Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Wednesday, August 29, 2012

Puasa Sunat Syawal ( puasa 6 ) , Puasa Ganti ( puasa bulan ramadhan ) Dan Ziarah Raya



Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian

Tuesday, August 7, 2012

Ramadhan Mengubah Orientasi Kehidupan



Dalam kehidupan manusia, jika sesuatu aktiviti itu dilakukan secara berulang kali pastinya ia akan menumbuhkan rasa bosan.
Mungkin kita juga pernah rasakan, terjebak ke dalam aktiviti yang bersifat rutin, maka kita akan merasakan kebosanan.
Jika rasa bosan ini sudah muncul, maka produktiviti kerja akan semakin menurun. Dengan kata lain, ghairah dalam kehidupan menjadi semakin memudar.
Ketika itulah manusia memerlukan aktiviti penyegar (refreshing activity) untuk membangkitkan semula perasaan ghairahnya yang sudah layu.
Islam datang kepada manusia mengajarkan berbagai aktiviti penyegar yang sihat bagi manusia. Oleh kerana itulah banyak ajaran Islam disyari’atkan oleh Allah berada di tengah-tengah kesibukan yang membosankan.
Di antara pengaruh yang diharapkan adalah kemampuan untuk menumbuhkan jiwa yang segar dan semangat hidup kembali menjadi stabil.
Jika kita membuat perkiraan ke atas semua kegiatan ibadah yang diajarkan oleh Islam, maka kita akan dapati bahwa :
  1. Solat lima waktu menjadi wasilah penyegar terhadap kehidupan rutin harian kita.
  2. Solat Jumaat menjadi wasilah penyegar terhadap rutin mingguan.
  3. Bulan Ramadhan adalah wasilah penyegar terhadap rutin tahunan.
Dari perkiraan tersebut, nampak jelas konsep Islam dalam menimbulkan suasana penyegaran yang berbeza jauh dengan konsep lainnya.
Islam tidak mengajarkan proses penyegaran untuk bermalas-malas, tetapi mengajak untuk menyibukkan diri dengan aktiviti lain.

Allah swt berfirman :
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap”. (QS Al-Insyirah : 7-8)

Islam memandang bahwa semangat hidup berkait rapat dengan keadaan hati seseorang. Hati orang-orang yang beriman tidak akan pernah berputus asa, sementara orang kafir sangat berpotensi untuk berputus asa.

Dari sini kita faham bahwa ibadah-ibadah yang diajarkan oleh Islam itu akan menumbuhkan semangat waja sehingga hidup menjadi lebih bermakna.

Berbicara tentang Ramadan, Allah swt telah menjadikan bulan ini sebagai madrasah ruhiyah (sekolah kerohanian) untuk mentarbiyah atau mendidik hamba-hambaNya.

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan. Bulan keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya. Dalam bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan di dalamnya, maka ia telah luput dari banyak kebaikan." (HR Ahmad)

Syukur kepada Allah, kita masih dipertemukan dengan bulan yang sangat mulia dan berharga untuk meraih pahala yang tiada batas. Kita semua sangat memerlukan datangnya bulan penyucian diri ini.
Ramadhan datang :
  1. Dengan membawa kebaikan dan keberkatan.
  2. Dengan membawa berita gembira untuk seluruh alam.
  3. Untuk menyuci hati hamba-hamba yang berdosa.
  4. Untuk mengangkat darjat para hamba yang berbakti ke tahap semakin tinggi dari sebelumnya.
Ramadhan adalah bulan yang Allah pilih untuk menjadi saat turunnya kitab dan risalah-Nya.
Ia adalah :
  1. Bulan penghubung antara langit dan bumi.
  2. Saat rahmat tercurah dengan lebat.
  3. Saat maghfirah (keampunan) meluncur bagai air bah.
  4. Saat cahaya terpancar memenuhi segala penjuru.
  5. Saat kebaikan memancar di setiap minit dan detiknya.
Dalam bulan ini, disyariatkan ibadah puasa yang mempunyai banyak sekali keutamaan.
Puasa :
  1. Mempunyai pengaruh yang menakjubkan dalam menjaga anggota tubuh luar dan kekuatan batin di dalamnya.
  2. Menjaga perkara-perkara yang buruk yang boleh mempengaruhi dan merosakkan jiwa.
  3. Meningkatkan jiwa menuju ketinggian akhlak, kehalusan budi, keindahan pekerti, kematangan peribadi, kepekaan rasa dan penghambaan yang seutuhnya kepada Yang Maha Pencipta.
  4. Membebaskan diri dari belitan nafsu yang mengajak kepada perkara-perkara yang rendah nilainya.
  5. Menjadikan jiwanya merdeka dari lilitan nafsu syahwat dan kebinatangan yang berdiri kuat dalam dirinya.
Dengan berpuasa, seorang hamba dapat :
  1. Mempersempitkan laluan syaitan dalam aliran darah.
  2. Mengubah rasa ego menjadi cinta dan kasih sayang.
  3. Mengubah sikap rakus menjadi ridha dan qana'ah.
  4. Menukar sikap liar menjadi sabar, tenang dan terarah.
Maka jadilah kebahagiaan dirinya tidak lagi terbatas pada pemuasan syahwat semata-mata. Tidak sekadar memuaskan keperluan jasmaninya yang tidak pernah ada hujungnya.
Namun lebih dari itu, dengan berpuasa :
  1. Ia menikmati kenikmatan jiwa yang tiada tara dalam dirinya.
  2. Ia akan merasai ketenangan dan kedamaian jiwa yang luar biasa dan sentiasa bersamanya di manapun ia berada.
Itulah kelazatan iman yang dapat membawanya kepada kebahagiaan abadi sepanjang masa.
Ibnu Abdil Barr berkata :
"Cukuplah pernyataan Allah ‘Ash-Shaumu Li’‘Puasa adalah untukKu’ menjadikan puasa suatu keutamaan dibandingkan dengan ibadah-ibadah lainnya."
Ibnul Jauzi pernah berkata :
"Puasa itu ada tiga bentuk :
  1. Puasa rohani iaitu dengan tidak banyak berangan-angan.
  2. Puasa akal iaitu dengan menentang hawa nafsu.
  3. Puasa anggota tubuh dengan menahan diri dari makan, minum dan hubungan badan”
Berbagai macam ibadah diajarkan di bulan ini yang akhirnya adalah untuk menumbuhkan semangat hidup baru.
Marilah kita renungkan beberapa perkara berikut ;

