tahun sempurna bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan tersebut".(al-baqarah 233)

6. Mengkhatannya.Berkhatan adalah satu amalan fitrah.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Amalan fitrah ada lima perkara:mencukur bulu ari-ari, berkhatan,mengunting misaim,mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku.

Menurut para ulama hokum khatan ini adalah sunat bagi bayi lelaki dan merupakan kemuliaan bagi bayi perempuan.Walaupun begitu terdapat perbezaan ulama tentang hukumnya iaitu ada tiga pendapat:

i. Wajib khatan bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan.Ini merupakan pendapat Imam Ahmad,Ataa',Ibn Suraih, Rabiah, dan Awza'iy.
ii. Sunat muakkad bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan.
iii. Wajib bagi kanak-kanak lelaki dan sunat bagi kanak-kanak perempuan iaitu pendapat setengah dari golongan ulama al-Syafieyyah.(Kitab Majmuk oleh Imam al-Nawawi,jil 1,hal 365 dan fathul Bari jil 10.hal 340)

Pendapat yang ketiga ini lebih sesuai dengan jamhur ulama yang mengatakan bahawa khatan adalah sunat muakkad bagi kanak-kanak perempuan.Mereka berdalilkan bahawa ia adalah "millah Abina Ibrahim"(mengikut jalan bapa kami nabi Ibrahim) yang telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya berkhatan.Bagi kanak-kanak perempuan ,khatan ini dikenali sebagai "khifaadah" dalam bahasa Arab iaitu memotong sedikit dari sebahagian daging antara permukaan atas faraj.mengikut jamhur ulama ia merupakan kemuliaan bagi kaum wanita.Ini menolak dakwaan yang menyebutkan perkara tersebut merupakan amalan buruk. Rasulullulah SAW telah menyuruh serta menggalakkan kanak-kanak perempuan dikhatan dengan cara-cara tertentu dan jangan berlebihan semasa memotongnya sepertimana dilakukan oleh orang jahiliah.
 
Memberi Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan
Setiap ibubapa bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan agama supaya anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh.Ibubapa perlu menjaga diri kanak-kanak dari perkara yang boleh merosakkan dirinya sama ada dari segi pemikiran dan fizikal.Penekanan kepada pendidikan agama harus diberikan perhatian yang serius dalam pembentukan sahsiah mereka.Islam telah menggariskan panduan dalam mendidik kanak-kanak.Antaranya ialah:

i. Mengajar mengenali sifat-sifat ketuhanan.Islam menyuruh ibubapa mengajar kanak-kanak supaya mengenali sifat-sifat ketuhanan.Ia merupakan pendidikan awal dan asas dalam pembentukan pemikiran kanak-kanak dan pembinaan akidah yang mantap sejak kecil lagi. Sifat wajib yang kedua puluh tersebut mestilah diajar dengan kefahaman yang mendalam.Kanak-kanak telah dilahirkan dalam keaadan fitrah putih bersih,ibubapanya yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam membentuk indentiti agamanya.

ii. Mengajar cara-cara sembahyang Ibubapa wajib mendidik anak-anaknya cara bersembahyang sejak kecil lagi.Sabda Rasululluah SAW yang bermaksud :"Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka ketika berusia sepuluh tahun dan asingkan antara mereka dalam tempat tidur.”

iii. Mengajar ilmu pengetahuanIbubapa bertanggungjawab mendidik serta memberi pendidikan ilmu pengetahuan yang baik kepada anak-anak .Ibubapa perlu menyemaikan minat untuk mereka membaca,dan cintakan ilmu pengetahuan .Ilmu pengetahuan ini meliputi segala ilmu yang manfaat kepada mereka dalam menghadapi cabaran hidup.Pada zaman sekarang ,ilmu-ilmu multimedia ,sains dan teknologi perlu dikuasai oleh mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.

iv. Mengajar al-QuranRasulullah SAW sangat menekankan kepada ibubapa agar mengajarkan al-Quran kepada anak-anak .Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani yang bermaksud :"Didiklah anak-anak kanu dengan tiga perkara iaitu cintakan nabi kamu, cintakan keluarga nabi kamu dan mengajarkan al-Quran kerana orang yang mendampingi al-Quran akan dinaungi oleh arash Allah pada hari yang tidak ada naungan selian darinya bersama para nabi-nabi dan pembantunya."

v. Mendidik mengenali kejadian ala miniIbubapa seharusnya mendidik anak-anak supaya mengenali kejadian ala mini serta mengambil iktibar daripadanya.Manusia perlu memahami hubungannya dengan alam sekeliling yang telah dijadikan oleh Allah untuk manfaat manusia.

