Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Monday, November 26, 2012

Muhasabah diri tak lakukan perbuatan bertentangan syariat




Hijrah bertitik tolak daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan banyak peristiwa penting berlaku selepas itu. Pastinya, banyak pengajaran dapat dipelajari daripada perjuangan Rasulullah yang sewajarnya dijadikan iktibar.

Firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110)

Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu sia-sia bahkan ada pengajaran atau ‘ibrah’ di sebaliknya bertujuan sebagai pengajaran serta panduan kepada umat berikutnya.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111) 

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak sirah Baginda yang berlaku untuk membimbing kepada jalan kebenaran.


Maksud hijrah 

Perkataan ‘hijrah’ bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan dalam konteks lain, hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku. Dalam hal ini Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman lebih kukuh dan mantap.

Setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya. 

Antara ujian itu disebut dalam firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110) 

Hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad kerana hijrah adalah antara cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci serta menjaga kehormatan diri. 

Ini bertepatan firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Sempena sambutan tahun baru hijrah 1434 ini, sewajarnya setiap kita bermuhasabah diri atau memperbetulkan amalan supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan syariat Islam agar sambutan yang diadakan lebih bermakna.


Transformasi lebih berjaya

Ini selaras persetujuan ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi adalah titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat dan menjurus seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Umat Islam di negara ini hendaklah mengambil peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW untuk menghayati ajaran Islam supaya hidup mereka lebih bermakna serta berjaya. Biarlah niat hijrah kita menjanjikan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100) 

Selain itu, semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering dibaca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud: “Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.” 

Semoga kehadiran  Muharam 1434 akan membawa kebaikan dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat. Marilah bersama menghayati firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara dan kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103) 

Tuesday, November 20, 2012

Semua bersatu selamatkan Gaza!




SIMPATI dengan rakyat di bumi Palestin tidak habis-habis dirundung penderitaan angkara askar Yahudi laknatullah yang tidak berperikemanusiaan itu membunuh dengan kejam rakyat yang tidak berdosa mengikut nafsu mereka sahaja menggunakan senjata canggih apabila dibandingkan dengan senjata batu dan senapang patah di pihak rakyat Palestin yang berjihad mempertahankan bumi tanah air mereka.Kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa perbuatan terkutuk askar Yahudi ini tanpa belas kasihan sedikit pun.

Malang sungguh buat penduduk Gaza setelah seorang demi seorang pemimpin mereka mati syahid dibunuh dengan kejam melalui roket canggih mereka dan bangunan kediaman yang musnah runtuh oleh peluru berpandu mereka. Kehidupan di bandar Gaza itu seperti mimpi yang amat mengerikan di mana siang dan malam sentiasa diburu dengan ketakutan dan kecemasan kerana peluru ditembak tidak kira masa dan tempat mengikut suka hati mereka sahaja.

Kekurangan makanan dan minuman serta di malam harinya pula tiada lampu untuk menerangi sinar malam sudah tentu kita dapat merasakan betapa deritanya rakyat Palestin ini.
Kereta-kereta kebal askar Israel pula kini mengganas menceroboh bandar Gaza untuk memusnahkan bandar serta membunuh ramai lagi penduduk Gaza.

Tiada siapa yang berani dan tiada negara Islam di mana pun mampu isytiharkan untuk berjuang bagi membebaskan bumi Palestin kerana adalah berpunca umat Islam itu sendiri berbelah bahagi tidak mahu bersatu disebabkan ugutan kuncu-kuncu Yahudi seperti Amerika dan negara-negara Barat lain.

Sebab mengapa jadi begitu sebab mereka dari mula lagi sudah bersatu dengan pakatan tentera bersekutu NATOnya dengan bertujuan utama mereka untuk menyekat kekuatan Islam mungkin kerana dendam Perangan Salib seribu tahun dahulu itu masih menghantui mereka dan negara-negara Islam begitu takut bukan sahaja untuk memerangi mereka tetapi untuk mengangkat muka pun tidak mampu.

Kalau ada pun memandang dari jauh sahaja apa yang berlaku tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk menentang kaum Yahudi yang sombong dan bongkak ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seolah-olah buat tidak nampak atau tutup sebelah mata sahaja apa yang berlaku dan kekejaman askar Israel terhadap penduduk Palestin seperti tiada tindakan langsung daripada pertubuhan dunia ini.