PERTAMA : WAKTU SAHUR

Di Bulan Ramadhan, Allah swt mengajarkan hambaNya untuk melakukan sahur. Waktu sahur adalah waktu yang sangat mustajab.
Allah swt meletakkan kemuliaan yang sangat besar pada waktu tersebut. Sayang sekali, kebanyakan manusia hanya memanfaatkannya untuk makan sahur tanpa meluangkan waktu untuk bermunajat kepadaNya.

Mengapa mereka melalaikan sabda Rasulullah saw seperti berikut?
“Rabb kita (Allah) swt turun pada setiap malam ke langit dunia, pada sepertiga malam terakhir, lalu berfirman, ”Siapa yang berdoa kepadaKu maka aku akan kabulkan baginya, siapa yang meminta kepadaKu, maka aku beri kepadanya, Siapa yang meminta ampunan maka Aku akan mengampuninya” (HR Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya kita sangat memerlukan waktu-waktu seperti ini untuk :
a. Memohon kebaikan hidup di dunia dan akhirat kepada Allah swt.
b. Memohon keselamatan hati kita.
c. Memohon supaya hidup kita sentiasa bermakna.

KEDUA : SOLAT SUBUH DI MASJID

Ramai manusia yang meninggalkan solat subuh (fajar) dengan berjamaah di masjid. Kita boleh saksikan ketika solat Jumaat, masjid pasti sentiasa penuh tetapi jamaah Subuh tidak pernah mencapai ¼ dari jamaah Jumaat.
Lalu datanglah bulan Ramadhan, untuk menyedarkan bahwa di sana ada solat yang disaksikan oleh para malaikat.

Firman Allah swt :
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat)”. (QS Al-Isra’ : 78)
Rasulullah saw menambahkan :
“Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan menuju masjid di kegelapan dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat kelak.” (HR Tirmizi dan Abu Dawud)

Sayangnya betapa ramai kaum muslimin yang meninggalkan solat jamaah subuh di bulan Ramadhan hanya kerana tertidur setelah bersahur. Alangkah ruginya meninggalkan aktiviti yang boleh memupuk semangat hidup yang hakiki.

KETIGA : BERDOA

Rasulullah saw memberitahu kita bahwa doa orang yang berpuasa akan mendapatkan keutamaan pengabulan dari Allah swt.
Ini sebagaimana disebutkan di dalam hadis Nabi saw :
“Tiga golongan yang doanya tidak akan ditolak, di antaranya adalah orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, di dalam riwayat lain dikatakan, orang yang puasa ketika hendak berbuka.” (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Demikian juga Allah swt meletakkan ayat tentang berdoa di antara ayat-ayat yang menjelaskan tentang puasa iaitu ayat 186 surah Al Baqarah :
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”.permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala

Para ulama’ menjelaskan bahwa rahsia perletakan ayat ini adalah untuk mengisyaratkan bahwa doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak.
Namun berapa ramai di antara kita yang memperhatikan perkara ini?
Padahal doa inilah inti ibadah di dalam Islam atau dengan kata lain, doa ini akan memberikan semangat baru dalam kehidupan seorang muslim.

KEEMPAT : MEMBACA AL QUR’AN

Di bulan Ramadhan, Rasulullah saw memerintahkan untuk memperbanyakkan qira’at al-Qur’an atau membaca Al-Quran kerana bulan ini adalah bulan Al-Qur’an.
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). (QS Al-Baqarah : 185)

Selama bulan Ramadhan ini, hedaklah setiap muslim berusaha untuk mengkhatamkan Al- Qur’an meskipun hanya sekali.

Tentu sahaja membaca di sini bukan sekadar membaca tetapi bacaan yang disertai dengan tafakkur dan tadabbur.
a. Al-Qur’an bagi seorang mukmin adalah panduan hidup.
b. Al-Qur’an juga penawar hati dari segala penyakit jiwa.
Oleh itu membaca Al-Qur’an yang disertai dengan tadabbur akan membuatkan jiwa kita semakin hidup.

KELIMA : MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH

Di bulan Ramadhan, Rasulullah saw memberikan contoh tauladan untuk  memperbanyakkan sedekah.
Sedekah adalah sebuah amal yang menjanjikan pahala yang sangat besar.
Allah swt berfirman;
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui. (QS Al-Baqarah : 261)

Dengan sedekah ini, maka akan terciptalah silaturrahim dan akan diperolehi makna ‘ukhuwwah fillah’ serta akan terjaga persatuan kaum muslimin.
Memulakan suatu kebiasaan baik adalah sebuah langkah yang berat tetapi Allah swt dan RasulNya saw telah mengajarkan kita untuk memulakan langkah pertama itu di bulan Ramadhan.