vi. Mendidik dengan akhlak yang mulia.Setiap ibubapa bertanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang mulia seperti bersifat amanah, jujur,ikhlas,menghormati orang tua,menunaikan haji,bercakap benar,beradab ketika makan dan minum,memilih makanan yang halal,suka kepada perbuatan kebajikan dan ma'aruf,sentiasa mencari kebenaran dan keadilan,benci sifat keji,kezaliman dan kerosakan harta benda.Islam juga menyeru ibubapa supaya mengajar anak-anak meminta izin sebelum memasuki bilik ibubapa dalam waktu-waktu yang tertentu.Selain dari itu,ibubapa haruslah menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

vii. Pembentukan tubuh badan yang sihat dan kuat.Islam menggalakkan kanak-kanak dilatih sejak kecil lagi dengan latihan jasmani supaya kanak-kanak tersebut menjadi sihat dan kuat.Pepatah arab ada menyebutkan :"akal yang baik lahir dari tubuh badan yang sihat".
 
Hukum Penggunaan Tabung Uji
 
Penggunaan tabung uji bermaksud melakukan proses persenyawaan air mani lelaki ke dalam rahim perempuan bukan dengan cara hubungan jenis.Para ulama berpendapat seperti berikut:

1. Jika penggunaan tabung uji ini berlaku antara suami dengan isteri yang sah maka adalah harus dan jika berlaku selain dari suaminya maka adalah haram sama ada ia bersetuju atau tidak.

2. Jika air mani suami isteri itu diletakkan ke dalam rahim perempuan yang lain, maka adalah haram juga kerana bercampur nasab sama ada hendak dinasabkan kepada suami isteri tersebut atau kepada orang yang mengandungkannya.(ibu tumpang)
 
Hukum menggugurkan kandungan Janin.
Para ulama golongan shafie telah bersepakat bahawa peguguran kandungan janin adalah diharamkan apabila janin itu telah ditiupkan roh iaitu selepas 120 hari atau lebih dari 4 bulan.Jika sebelum ditiupkan roh,maka terdapat dua pandapat ulama iaitu:pendapat pertama menyebutkan bahawa haran sejak percampuran air mani lelaki dan perempuan sama ada sebelum ditiupkan roh atau selepasnya.Sementara pendapat kedua menyebutkan bahawa harus sebelum ditiupkan roh dan haram secara mutlak selepas ditiupkan roh.(Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin oleh Zabidi,jil 6,hal 188 dan Ihya'Ulmuddin oleh Imam al-Ghazali,jil. 2 hal. 47)

Imam al-Ramli membuat kesimpulan di dalam kitabnya "Nihayatul Muhtaj" selepas mengambil pendapat Imam al-Ghazali yang mengharamkan pengguguran kandungan dengan menyatakan bahawa pendapat yang rajah (yang palinh sesuai ) ialah haram secara mutlak selepas ditiupkan roh dan harus sebelum itu.(Nihayul Muhtaj oleh Imam al-Ramli ,jil.8,hal.416.Dipetik dari kitab Darurat fi Syariat Islamiyyah oleh Mahmud Muhammad Abdul Aziz,hal.172)

Penulis bersetuju dengan pandangan diatas dan harus menggugurkan kandungan tersebut selepas 4 bulan sekiranya janin tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu yang mengandungkannya dan perkara ini mesti disahkan oleh doctor yang berwibawa dan dipercayai kebenarannya.

Ibu juga bertanggungjawab memelihara janinnya dari keguguran dan diharuskannya berbuka puasa jika dikhuatirkan boleh membawa mudarat terhadap diri dan janinnya.Islam juga tidak membenarkan melakukan qisas (hukuman bunuh) dan lain-lain hukuman dalam keadaan seseorang ibu yang mengandung .Jika ibu tersebut itu mati sementara janinnya itu hidup ,maka harus dikeluarkan janin tersebut.
 
Anak Yatim
 
Anak yatim adalah anak yang kematian ibubapa atau salah seorang daripadanya semasa ia kecil atau belum baligh atau anak yang kematian bapanya sebelum ia menjakau umur baligh.Islam mewasiatkan kepada umat manusia supaya melakukan hubungan baik dengan anak yatim,memberi perlindungan dan pengajaran ynag rapi serta memberi hak-hak mereka.Firman allah SWT yang bermaksud:"Oleh sebab itu ,maka anak yatim janganlah kamu hinakan."(al-Dhuha 9)" Tahukah engkau orang yang mendustakan agama?Iaitu orang yang menengking anak yatim."(al-Ma'un 1-2).Islam juga menegah sama sekali memakan harta anak yatim dengan cara zalim seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa' ayat 6.
 