Kalau inilah sikap mereka umat islam terutama sekali apa yang berlaku di Palestin akan berlarutan penderitaan penduduknya di mana setiap ahli keluarga di negara itu pernah terkorban syahid atas perbuatan terkutuk Yahudi itu.

Sepatutnya penduduk dunia di mana sejumlah lebih kurang 1.5 bilion umat Islam daripada jumlah 7 bilion ini mesti bersatu bagi menentang rejim Yahudi yang hanya 20 juta sahaja dan jangan biarkan mereka bermaharajalela membunuh dan memusnahkan bumi Palestin dimana terletaknya tempat suci Masjid Al-Aqsa iaitu masjid yang ketiga berkat dan pentingnya kepada umat Islam. Jangan sampai Masjid Al-Aqsa dibinasakan nanti baharu hendak bertindak dan itu pun kalau mampu.

Pemimpin-pemimpin Islam dari seluruh dunia jangan berpeluk tubuh sahaja tetapi mesti bertindak segera untuk memastikan bumi Palestin dibebaskan dari cengkaman Yahudi yang tidak habis-habis menyusahkan rakyat Palestin dan dunia islam yang lainnya juga serta nekad halau mereka dari bumi Palestin dengan cara apa sekali pun walau pun terpaksa beramai-ramai mengangkat senjata berjihad mempertahankan maruah umat Islam sejagat.
Kalau semuanya bersatu terutama sekali negara-negara Islam disekeliling Tel-Aviv tempat kubu kuat rejim Yahudi ini berpakat menentangnya habis-habisan sudah tentu Islam akan menang dan negara Palestin akan berdaulat kembali.

Saya yakin jika kita ikhlas dan dapat bersatu menentang rejim Yahudi pertolongan Allah akan sampai dari segenap penjuru kerana bertindak diiringi dengan doa adalah kekuatan umat islam sebenarnya kerana itu adalah senjata kita.

Kalau kita sebagai umat islam dapat menjalankan amanah membebaskan Palestin bukan sahaja maruah kita dapat dikembalikan malahan dunia Islam akan bersatu kukuh kembali sebagaimana kukuhnya islam di zaman para Sahabat dahulu.


Wednesday, November 14, 2012

merencana azam tahun baru




Setiap kali datangnya tahun baru Hijrah atau dipanggil ‘Awal Muharram’ mahupun ‘Maal Hijrah’, maka soalan biasa yang sering ditanya ialah “Apa azam tahun baru Hijrah kamu?”
Saya yang dhaif lagi lemah ini terfikir. Apakah kaitannya sambutan perayaan Maal Hijrah ini dengan azam tahun baru. Mungkin kata mereka, sekurang-kurangnya kita berazam untuk melakukan perubahan yang lebih baik. Dalam masa yang sama azam kita mengikut kalendar Hijrah. Betul jugak ekkk…Bukankah berubah menjadi lebih baik itu satu tuntutan. Bukankah azam itu sebahagian dari niat? Niat yang baik akan diberi pahala walaupun tidak melaksanakannya.
Sebenarnya jika dirujuk kepada penulisan sejarah, membuktikan bahawa tarikh penghijrahan Nabi sallahu alaihi wasallam ke Madinah dari Mekah tidak berlaku pada bulan Muharram. Walaupun berlaku khilaf berkenaan tarikh Hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam, namun tiada langsung pendapat yang mengatakan ianya berlaku pada 1 Muharram.
Syeikh Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya Fiqh al-Sirah, beliau memilih pendapat yang terkuat tentang hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam berlaku pada 2 Rabiul Awwal iaitu 13 tahun selepas kerasulan baginda.
Tiba pada zaman Khalifah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, beliau melihat keperluan untuk Islam memiliki kalendar tersendiri.  Lalu dengan kelebihan dan kehebatan peristiwa Hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam ke Madinah, maka pada tahun tersebut ianya dipilih sebagai tahun pertama Kalendar Islam.
Yang menariknya di sini Khalifah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu tidak memilih tahun kelahiran Nabisallahu alaihi wasallam sebagai permulaan kalendar Islam. Sebagaimana kalendar Masihi yang bermula dari Tahun kelahiran Nabi Isa alaihissalam. Benar sabda Rasulullah sallahu alaihi wasallam yang memberi gelaran kepada Umar al-Khattab dengan panggilan al-Farouq. Iaitu pembeza di antara kebenaran dan kebatilan. Beliau cukup cekap menafsir kehendak agama yang dibawa Nabi sallahu alaihi wasallam yang amat suka mencari sesuatu sebab membezakan Islam dengan agama lain.
Mungkin atas faktor inilah ada sebahagian ulama yang mempertikaikan majlis bacaan doa awal dan akhir tahun. Sebab pada zaman Nabi sallahu alaihi wasallam masih belum mempunyai kalendar Islam. Namun bagi saya yang lemah dan dhaif. Berdoalah pada setiap masa. Tidak mengira awal, akhir, tengah ataupun tepi setiap tahun. Asalkan tidak mensabitkan waktu-waktu tertentu yang tiada asalnya daripada Nabisallahu alaihi wasallam.(Wallahua’lam, rujuklah ustaz di kawasan anda)


Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. bukanlah berlaku secara tidak sengaja. Segala-galanya telah dirancang dan disusun dengan rapi Allah s.vv.t. agar kita sebagai umat yang kemudian dapat mempelajari sesuatu daripada peristiwa yang hebat ini.Memang boleh sekiranya Allah menghijrahkan Rasul-Nya dari Mekah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya. Bahkan penghijrahan Baginda Rasulullah s.a.w. boleh dilakukan dengan cepat dan tanpa perlu bersusah payah, dan Rasulullah pun boleh sampai ke bumi Madinah dengan selesa dan
selamat. Tetapi yang jelas Allah tidak menghendaki sedemikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan unsur perlindungan Ilahi dan juga ikhtiar manusia.

Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga akhir, ia
penuh dengan peristiwa-peristiwa yang cemas dan mendebarkan. Memang Rasulullah
mendapat perlindungan Allah, tetapi Baginda juga terpaksa menempuhi perjalanan yang serba pahit.  Bukannya mudah untuk melepasi jaring-jaring maut kaum Quraisy yang berhabis-habisan memburu untuk menghapuskan Baginda. Begitu rapi perancangan kaum Quraisy, namun perancangan hijrah Rasulullah yang diilhamkan oleh Allah jauh lebih rapi dan tersusun.
Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasulullah s.a.w. memang
sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, demikian Baginda tidak pernah
berasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merencanakan perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting yang telah diperlihatkan oleh Baginda dalam menjayakan rencana penghijrahan ini termasuklah:
   
Pertama,  perancangan yang rapi dan teliti.Baginda tidak tidur di biliknya pada malam
itu. Sebaliknya diperintahkan Ali Abi Talib mengambil tempatnya tidur di kamar Baginda untuk mengelirukan musuh yang menyangka Baginda masih berada di biliknya. Begitu juga Baginda tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah utara selepas keluar dari Mekah, tetapi sebaliknya Baginda menghala ke selatan dan berhenti di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan pihak Quraisy sudah mulai mengendur.

Kedua, sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh
menerusi Abdullah Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat di
Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Baginda di Gua
Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga
kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual beli dengan harga yang
sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya perancangan perisikan yang tujuannya tidak lain hanya untuk mendapatkan maklumat.                               

Ketiga, kerahsiaan adalah satu perancangan Baginda yang sangat berkesan. Lihat
saja bagaimana tidak seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Abu Bakar
r.a. hinggalah ke saat perlaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan
bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran
maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan
musnahnya seluruh perencanaan.

Keempat, menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau daripada orang kafir
sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu
bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke
Madinah. Hal ini dilakukan oleh Baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan
Islam itu tidak akan mengkhianatinya. Daripada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-siurnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berencana. Sesuatu cita-cita tidak
mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus
dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan seperti mana firman Allah dalam surah al-Anfal ayat ke-60.Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan- kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
  

Monday, November 5, 2012

Salam Tahun Baru Hijrah...Awal Muharam..




                                                                   Awal Muharam




                                                                Sejarah Kalender Hijrah




                                                        Doa Awal Tahun Dan Akhir Tahun






                                                                  Peristiwa Penting




                                                               Amalan-Amalan Sunat





Related Posts with Thumbnails