Sayang, kebanyakan manusia menganggap bahwa Ramadhan adalah waktu untuk melakukan kewajiban ini semua, bukan untuk memulakan amal soleh.

Akibatnya mereka menghentikannya semua amal soleh itu setelah selesai Ramadhan. Inilah yang menjadikan kita sentiasa kembali ke titik permulaan semula.

Ramadhan semestinya dijadikan garis permulaan yang mesti sentiasa diteruskan dengan tindakan selanjutnya dan ditingkatkan, bukan dianggap sebagai suatu musim ibadah seperti musim-musim yang lain, bersemangat ketika tiba dan berhenti ketika ramadhan berakhir.
Ramadhan adalah waktu terapi intensif untuk memperbaiki dan menjernihkan hati. Ibadah puasa, sahur, solat tarawih, berdoa, membaca Al-Quran, infak dan sedekah serta segenap ibadah yang diperintahkan dan disyariatkan didalamnya merupakan rangkaian program pembaikan diri dan masyarakat.

Saat-saat Ramadhan ini juga adalah waktu yang tepat untuk membuktikan kekuatan :
  1. Menahan keinginan dan perasaan.
  2. Kesetiaan dalam ucapan.
  3. Kebenaran dalam sikap.
  4. Ketabahan dalam melaksanakan komitmen yang sudah diputuskan.
Bila kita mampu meneruskan segala amal soleh yang telah dimulai pada bulan Ramadhan, maka selepas dari bulan Ramadhan, kita akan merasakan hidup baru iaitu hidup yang lebih menyegarkan namun jika kita kalah di bulan Ramadhan, maka bersedialah untuk kalah di bulan-bulan selepasnya.
 
Ya Allah, kurniakanlah kekuatan jiwa kepada kami supaya kami mampu jadikan Ramadhan sebagai medan permulaan kepada kami untuk kami laksanakan amal-amal soleh yang boleh menyegarkan kembali iman dan keyakinan kami kepadaMu sehingga ianya boleh merubah orientasi dan cara hidup kami ke arah yang lebih baik dan menyegarkan.

Monday, August 6, 2012

Ramadhan Wasilah Dakwah



Dalam era informasi, komunikasi dan teknologi, Ramadhan boleh kita umpamakan sebagai sebuah laluan Jalur Lebar di mana kita berpeluang untuk :
  1. Memuat turun sebanyak-banyaknya rahmat dan keampunan dari Allah swt.
  2. Memuat naik segala amal-amal soleh yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan tersebut.
Di dalam bulan Ramadhan terdapat berbagai kebaikan. Perkara ini terbukti dengan begitu ramainya kehadiran umat Islam di segenap masjid dan surau.
Alhamdulillah, inilah yang membuatkan kita sepanjang tahun merindukan kehadirannya. Kita akan menyaksikan sebuah transformasi penampilan umat Islam yang begitu bermakna.
Kita juga melihat bahwa umat Islam tiba-tiba menjadi :


Gemar membaca Al-Qur'an.
  1. Gemar memperbanyakkan amal soleh dan amal ibadah.
  2. Gemar bersedekah.
  3. Gemar solat Tarawikh.
  4. Gemar memerhatikan nasib kaum fakir miskin serta anak yatim.
  5. Kaum muslimat pula lebih gemar menghiasi dirinya dengan tudung dan pakaian menutup aurat.
Di sisi yang lain pula, keghairahan untuk berbuat perkara keji dan maksiat mengalami penurunan yang drastik. Walaupun tidak dapat dinafikan masih ada di sana sini pihak-pihak yang tetap melakukannya padahal Nabi saw telah bersabda bahwa "syaitan-syaitan dibelenggu”, maksudnya dari jenis jin.

Oleh kerana itu Imam Al-Qurthubi rahimahullah mengatakan:
Kemaksiatan itu berlaku disebabkan oleh sejumlah faktor selain dari syaitan :
  1. Jiwa manusia yang buruk.
  2. Kebiasaan yang tidak baik.
  3. Syaitan dari jenis manusia.
Kalau kita pergi ke negara-negara yang penduduk muslimnya minoriti seperti Amerika, Eropah atau Australia, maka kita akan melihat pemandangan yang jauh lebih menyentuh hati. Di tempat-tempat seperti itu umat Islam tampil penuh dengan ruh persaudaraan dan kasih sayang terutama bila menyambut dan menyediakan acara "ifthar jama'ie" atau majlis berbuka bersama di masjid atau Pusat Islam.

Perlaksanaan majlis berbuka di pelbagai Pusat Islam di negara-negara tersebut menjadi sangat menarik kerana biasanya mereka terdiri dari komuniti muslim antarabangsa yang melibatkan kaum muslimin dari berbagai keturunan dan bangsa. Kemudian anggota masyarakat masing-masing menyumbangkan makanan khas Negara masing-masing.


Subhanallah..! Suatu pemandangan yang sungguh menyentuh hati. Berhimpunlah mereka iaitu muslim yang berbagai warna kulit, bangsa dan bahasa duduk dalam suatu majlis dengan hidangan yang berlatar belakangkan aneka selera antarabangsa.


Semua mereka duduk bersama diikat oleh rasa cinta dan persaudaraan yang dikenali dengan
"Al-Ukhuwwah Al-Islamiyyah" iaitu persaudaraan Islam. Duduk bersama di rumah Allah swt yang merupakan Tuhan kepada orang kulit putih mahupun kulit hitam, Tuhan orang Arab mahupun bukan Arab. Semuanya berhimpun semata-mata untuk mengharapkan rahmat dan ridha Allah swt, Tuhan Yang Maha Esa.