Kesimpulan
 
Peranan masyarakat amat penting dalam mendidik kanak-kanak supaya mencorak masa depan mereka.Mereka merupakan aset yang terpenting demi kesinambungan generasi kini.Gejala-gejala yang berlaku seperti penderaan kanak-kanak,lari dari rumah ,gadis be;asan tahun dijadikan pelacur,kanak-kanak terpaksa menjadi tenaga buruh,seks bebas dikalangan remaja dan harus dibendung dengan segera.Ia memerlukan kepada peranan seluruh masyarakat ,badan-badan sukarelawan ,badan-badan dakwah ,pertubuhan-pertubuhan NGO dan pihak pemerintah bagi mengatasi perkara ini.

Untuk mengatasi masalah ini disarankan:

1. Memberi kefahaman kepada ibubapa mengenai pentingnya pendidikan agama dalam institusi keluarga dengan memupuk nilai-nilai murni dan sejagat.

2. Badan-badan dakwah dan sukarelawan ,pertubuhan-pertubuhan NGO harus mempergiatkan aktiviti bersama para remaja dengan memberi panduan dalam membina masa depan mereka.

3. Seluruh masyarakat seharusnya bermuafakat bagi membentuk auasana harmonis,kasih sayang dan aktif dalam proses pembinaan diri kanak-kanak.

Kita merasa hairan kepada orang yang ingin memperjuangkan hak kanak-kanak tetapi mereka menghalalkan "hubungan perzinaan" kerana untuk melahirkan kanak-kanak yang mantap seharusnya bermula dari ikatan perkahwinan yang sah.Begitu juga institusi kekeluargaan yang kukuh merupakan amanah dari Allah Yang Maha Kuasa dan anak yang soleh itu akan memberi kebahagiaan untuk ibubapanya di dunia dan di akhirat.Di negara umat Islam terdapat kanak-kanak yang buta huruf, menjadi buruh kasar dan tidak ada perlindungan yang khas bagi mereka.Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan kesinambungan kekuatan zuriat-zuriat mereka dalam menempuh alaf baru.

Monday, May 7, 2012

17 Golongan Mendapat Hidayah Disebut Dalam Al-Quran


"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." – (Surah ali-Imran, ayat 110)
 
17 Golongan Mendapat Hidayah Disebut Dalam Al-Quran 
 
1-Satu kewajipan pada Allah SWT yang perlu disempurnakan. Surah Al-Lail, ayat : 12.
"Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah)."

2-Hidayah terdapat dimana-mana dan dapat menyelamatkan manusia. Surah Taha, ayat 10 dan 20.
Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.
Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.

3-Hidayah tidak akan diberi kepada kaum yang telah disesatkan. Surah An-Nahl, ayat : 37.
Jika engkau (wahai Muhammad) terlalu tamak (inginkan mereka beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang berhak disesatkanNya; dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

4-Hidayah daripada Allah SWT adalah amat benar. Surah Al-Baqarah, ayat : 120 dan Surah Ali Imran, ayat : 73.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Dan (mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

5-Hidayah akan membawa ke Jalan Yang Lurus. Surah Al-Anam, ayat :87 dan 88.
Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).

6-Hidayah daripada Allah SWT memerlukan penjelasan daripada Allah SWT. Surah An-Nisa', ayat : 115.
Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

7-Hidayah akan mudah diterima jika tidak ada perkara yang menghalang. Surah Al-Kahfi, ayat : 57.
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

8-Orang yang mendapat hidayah akan bertambah ketaqwaan atau perasaan takut kepada Allah SWT. Surah  Muhammad, ayat : 17.
Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

9-Hidayah tidak akan diberikan kepada mereka yang memiliki sifat zalim. Surah  Al-Qasas, ayat : 50.
Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).

10-Tidak semua manusia yang akan mendapat Hidayah daripada Allah SWT, hanya mereka yang dipilih oleh Allah SWT sahaja yang akan mendapat hidayah daripada Allah SWT. Surah Al-An'am, ayat : 35.
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.

11-Golongan mereka yang terpilih untuk mendapat hidayah Allah SWT. Surah Al-A'raf ayat 178 dan Surah Al-Isra' ayat 97.
Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.
Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.

