Assalamualaikum dan Salam sejahtera , semoga anda semua berada di dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dirahmati olehNya. Pernahkah anda rasa ingin berubah? Daripada yang buruk kepada baik, daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik? Pasti bukan, begitu juga saya. Ingin beramal kepadaNya sebaik mungkin, menjadi antara yang terbaik.
Tetapi mampukah kita untuk menjadi yang lebih baik? Saya sendiri kurang pasti dengan keupayaan diri saya sendiri, terasa amat jahil diri ini untuk melaksanakan suruhanNya. Maklumlah, ilmu itu berpanjangan dan tidak akan putus-putus. Hari ini teorinya sebegini, esok atau lusa mungkin teori itu akan berubah. Begitu juga dengan diri kita, bersediakah kita untuk berubah sepenuhnya?
Islam telah mengajar kita, telah berapa banyak umat Islam yang telah berjaya di mata dunia. Yang paling menariknya, betapa indahnya Islam. Mungkin ada yang sudah mengetahui tentang kisah yang saya ingin kongsikan di sini, tetapi tidak salah bukan jika kita membacanya berulang kali. Kisah mengenai beberapa orang hamba Allah yang telah diberikan hidayah olehNya dan telah hidup di dalam Islam.
Mereka adalah antara yang berjaya di muka bumi ini dan menjadi antara muallaf yang paling popular di dunia. Hayatilah kisah mereka ini agar menjadi panduan kepada kita yang sememangnya kita mengakui Islam itu agama kita, tetapi ada juga di kalangan kita hanya Islam pada nama. Ketahuilah bahawa Islam itu indah.
Yvonne Ridley adalah wartawan British yang lantang menghentam Islam menerusi hak kebebasan wanita. Beliau memasuki Afghanistan secara haram dengan memakai burka selepas permohonan visanya ditolak beberapa kali. Beliau menjadi masyhur setelah diculik pihak Taliban kerana mengesyakinya seorang perisik. Salah seorang anggota Taliban yang menahannya menyuruh beliau memeluk Islam tetapi beliau enggan. Sebaliknya, Yvonne berjanji akan membaca al-Quran setelah dia dibebaskan. Beliau bersikap kurang ajar kepada orang yang menahannya termasuklah meludah ke muka mereka. Walaupun begitu Taliban melayannya dengan baik dan menjaga kehormatannya sebagai seorang perempuan. Sehinggakan beliau diberi kunci bilik tahanan supaya boleh menguncinya dari dalam. Setelah dibebaskan beliau menunaikan janjinya untuk membaca al-Quran oleh kerana kagum dengan sikap puak Taliban yang melayannya dengan baik. Terpesona dengan al-Quran sebagai satu-satunya kitab yang mengangkat status wanita, Yvonne memeluk Islam pada 2002 dan menjadi seorang pengkritik yang disegani.
Min Keller – Mualaf bertaraf ulama
Mulanya, Nu Ha Min Keller adalah warga Amerika Syarikat beragama Kristian dan memeluk Islam setelah beliau mengkaji dan mendalami Islam. Sebelum memeluk Islam beliau sentiasa dalam pencarian untuk memilih agama ketuhanan yang benar. Setelah memeluk Islam, Min Keller menjadi penterjemah buku-buku Islam dan pakar dalam bidang perundangan Islam. Terjemahan kitab Umdat al-Salik sebuah kitab pegangan mazhab Syafie dalam bidang syariah boleh dianggap paling masyhur. Reliance of the Traveller adalah kitab perundangan Islam dalam bahasa Eropah yang pertama menerima pengiktirafan daripada Universiti Al-Azhar.
Dr. Hofmann – Diplomat berjiwa Islam
Murad Wilfried Hofmann dilahirkan sebagai seorang Katolik dan memeluk Islam pada tahun 1980. Beliau ialah seorang yang berprofil tinggi dalam kerajaan Jerman. Kemasukannya dalam agama Islam menimbulkan kontroversi memandangkan jawatan yang disandang tidak seiringan dalam doktrin Kristian. Dr. Hofmann bertugas sebagai seorang pegawai tinggi di Jabatan Perkhidmatan Luar Jerman pada 1961 sehingga 1994. Mula bertugas sebagai pakar dalam pertahanan nuklear dan selepas itu menjadi Pengarah Informasi Nato di Brazil. Antara jawatan antarabangsa yang disandangnya ialah Duta Jerman di Algeria dan Maghribi. Beliau sekarang menjadi penaung Pusat Islam di Jerman.
No comments:
Post a Comment