Kemudian biasanya kegiatan berbuka puasa di Pusat Islam seperti di atas dijadikan kegiatan
"open house" atau rumah terbuka. Maknanya acara tersebut mengundang dan membuka diri bagi kehadiran masyarakat setempat sekalipun mereka bukan muslim. Perkara ini diharapkan dapat menjadi wasilah mengajak mereka mengenali bahkan tertarik dengan ajaran Islam yang penuh dengan nilai-nilai persaudaraan dan cinta yang hakiki.

Hasil penyelidikan membuktikan bahwa seringkali hidayah Allah swt tercurah pada ketika itu sehingga tidak pelik apabila setiap undangan terbuka acara berbuka puasa seperti di atas menyebabkan ada sahaja orang Amerika, Eropah atau Australia yang kemudiannya tersentuh hati lalu masuk Islam kerana memang hanya ajaran Islamlah yang benar-benar sanggup menghimpun dan menyatukan umat manusia dari berbagai latar belakang, warna kulit, bahasa, suku, keturunan dan bangsa.
Maha Benar Allah swt ketika berfirman :

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (QS Al-Hujuraat : 13)

Maknanya, umat Islam di negara-negara seperti Amerika, Eropah dan Australia sangat kreatif sehingga sanggup memanfaatkan bulan Ramadhan sebagai wasilah berdakwah mengajak kalangan bukan muslim masuk ke dalam rahmat Allah swt, yakni
‘Al-Islam’.

PERSOALANNYA :

"Tidakkah kita yang mempunyai penduduk majoriti muslim di negara ini semestinya lebih sanggup lagi untuk merebut hati warga bukan muslim di negara ini melalui pemanfaatan bulan Ramadhan?"

JAWABANNYA
: Semestinya boleh....

Selain itu Ramadhan juga merupakan bulan yang bertaburan dengan rahmat Allah swt. Inilah bulan di mana musuh Allah dan musuh orang-orang beriman (yakni syaitan) dibelenggu, pintu-pintu neraka tertutup dan tidak satupun dibiarkan terbuka sedangkan pintu-pintu syurga dibuka dan tidak satupun yang tertutup.

Rasulullah saw bersabda :
"Bila tiba malam pertama bulan Ramadhan para syaitan dibelenggu, maksudnya jin. Dan pintu-pintu neraka ditutup dan tidak satupun yang dibuka dan pintu-pintu syurga dibuka dan tidak satupun yang ditutup." (HR At Tirmizi)

Hadits Nabi saw di atas membuatkan kita mengerti mengapa setiap kali memasuki bulan Ramadhan umat Islam mengalami transformasi penampilan yang begitu penting.

Sedarkah kita bahwa ini semua hanya membuktikan betapa hebatnya Allah swt mencurahkan rahmatNya bagi umat manusia yang beriman di bulan Ramadhan?


Maka seharusnya kita merenungi fakta ini dalam tafakkur kita. Sayugialah kita memanfaatkan detik berharga ini untuk melaksanakan aktiviti terbaik yang Allah swt perintahkan kita melakukannya.
Sudah sepatutnya dalam suasana "banjir" rahmat dan keberkatan dari Allah swt ini, kita umat Islam mengingati kembali firman-firman Allah swt berikut :

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah ta'ala, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri (kaum muslimin)." (QS Fushilat : 33)

"Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS An Nahl : 125)

Pernahkah kita cuba untuk menimbulkan rasa empati kepada orang-orang bukan muslim di bulan Ramadhan terutama orang-orang yang selama ini kita anggap tidak mempunyai masalah dengan kita ertinya, mereka tidak termasuk golongan
"kafir harbi" (orang kafir yang memusuhi Islam).
Tahukah kita bahwa bila tiba bulan Ramadhan, orang-orang seperti ini, hatinya cukup tersentuh menyaksikan umat Islam yang sedang mengalami transformasi penampilan yang bermakna.

Kenapa?


Ini adalah kerana di dalam diri merekapun ada aspek fitrah atau kemurnian jiwa yang ditanamkan oleh Allah swt sedangkan fitrah manusia sentiasa cenderung kepada kebaikan.


Fitrah manusia adalah sesuatu yang mampu mengenalpasti mana perbuatan yang baik dan mana perbuatan yang buruk.


Maka ketika orang-orang bukan Islam yang bukan musuh ini menyaksikan umat Islam tiba-tiba :
  1. Menjadi rajin beribadah.
  2. Membaca kitab suci Al Qur’an.
  3. Memperbanyakkan sedekah.
  4. Menampilkan perpaduan social.
Niscaya di dalam diri mereka muncul perasaan terharu kalaupun tidak dapat dikatakan rasa cemburu. Mereka menjadi cemburu kerana sesungguhnya mereka juga ingin merasakan perkara yang serupa. Itulah sebabnya mengapa sebahagian mereka bahkan ada yang secara ikut-ikutan turut sama "berpuasa" bersama umat Islam.

Maka, dalam detik penuh rahmat dan berkat dari Allah swt ini, mengapa kita tidak cuba memanfaatkannya serta terus menawarkan kepada mereka untuk semuanya masuk ke dalam rahmat Allah swt di bulan yang baik ini?