12-Golongan yang memperolehi pengajaran daripada kisah-kisah Nabi serta kitab-kitab yang Allah SWT utuskan. Surah Al-Hadid ayat 26.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab ugama; maka sebahagian di antara mereka: orang yang beroleh hidayah petunjuk, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik – derhaka

13-Golongan yang hatinya tidak tertawan dengan tawaran dunia yang merugikan. Surah Al-Baqarah ayat 16.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

14-Golongan yang menyembah Allah SWT dan tidak mengikut hawa nafsu. Surah Al-An'am ayat 65, 55 dan 56.
Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".
Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

15-Golongan yang tidak membunuh anak dan tidak menghalalkan apa yang Allah SWT haramkan.Surah Al-An'am ayat 140.
Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.

16-Bersedia dan redha dengan pemberian dan dugaan Allah SWT. Surah Al-An'am ayat 82.
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

17-Golongan yang tidak mengharapkan balasan sesama manusia. Surah Yasin ayat 20 dan 21.
Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".


مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً
"Barang siapa yang berbuat sesuai dengan hidayah(Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barang siapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul."
(Surah Al-Isra 17: Ayat 15)

Friday, May 4, 2012

Menangani Lintasan Fikiran


Maha Suci Allah yang telah menanamkan keyakinan dan keteguhan iman lalu melahirkan ketajaman pandangan orang-orang yang soleh. Jika kita sentiasa merenung dan mengikuti tahap demi tahap nasihat mereka, ianya akan memancarkan rasa kagum dan takjub di mana nasihat-nasihat mereka memiliki:

1. Daya sentuh yang cukup nikmat.
2. Kemampuan untuk mencerahkan fikiran.
3. Kekuatan untuk membuka hati.
 
Mari kita susuri inti-inti nasihat yang dituangkan dengan begitu indah oleh Imam Ibnul Qayyim Al- Jauziyah rahimahullah. Dia adalah salah seorang dari para solehin yang mempunyai piawaian untuk mengupas sifat dinamik jiwa manusia sebagaimana yang tertera di dalam kitab-kitab karyanya.

Dalam salah satu kitabnya yang bertajuk ‘Al Jawabu Al Kaafi Liman Sa-ala An Ad Dawa-i Syaafii’ (Jawaban tuntas bagi yang bertanya tentang ubat penyembuh), banyak sekali dicatatkan pandangannya tentang jiwa.

Salah satunya adalah tentang asal usul perbuatan seseorang yang berasal pada ‘khatirah’ (lintasan fikiran).

Ya, Lintasan fikiran.

Menurut Ibnul Qayyim, semua perilaku manusia, selalunya berasal dari ‘khatirah’ yang pada akhirnya akan menghantarkan seseorang pada tahapan amal atau praktikal.

Pembicaraan tentang lintasan fikiran menjadi sangat penting kerana dua perkara yang juga menjadi landasan Ibnul Qayyim dalam menghuraikan masalah ini.

PERTAMA, kerana tiada seorang manusiapun yang boleh terlepas dari lintasan fikiran.

Ia muncul begitu sahaja dan menjadi salah satu fitrah manusia pemilik panca indera. Kita tidak mungkin berada dalam situasi tidak memiliki lintasan fikiran dan masalah ini menjadi lebih penting lagi, jika ternyata, Allah swt Maha Mengetahui :

1. Pengkhianatan mata.
2. Apa yang tersembunyi di dalam hati.
3. Rahsia yang tersembunyi.

KEDUA, lintasan fikiran itu tersembunyi malah lebih tersembunyi berbanding kerlingan mata atau lebih tersembunyi dari sikap hasad dengki dan seumpamanya.


Ia ada dalam alam fikiran dan wujud dalam bentuk lintasan-lintasan belaka dan Allah Maha Mengetahui yang paling tersembunyi itu.

Tapi sesungguhnya, lintasan fikiranlah yang akan mendahului setiap perilaku dan perbuatan.

Itu sebabnya, Ibnul Qayyim membahagi lintasan fikiran kepada tiga (3) kategori :

1.PERTAMA : ‘Khatirah Ruhmaniyah’ (ruhmaniyah berasal dari Rahman), adalah seluruh lintasan fikiran yang berisi kebaikan dan hal-hal yang utama seperti menuntut ilmu, amar ma’ruf dan nahi mungkar, sedekah dan lainnya.

2.KEDUA : ‘Khatirah Syaithaniyah’ iaitu bertentangan dengan yang pertama di mana ia adalah lintasan fikiran syaitan yang isinya sentiasa penuh dengan kekejian dan kemungkaran belaka.

3.KETIGA : ‘Khatirah Nafsaniah’ iaitu lintasan fikiran yang berlaku ketika seseorang itu bermimpi.