Sampaikanlah kalimat yang biasa Nabi saw sampaikan :


"Aslim Taslam"
ertinya "Masuk Islamlah engkau, niscaya engkau bakal selamat di dunia dan di akhirat"

Dengan kedatangan bulan yang penuh rahmat ini, marilah kita bersungguh-sungguh berperanan menjadi penyebar rahmat Allah swt sebagaimana yang diisyaratkan di dalam Al-Qur'an :

"Dan tidaklah kami mengutus engkau (Muhammad saw) melainkan agar menjadi rahmat bagi semesta alam. " (QS Al-Anbiyaa : 107)

Inilah hakikat sebenarnya umat Islam menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta. Kita berusaha untuk berkongsi nikmat yang paling mahal yang dianugerahkan oleh Allah swt, iaitu nikmat Iman dan Islam.


Ini adalah kerana kita tidak ingin masuk syurga bersendirian. Kita ingin seramai mungkin manusia turut bersama menuju rahmat dan syurga Allah swt dan untuk meraih rahmat dan syurga Allah swt, tidak ada jalan lain selain dari jalan yang telah ditempuh oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan cara berdakwah kepada manusia dengan menampilkan akhlak yang terbaik sehinga rahmat ini dapat dirasakan dan dikecapi oleh seluruh umat manusia sehingga hari Qiamat.


Ya Allah, kami memahami betapa luasnya rahmat dan keampunanMu di bulan Ramadhan. Berilah kekuatan kepada kami untuk kami mampu menarik rahmat dan keampunanMu itu dengan amal-amal soleh kami serta doa-doa kami. Kami juga mengharapkan semoga amal-amal kami yang naik ke atas di terima olehMu manakala rahmat dan keampunanMu tercurah ke bawah dengan sebanyak-banyaknya menerusi jalur lebar yang tidak bertepi di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.

Friday, August 3, 2012

Menuai Pahala Tanpa Batas



Rasulullah saw bersabda :
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali ganda. Allah swt berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. (HR Muslim)

Dalam riwayat lain dikatakan :
“Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untukKu.’ (HR Bukhari)

Dalam riwayat Ahmad dikatakan :
“Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya), ‘Setiap amalan adalah sebagai kafarah/tebusan kecuali amalan puasa. Amalan  puasa adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya.’” (HR Ahmad dengan sanad sahih sesuai dengan syarat Muslim)

PAHALA YANG TIDAK TERHINGGA DI SEBALIK PUASA

Dari riwayat pertama, dikatakan bahwa setiap amalan akan dilipatgandakan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kebaikan yang semisal dengannya kecuali amalan puasa.
Amalan puasa tidaklah dilipatgandakan seperti cara di atas kerana puasa itu tidak dibatasi dari segi gandaan pahalanya. Oleh kerana itu, amalan puasa akan dilipatgandakan oleh Allah hingga berganda-ganda tanpa ada batasan bilangan.
Kenapa boleh berlaku demikian?

Imam Ibnu Rajab Al Hanbali mengatakan :
Kerana puasa adalah bahagian dari kesabaran”.

Mengenai ganjaran orang yang bersabar, Allah swt berfirman :
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS Az Zumar : 10)
Sabar itu ada tiga bentuk :
  1. Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.
  2. Sabar dalam meninggalkan yang haram.
  3. Sabar dalam menghadapi takdir yang terasa menyakitkan.
Ketiga-tiga bentuk sabar ini semuanya terdapat dalam amalan puasa.
Dalam puasa tentu sahaja wujud di dalamnya bentuk melakukan ketaatan, menjauhi perkara-perkara yang diharamkan dan juga dalam berpuasa, seseorang akan berusaha untuk bersabar dari perkara-perkara yang menyakitkan seperti menahan diri dari rasa lapar, dahaga, dan lemahnya badan.
Itulah sebab kenapa amalan puasa boleh meraih pahala tidak terhingga sebagaimana sabar.


AMALAN PUASA ADALAH KHUSUS UNTUK ALLAH

Dalam riwayat lain dikatakan bahwa Allah swt berfirman :
“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untukKu.”

Riwayat ini menunjukkan bahwa setiap amalan manusia adalah untuknya sedangkan amalan puasa, Allah khususkan untuk diriNya. Allah menyandarkan amalan tersebut untukNya.
Kenapa Allah menyandarkan amalan puasa untukNya?


ALASAN PERTAMA

Di dalam puasa, seseorang meninggalkan berbagai kesenangan syahwat. Perkara ini tidak didapati dalam amalan-amalan lain. Semasa kita berihram misalnya, memang ada perintah meninggalkan jima’ (berhubungan badan dengan isteri) dan meninggalkan berbagai wangi-wangian. Namun bentuk kesenangan lain dalam ihram tidak ditinggalkan.

Begitu juga dengan  ibadah solat. Dalam solat, memang kita dituntut untuk meninggalkan makan dan minum. Namun itu dalam waktu yang singkat. Bahkan ketika hendak solat, jika makanan telah dihidangkan dan kita merasa perlu pada makanan tersebut, kita dianjurkan untuk menyantap makanan terlebih dahulu dan boleh menunda solat ketika dalam keadaan sedemikian.

Tapi dalam amalan puasa, kita dikehendaki meninggalkan berbagai macam syahwat yang tidak kita jumpai pada ibadah-ibadah yang lain. Jika seseorang telah melakukan itu semua seperti meninggalkan  hubungan badan dengan isteri dan meninggalkan makan-minum ketika puasa dan dia meninggalkan itu semua kerana Allah, padahal tidak ada yang memperhatikan apa yang dia lakukan tersebut selain Allah, maka ini menunjukkan benarnya iman orang yang melakukan perkara semacam itu.

Itulah yang dikatakan oleh Ibnu Rajab :
“Inilah yang menunjukkan benarnya iman orang tersebut.”