Perhatikanlah ungkapan Ibnul Qayyim ini dalam kitab di atas :

"Lintasan-lintasan itu memang kompleks kerana dia berada dalam ruang kebaikan atau keburukan.

Dari lintasan fikiran (khatirah) itu lahir :

1. Keinginan (iradah).
2. Kecenderungan (himmah).
3. Tekad (azimah).

Orang yang sejak awal mampu mengendalikan lintasan fikirannya, bererti ia mampu mengendalikan jiwa dan menundukkan hawa nafsunya namun bagi orang yang dikendalikan oleh lintasan fikirannya, bererti jiwa dan nafsunya yang lebih kuat.

Siapapun yang menganggap mudah lintasan fikiran, niscaya lintasan fikiran itu akan menyeretnya pada kehancuran…"

Dalam kitab yang lain, Ibnul Qayyim mengatakan :

"Buanglah lintasan fikiran ‘syaithaniyah’ :

Jika engkau tidak buang, ia akan menjadi ‘fikrah’.

Buanglah ‘fikrah’ itu.

Jika engkau tidak buang, ia menjadi ‘himmah’ (kecenderungan).

Buanglah ‘himmah’ itu.

Jika engkau tidak buang, ia akan menjadi amal perilaku.

Buanglah perilaku itu.

Jika engkau tidak melakukannya ia akan menjadi kebiasaan."

Seperti itulah asal perilaku jahat yang bermula dari lintasan fikiran.


Bersyukurlah kepada Allah swt atas kekuatan ‘bashirah’ yang diberikan kepada Ibnul Qayyim kerana Ibnul Qayyim bukan hanya menyampaikan peri penting dan mendesaknya kita mengetahui tahapan tahapan itu, malah ia juga mengajarkan cara untuk menghempas fikiran negatif itu dalam tiga langkah :

1. PERTAMA, kosongkan hati dari lintasan fikiran buruk dengan tidak mendekati sesuatu yang dapat memancingnya.
2. KEDUA, jika hati telah kosong dari keburukan itu, hati mestilah diisi. Isilah dan sibukkan dengan Allah dan kecintaan padaNya.

Cara mengisi hati dan menyibukkan diri di sini ada lima bentuk :

1. PERTAMA, fikirkan ayat-ayat Allah yang diturunkan dalam Al Quran serta fahami maksud dan tujuannya.
2. KEDUA, berfikirlah tentang ayat-ayatNya yang terlihat dan ambillah pelajaran darinya yang dikaitkan dengan nama dan sifatNya.
3. KETIGA, berfikirlah tentang ketinggian, kebaikan, kemurahanNya kepada makhlukNya meliputi seluruh nikmat, kasih sayang dan ampunanNya yang sangat luas.
4. KEEMPAT, berfikirlah tentang kekurangan dan aib diri sendiri serta tentang kekurangan dalam beramal. Pemikiran ini akan meluluhkan nafsu yang mengajak kepada keburukan dan akan menghidupkan jiwa serta menjadi tenang.
5. KELIMA, berfikirlah tentang kewajiban waktu yang berkait dengan urusan agama mahupun dunia.

Cara menghempas lintasan fikiran negatif yang KETIGA adalah dengan menjaga lintasan hati dari yang haram dan yang keliru.

Ini dapat dilakukan dengan dua cara :

1. PERTAMA, mengetahui sumber-sumber yang dapat memancing yang haram dan tempat-tempat yang sensitif yang boleh menyeret kepada kesalahan.
2. KEDUA, membandingkan dan menimbang serta mengetahui akibat yang muncul dari kekeliruan yang ada dalam lintasan fikiran. Ini adalah pekerjaan akal.

Seterusnya Ibnul Qayyim mengajak kita membandingkan antara dua keadaan iaitu katanya :

1. Bandingkan antara kelazatan mendekatkan diri kepada Allah dan kelazatan mendekati kepada kekotoran.
2. Bandingkan antara kelazatan dosa dengan kelazatan hati yang memelihara diri dari dosa.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami lintasan-lintasan fikiran yang baik supaya kami dapat istiqamah dalam melaksanakan segala amal soleh dan jauhkanlah kami dari lintasan-lintasan syaithaniyah supaya kami mampu menghindarkan diri dari mengikuti pujukan dan rayuannya.

Thursday, May 3, 2012

Kehebatan Rasa Takut Kepada Allah


Martabat manusia ditentukan oleh akhlaknya. Kematangan sikap dan peribadi bermula dari rumah tangga.
Menanamkan sikap yang jujur dan membentuk perangai umat mesti dimulai dengan menanam syakhsiah pada keluarga manakala pembinaan rohani anggota keluarga pula perlu dilaksanakan dengan agama.


Ia sebenarnya perlu dimulai dengan menanamkan rasa ”Khauf” atau takut sebagaimana firman Allah swt :
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh rasa takut (khauf) dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (QS As Sajdah : 16)

Perkataan “khauf” yang bererti takut telah disentuh di dalam Al Qur’an sebanyak 134 kali dan perkataan yang sinonim dengannya iaitu “Khasysyah” yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali.
Allah swt menjadikan kehidupan di dunia ini ibarat medan ujian yang mesti ditempuh oleh manusia.

Firman Allah swt tentang perkara tersebut :
“Dialah Allah  yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS Al Mulk : 2)

Rasa takut (khauf) merupakan sifat kejiwaan dan kecenderungan fitri yang bersemayam di dalam hati manusia dan memiliki peranan yang penting dalam kehidupan kejiwaan manusia.
Sayyidina Ali bin Abi Talib ra berkata :

(MAN KHAAFA AAMANA), “Barangsiapa yang takut, aman!”
  1. Kalau kita tidak takut hujan, kita tidak akan sediakan payung.
  2. Apabila kita tidak takut sakit, kita tidak akan berusaha untuk meningkatkan kesihatan kita.
  3. Apabila kita tidak takut negara rosak, maka kita tidak perlu memilih pemimpin yang baik.
Islam tidak memandang rasa takut yang ada dalam diri manusia sebagai aib yang mesti dihilangkan.
Namun demikian, rasa takut akan menjadi sesuatu yang buruk apabila seseorang tidak mampu mengatur dan menyalurkan rasa takutnya, apalagi bila rasa takut itu menjadi halangan kepada apa-apa kemajuan, penghambat kebebasan mengamalkan sunnah dan membiarkan kehormatan dirinya rosak.
Sayyidina Ali bin Abi Talib ra menasihati kita lagi :

“Kalau kamu bertekad melakukan sesuatu, maka harungilah ……
kerana bayangan bencana terlihat lebih besar dari yang sebenarnya.” 

Jadi, sesungguhnya menunggu datangnya sesuatu, tanpa bersiap sedia dan berbuat sesuatu sebenarnya lebih buruk dari sesuatu yang ditunggu itu sendiri.
Oleh kerana itu, lebih baik kita melakukan persiapan dan menyusun kekuatan batin menghadapi sesuatu yang akan datang.
Al Qur’an telah menggambarkan rasa takut yang timbul pada jiwa para rasul dan juga pada diri hamba-hamba Allah yang soleh, meskipun mereka adalah manusia pilihan yang terkenal suci dan bersih.

Allah swt berfirman menceritakan peristiwa keluarga Musa as ketika menghadapi kekejaman Fir’aun yang membunuh setiap anak-anak lelaki yang lahir kerana takut, jika generasi yang lahir itu, akan mengubah kekuasaan yang selama turun temurun telah berada di tangan keturunan Fir’aun itu.

Maka ketika Musa lahir, yang memang dipersiapkan oleh Allah swt untuk menggantikan kekuasaan Fir’aun, kepada ibu Musa diilhamkan oleh Allah swt sebagai berikut :

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa : “Susukanlah dia, dan apabila kamu takut (khuatir), maka hanyutkanlah ia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu takut dan (jangan pula) bersedih hati kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.” (QS Al Qashash : 7)

Rasa takut (khauf) adalah masaalah yang berkaitan dengan kejadian yang akan datang.
Seseorang hanya merasa takut jika :
  1. Yang dibenci tiba.
  2. Yang dicintai hilang.
Takut merupakan salah satu syarat iman dan kerelaan melaksanakan hukum-hukumnya.
Takut kepada Allah adalah rasa takut yang semestinya dimiliki oleh setiap hamba kerana rasa takut itu mendorong untuk :
  1. Meningkatkan amal kebaikan.
  2. Bersegera meninggalkan semua yang dilarangNya.
Rasa takut kepada Yang Maha Kuasa adalah salah satu tiang penyangga keimanan kepadaNya.

Dengan adanya rasa takut, timbul rasa harap (rajaa’) akan keampunan (maghfirah), lahir harapan tentang ‘inayah' (pertolongan) serta rahmat Allah dan ridhaNya.
Sehingga hakikat “iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin” benar-benar termatri dalam kalbu seorang hamba.

Di saat manusia merasakan getaran rasa takutnya kepada Allah, maka ketika itu bererti mereka memiliki rasa takut pula akan ancaman azab yang Allah sediakan bagi orang-orang yang durhaka kepadaNya.
Ma’rifah (pengetahuan) akan sifat Allah akan menghantarkan ke dalam pengetahuan tentang azabNya.