Orang yang melakukan puasa seperti itu sentiasa menyedari bahwa dia berada dalam pengawasan Allah meskipun dia berada sendirian. Dia telah mengharamkan melakukan berbagai macam syahwat yang dia sukai. Dia lebih suka mentaati Rabbnya, menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya kerana takut pada siksaan dan sentiasa mengharap ganjaranNya.

Sebahagian salaf mengatakan :
“Beruntunglah orang yang meninggalkan syahwat yang ada di hadapannya kerana mengharapkan janji Rabb yang tidak nampak di hadapannya.”
Oleh kerana itu, Allah membalas orang yang melakukan puasa seperti itu dan Dia pun mengkhususkan amalan puasa tersebut untukNya dibandingkan amalan-amalan lainnya.


ALASAN KEDUA

Puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Rabbnya yang tidak ada orang lain yang mengetahuinya. Amalan puasa berasal dari niat batin yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya dan dalam amalan puasa ini terdapat bentuk meninggalkan berbagai syahwat.

Oleh kerana itu, Imam Ahmad dan selainnya mengatakan :
“Dalam puasa, sukar sekali untuk terdapatnya riya’ (ingin dilihat / dipuji orang lain).”
Dari dua alasan inilah, Allah swt menyandarkan amalan puasa padaNya yang berbeza dengan amalan lainnya.

SESEORANG MEMASUKI SYURGA DI SEBABKAN PAHALA PUASA

Ada satu riwayat lain di mana Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya) :
“Setiap amalan adalah sebagai kafarah / tebusan kecuali amalan puasa. Amalan  puasa adalah untukKu.”

Sufyan bin ‘Uyainah mengatakan :
“Pada hari kiamat nanti, Allah swt akan menghisab hambaNya. Setiap amalan akan menimbus berbagai macam kezaliman yang pernah dilakukan sehingga tidak tersisa satu pun kecuali satu amalan iaitu puasa. Amalan puasa ini Allah akan simpan dan akhirnya Allah memasukkan orang tersebut ke syurga.”

Jadi, amalan puasa adalah untuk Allah swt. Oleh kerana itu, tidak boleh bagi sesiapapun untuk mengambil ganjaran amalan puasa tersebut sebagai tebusan baginya. Ganjaran amalan puasa akan disimpan bagi pelakunya di sisi Allah swt.
Dengan kata lain, seluruh amalan kebaikan dapat menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan oleh pelakunya sehingga kerana banyaknya dosa yang dilakukan, seseorang tidak lagi memiliki pahala kebaikan apa-apa.

Ada sebuah riwayat yang menyebutkan bahwa pada hari kiamat nanti, antara amalan keburukan dan kebaikan akan ditimbang, satu yang lainnya akan saling memangkas. Lalu tersisalah satu kebaikan dari amalan-amalan kebaikan tadi yang menyebabkan pelakunya masuk syurga.

Itulah dia amalan puasa yang akan tersimpan di sisi Allah. Amalan kebaikan lain akan memangkas keburukan yang dilakukan oleh seorang hamba. Ketika tidak tersisa satu kebaikan kecuali puasa, Allah akan menyimpan amalan puasa tersebut dan akan memasukkan hamba yang memiliki simpanan amalan puasa tadi ke dalam syurgaNya.


DUA KEBAHAGAIAAN YANG DIRAIH OLEH ORANG YANG BERPUASA

Dalam hadits di atas dikatakan :
“Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya.”

PERTAMA : KETIKA SESEORANG BERBUKA PUASA
Ketika berbuka, jiwa begitu ingin mendapat hiburan dari perkara-perkara yang dia rasakan tidak menyenangkan ketika berpuasa, iaitu jiwa sangat senang menikmati makanan, minuman dan menggauli isteri. Jika seseorang dilarang dari berbagai macam syahwat ketika berpuasa, dia akan merasa senang jika perkara-perkara tersebut dibenarkan semula.

KEDUA : KETIKA SEORANG HAMBA BERJUMPA DENGAN  RABBNYA
Di mana ia akan menjumpai pahala amalan puasa yang dia lakukan tersimpan di sisi Allah swt. Itulah ganjaran besar yang sangat dia perlukan.
Allah swt berfirman :
“Dan kebaikan apa sahaja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperolehi (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya.” (QS Al Muzzammil : 20)
“Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (dimukanya).” (QS Ali Imran : 30)
“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.” (QS Al Zalzalah : 7)

BAU MULUT ORANG YANG BERPUASA DI SISI ALLAH
Ganjaran bagi orang yang berpuasa yang disebutkan pula dalam hadits di atas adalah :
“Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.”

Seperti kita tahu bersama bahwa bau mulut orang yang berpuasa apalagi di siang hari sungguh tidak mengenakkan.
Namun bau mulut yang seperti ini adalah bau yang menyenangkan di sisi Allah kerana bau ini dihasilkan dari amalan ketaatan di samping mengharapkan ridha Allah. Sebagaimana juga darah orang yang mati syahid di mana pada hari kiamat nanti, warnanya adalah warna darah, namun baunya adalah bau minyak kasturi.
Keharuman bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah ini ada dua sebab :

PERTAMA :
Sebagaimana dijelaskan sebelumnya bahwa puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Allah di dunia. Ketika di akhirat, Allah pun menampakkan amalan puasa ini sehingga makhluk pun tahu bahwa dia adalah orang yang gemar berpuasa.
Allah memberitahukan amalan puasa yang dia lakukan di hadapan manusia lainnya kerana dahulu semasa di dunia, dia berusaha kuat untuk menyembunyikan amalan tersebut dari orang lain.
Inilah bau mulut yang harum yang dinampakkan oleh Allah di hari kiamat nanti kerana amalan rahsia yang dia lakukan.