Seorang hamba yang soleh, berma’rifatullah dan merealisasikan hakikat kehambaannya dengan sentiasa mengamalkan perintahNya dan mengamalkan pula semua ajaran rasulNya, pasti akan memiliki rasa takut yang mendalam terhadap azab yang mengancamnya.
Sikap ini akan melahirkan kewaspadaan sehingga tidak ada amal atau perilaku yang mengarah kepada perkara-perkara yang menjadikan Allah murka dan menjadikan dirinya durhaka kepada Allah swt.

Allah swt berfirman :
“Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut akan siksaan hari yang besar jika aku durhaka kepada Tuhanku.” (QS Az Zumar : 13)

Sesungguhnya rasa takut kepada Allah itu merupakan salah satu perasaan yang diciptakan dalam diri manusia untuk memotivasi mereka dalam menyebarluaskan dan menjaga nilai-nilai Ilahi.

Orang yang benar dalam memposisikan rasa takutnya akan merasakan rahmat Allah samada dalam kehidupan duniawi mahupun ukhrawi.
Rasa takut ini dapat menjadi kuat dan lemah bergantung kepada keyakinan seseorang pada Allah swt.

Jika manusia itu memahami begitu banyak maksiatnya yang akan dihadapkan kepada  Allah Yang Maha Agung yang tidak memerlukan apa-apa daripada kita, maka akan timbullah rasa takut.

Maka orang yang paling tinggi rasa takutnya adalah yang paling mengetahui dirinya dan penciptanya.

Firman Allah swt :
“Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada Allah di antara hambanya adalah para ulama’.” (QS Faathir : 28)

Kesan dari rasa takut yang benar adalah jika seseorang sudah benar kefahamannya, maka mulailah rasa takut masuk dihatinya dan memberi kesan pada:
  1. Wajahnya yang kelihatan pucat.
  2. Perasaannya yang mulai gementar.
  3. Tangisannya yang mula kedengaran.
Kemudian kesan itu menjadi penggugah untuk ia meninggalkan maksiat lalu terus membuat komitmen dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam beramal.


KATEGORI RASA TAKUT
Rasa takut ini ada yang :
  1. Berlebihan.
  2. Sederhana.
  3. Kurang.

  1. Yang berlebihan adalah yang mengakibatkan rasa putus asa dan berpaling dari ketaatan.
  2. Yang sederhana akan menimbulkan sikap waspada, hati-hati (wara’), takwa,  mujahadah, fikir, zikir, kesihatan fizikal dan kebersihan akal.
  3. Yang kurang akan mengakibatkan tidak meninggalkan maksiat yang dilakukan.

Rasa takut para salafus soleh berbagai-bagai :
  1. Ada yang takut meninggal sebelum bertaubat.
  2. Ada yang takut diuji dengan nikmat.
  3. Ada yang takut hilang sifat istiqamah.
  4. Ada yang takut su’ul khatimah.
  5. Ada yang takut dahsyatnya berdiri di hadapan Allah swt.
  6. Ada yang takut dihijab tidak dapat melihat wajah Allah swt di akhirat nanti.
Inilah tingkatan takut para ‘aarifiin' kerana perasaan takutnya murni kepada kehebatan dan keagungan Allah swt sebagaimana firman-Nya :
“Dan Allah mempertakuti kamu dengan diri-Nya.” (QS Ali Imran : 30)

Di antara mereka ada Abu Darda’ ra yang berkata:
“Tidak seorangpun yang merasa aman dari gangguan syaitan terhadap imannya saat kematiannya.”

Begitu juga dengan Sufyan Ats-Tsauriy ketika saat wafatnya menangis, maka berkata seseorang:
“Ya Aba Abdullah! Apakah kamu mempunyai banyak dosa?”

Maka Sufyan mengambil segenggam tanah dan berkata:
“Demi Allah, dosaku lebih ringan dari ini, tetapi aku takut diganggu imanku sebelum kematianku.”

Ada pula seorang Nabi yang mengadu kelaparan dan kekurangan pakaiannya kepada Allah swt, maka Allah swt mewahyukan padanya:
“Wahai hambaku, apakah engkau tidak ridha bahwa aku telah melindungi hatimu dari kekafiran selama-lamanya sehingga engkau meminta dunia kepada-Ku?”

Maka Nabi tadi mengambil segenggam tanah lalu menaburkannya di atas kepalanya (kerana rasa syukurnya) sambil berkata:
“Demi Allah, aku telah ridha ya Allah, maka lindungilah aku dari kekafiran.”