KEDUA :
Barangsiapa yang beribadah dan mentaati Allah, sentiasa mengharapkan ridha Allah di dunia melalui amalan yang dia lakukan, lalu muncul dari amalannya tersebut bekas yang tidak terasa enak bagi jiwa di dunia, maka bekas seperti ini tidaklah dibenci di sisi Allah. Bahkan bekas tersebut adalah sesuatu yang Allah cintai dan baik di sisiNya.

Ini disebabkan kerana bekas yang tidak terasa enak tersebut  muncul dalam rangka melakukan ketaatan dan mengharap ridha Allah. Oleh kerana itu, Allah pun membalasnya dengan memberikan bau harum pada mulutnya yang menyenangkan seluruh makhluk, walaupun bau tersebut tidak terasa enak di sisi makhluk ketika di dunia.
Inilah beberapa keutamaan amalan puasa.

Inilah yang akan diraih oleh seorang hamba yang melaksanakan amalan puasa yang wajib di bulan Ramadhan mahupun amalan puasa yang sunnah dengan berlandaskan keikhlasan dan sentiasa mengharap ridha Allah.

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami sehingga kami mampu meraih keutamaan dari amalan puasa Ramadhan yang kami lakukan. Kurniakanlah kepada kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik serta amalan yang diterima sehingga kami bergembira apabila bertemu denganMu dan mendapati pahala yang melimpah ruah yang disimpan untuk kami hasil dari puasa kami di dunia.

Thursday, August 2, 2012

I'tikaf Meraih Malam Al Qadr




Dalam perjalanan kehidupan ini manusia sentiasa memerlukan dua perkara :

PERTAMA :
Penilaian diri untuk melihat sejauhmanakah sudah perjalanannya dan seperti apakah harapan-harapan yang telah dicapainya.

KEDUA ;
Mendapatkan tenaga untuk meneruskan perjalanan dan harapan-harapan yang belum dapat dicapainya. Kedua-dua keperluan ini iaitu penilaian diri dan mendapatkan tenaga akan dapat kita penuhi ketika kita melakukan sebuah aktiviti dalam bentuk "I'tikaf" di Masjid.

Inilah Rahsia mengapa I'tikaf menjadi sebuah aktiviti yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah saw sejak pertama kali disyariatkan puasa sehingga beliau wafat.
Dalam rangkaian ayat-ayat tentang puasa yang Allah sebutkan dari ayat 183 –187 dalam surah Al-Baqarah, I'tikaf menjadi salah satu amal yang menjadi keutamaan untuk dilakukan selama bulan Ramadhan.

Dalam kaitan dengan fungsi penilaian diri, sesungguhnya waktu I'tikaf adalah saat yang paling tepat untuk kembali membangun semula perjalanan hidup kita untuk satu tahun kehadapan kerana di saat itulah kita terlepas dari segala aktiviti dunia dan penumpuan dalam melakukan ibadah dan merenung semula akan perjalanan hidup kita kerana antara aktiviti taqarrub kepada Allah dan usaha merenung ke dalam diri ada kaitan yang sangat erat , iaitu bahwa manusia, ketika melakukan ibadah yang bersungguh-sungguh akan memiliki kelembutan jiwa dan ketika jiwanya lembut maka dia akan lebih mudah untuk menyedari keadaan dirinya dan melakukan pembaikan ke atas kekurangan dan kesalahan-kesalahannya selama ini.

Inilah yang telah di isyaratkan oleh Allah swt :

"Wahai orang-orang beriman.! bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dipersiapkan untuk hari esok(akhirat),dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan".(QS Al-Hasyr :18)
Dalam kaitan bagi mendapatkan tenaga, I'tikaf merupakan waktu yang penuh dengan hari dan malam yang istimewa kerana di malam-malam dan hari-hari tersebut, orang yang melakukan I'tikaf akan memiliki kekuatan ibadah yang luar biasa dalam bentuk istighfar, tasbih, tahmid, takbir, tilawah dan berbagai macam ketaatan yang lain dan ini merupakan modal tenaga dan kekuatan yang sangat luar biasa kerana aktiviti ini akan berpengaruh kepada penambahan kekuatan dan tenaga dari Allah swt.

"Wahai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa." (QS Hud : 52)
I'TIKAF DAN LAILATULQADR

Dalam pembahasan para ulama', salah satu sebab mengapa Rasulullah saw dan para sahabat begitu bersemangat dan teruja melakukan I'tikaf , iaitu dalam rangka meraih Lailatul Qadr kerana kaitan antara I'tikaf dan Lailatul Qadr begitu erat sekali dari sudut pandangan anugerah dan waktu.

Dari sudut anugerah, Lailatul Qadr merupakan sesuatu yang berharga yang mesti dicari dan diraih.

Dari sudut waktu, Lailatul Qadr merupakan saat yang mesti diisi kerana malam itu malam yang teristimewa berbanding malam-malam yang lainnya.

Di antara anugerah besar yang Allah swt berikan kepada kaum muslimin pada malam itu adalah anugerah penentuan taqdir-taqdir manusia untuk satu tahun kehadapan sebagaimana yang dijelaskan dalam Tafsir Ibnu Katsir.

Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam yang diberkati, sungguh Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan dengan penuh hikmah"(QS Ad-Dukhaan : 3-4)
Tentulah akan ada perbezaan antara penentuan taqdir Allah swt kepada orang-orang yang pada malam tersebut mengisi waktunya dengan taqarrub dan ketaatan dengan orang yang disibukkan dengan dunia.
Allah swt pasti lebih suka orang yang beribadah dari pada orang yang lalai dan bermaksiat kepadanya pada saat Dia menentukan taqdir-taqdirNya.

MATERIAL DAN KEROHANIAN

Permohonan dan munajat yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah saw yang mesti kita perbanyakkan adalah permohonan yang bersifat kerohanian berupa pencerahan jiwa bukan sesuatu yang bersifat material seperti harta, jawatan dan hal-hal duniawi lainnya kerana terlalu naif apabila kita hanya mengharapkan berkat yang bersifat material.

Untuk itu ketika Ummul Mu'minin Aisyah ra bertanya kepada Rasulullah saw, apa yang mesti dibaca apabila mendapatkan Lailatul Qadr?

Maka Rasulullah saw menjawab :
Bacalah " Allahumma innaka afuwun karimun tuhibbul afwa fa'fu `anni" ertinya "Ya Allah Engkau Maha Pemberi maaf dan Maha Mulia, suka kepada kemaafan, maka maafkanlah aku" (HR.Imam Ahmad,Turmudzi dan Ibnu Majah)

Malam Al Qadr adalah satu malam yang suci. Tidak semua orang boleh mencapainya. Manusia tertidur dan setelah itu mereka menyesal kerana mereka kehilangan malam itu. Sementara yang lain pula kelihatan terjaga, tetapi mereka lalai dan oleh kerana itu mereka tidak melihat apa-apa.

Kita memohon kepada Allah Azza wa Jalla agar dapat memperolehi malam suci itu dan dihitung sebagai orang yang berhasil mencapainya.

Ada kekayaan yang nampak dan ada pula kekayaan yang tidak nampak (sesetengah orang kaya di dunia, sementara yang lain kaya di akhirat).
Jika kita datang mendekati mereka yang kaya di dunia ini, mungkin kita akan mendapat sesuatu dan mereka mungkin tidak akan membiarkan kita pulang dengan tangan kosong tetapi, mereka yang kaya di akhirat akan sentiasa memberi.
Siapa yang memberikan wang dan hartanya demi Allah, tidak akan pernah habis dan siapa yang memiliki kedudukan di akhirat akan memberi kepada orang yang mengikuti mereka untuk akhirat.

Pada malam itu, Allah membuka suatu rahmat dari samudera-samuderaNya, sehingga Dia memberikannya secara melimpah ruah kepada orang-orang yang mendapatkan malam itu. Kekayaan dari malam itu juga akan sampai kepada kita, Insyaallah…

Malam itu adalah malam yang paling tinggi barakahnya di antara semua malam. Kita mencuba untuk memenuhi kewajiban kita, tetapi kita tidak mampu untuk berbuat adil kepada Allah swt. Betapa jauhnya diri kita dari melayaniNya menurut cara yang patut bagiNya. Apa yang kita lakukan sebenarnya hanya memiliki nilai simbolik belaka.

Bulan ini berlalu sebegitu cepatnya. Kita berpuasa, tetapi kita bukannya kehilangan hari-harinya, justeru bahkan kekuatan kita terus bertambah. Jika Islam ini bukan yang haq (benar), bagaimana mungkin suatu perintah sejak 15 abad yang lampau masih tetap berlaku dan satu billion manusia melaksanakan puasa?

Sebuah kenderaan tidak dapat berjalan tanpa bahan bakar. Jika tidak ada suatu kekuatan kerohanian yang sedang dan tetap bekerja sejak 15 abad lalu, tentu Islam tidak akan bertahan hingga sekarang. Ada suatu kekuatan penggerak bagi Islam.

Adakah sesiapa yang merasa bosan terhadap suatu mata air yang segar? Saat Ramadhan bermula, hati-hati kita dipenuhi dengan kegembiraan. Jika tidak, tentu mereka bukanlah Muslim.

Siapa yang menghormati malam suci itu tidak akan jatuh ke jurang krisis dan siapa yang tidak menghormati malam itu, dia akan dicatat dan ditandakan oleh malaikat di pagi hari sebagai orang yang tidak melakukan sujud. Allah telah menyeru manusia untuk solat dan mereka tidak memenuhi seruanNya. Segala sesuatunya dicatat, tidak peduli siapa orangnya dan apa kedudukannya.

Bagi setiap manusia, akan tiba hari terakhirnya dan kematian adalah penuh dengan ketidaktentuan. Ianya adalah sedemikian rupa hingga seseorang tidak mahu dan tidak dapat melalui satu malam atau bahkan satu jam di dalam kubur di samping mayat seseorang yang telah mati.
Demikianlah ketakutan di tempat seperti itu. Setiap orang akan bersendirian di kuburnya masing-masing dan hanya ada kegelapan menemaninya.

Berusahalah untuk meninggalkan tubuh kita dalam keadaan bersih demi ruh kita. Adalah penting untuk pergi dalam keadaan suci dan baik agar para malaikat pun menerima kita dengan baik

Ketika seseorang mendapatkan keampunan di malam Al Qadr yang mulia itu, maka ia akan mendapatkan kejernihan dan pencerahan jiwa. Inilah yang akan melahirkan jiwa-jiwa yang sensitif yang sentiasa menilai diri dan meraih tenaga-tenaga dari Allah swt.

Selamat mencari malam Al Qadr dan kita berdoa semoga Allah swt mengurniakan malam yang berkat itu kepada kita.
Related Posts with Thumbnails