Keutamaan rasa takut disebutkan dalam hadits Nabi saw :
“Berfirman Allah swt : Demi Keagungan dan Kekuasaan-Ku tidak mungkin berkumpul dua rasa takut dalam diri hambaku dan tidak akan berkumpul dua rasa aman. Jika ia merasa aman padaKu di dunia maka akan aku buat ia takut di hari kiamat, dan jika ia takut padaKu di dunia maka ia akan aman di akhirat.” (HR Ibnu Hibban)
BEBERAPA CONTOH SIFAT RASA TAKUT

PERTAMA : Takutnya para Malaikat :
“Mereka merasa takut kepada Rabb-nya, dan mereka melakukan apa-apa yang diperintahkan Allah.” (QS An-Nahl : 50)

KEDUA : Takutnya Nabi saw :
“Bahwa Nabi saw jika melihat mendung ataupun angin maka segera berubah menjadi pucat wajahnya. Berkata A’isyah ra: “Ya Rasulullah, orang-orang jika melihat mendung dan angin bergembira kerana akan datangnya hujan, maka mengapa anda cemas?” Jawab beliau saw: “Wahai A’isyah, aku tidak dapat lagi merasa aman dari azab, bukankah kaum sebelum kita ada yang diazab dengan angin dan awan mendung, dan ketika mereka melihatnya mereka berkata: Inilah hujan yang akan menyuburkan kita.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dan dalam hadits lain disebutkan bahwa Nabi saw, jika sedang solat, terdengar di dadanya suara desingan seperti air mendidih dalam tungku, kerana tangisannya.
KETIGA : Takutnya para sahabat radiallahuanhum :
  1. Abu Bakar ra sering berkata: “Seandainya saya hanyalah buah pohon yang dimakan.”
  2. Umar ra sering berkata: “Seandainya aku tidak pernah diciptakan, seandainya ibuku tidak melahirkanku.”
  3. Abu ‘Ubaidah bin Jarrah ra berkata: “Seandainya aku seekor kambing yang disembelih keluargaku lalu mereka memakan habis dagingku.”
  4. Berkata Imraan bin Hushain ra: “Seandainya  aku menjadi debu yang ditiup angin kencang.”
KEEMPAT : Takutnya para tabi’iin :
  1. Ali bin Hussein jika berwudhu untuk solat, menjadi pucat wajahnya, maka ditanyakan orang mengapa demikian? Jawabnya: “Tahukah kamu kepada siapa saya akan mengadap?”
  2. Berkata Ibrahim bin ‘Isa as Syukriy: “Datang padaku seorang lelaki dari Bahrain ke dalam masjid ketika orang-orang sudah pergi, lalu kami bercerita tentang akhirat dan zikrul maut, tiba-tiba orang itu sedemikian takutnya sampai menghembuskan nafas terakhir saat itu juga.”
  3. Berkata Misma’: “Saya menyaksikan sendiri peringatan yang diberikan oleh Abdul Wahid bin Zaid di suatu majlis, maka wafat 40 orang ketika itu juga di majlis itu setelah mendengar ceramahnya.”
  4. Berkata Yazid bin Mursyid: “Demi Allah seandainya Rabb-ku menyatakan akan memenjarakanku dalam sebuah ruangan selama-lamanya maka sudah pasti aku akan menangis selamanya, maka bagaimanakah jika ia mengancamku akan memenjarakanku di dalam api?!”

Demikianlah rasa takut para malaikat, nabi-nabi, para sahabat, tabi’iin, ulama’ dan auliya’.

Maka kita sebenarnya lebih patut untuk merasa takut dibandingkan dengan mereka.

Mereka takut bukan kerana dosa melainkan kerana kesucian hati dan kesempurnaan ma’rifah, sementara kita telah dikalahkan oleh kekerasan hati dan kebodohan.
Hati yang bersih akan bergetar hanya kerana sentuhan yang kecil, sementara hati yang kotor tidak berguna baginya nasihat dan ancaman.

Ya Allah, masukkanlah rasa takut ke dalam relung hati kami yang paling dalam terhadap kehebatan dan kekuasaanMu yang mutlak dan hapuskanlah rasa takut kami kepada sesama makhluk. Berilah kesedaran kepada kami melalui rasa takut akan azabMu hingga menjadikan kami sentiasa berhati-hati untuk tidak melanggar larangan-laranganMu dan sebagai motivasi untuk kami mempertingkatkan lagi ibadah kami kepadaMu.
Related Posts with Thumbnails