PENDAHULUAN
Akhir-akhir ini murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat
Islam di mana-mana sahaja, di dalam perbualan harian, didalam akhbar-akhbar,
majalah-majalah dan disebut juga didalam ceramah-ceramah. Selain itu,
mungkin ramai umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad
sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu
keluar dari agama Islam dan menganut agama lain.
DEFINISI MURTAD
Perkataan murtad berasal dari Bahasa Arab iaitu riddah atau irtidad. Dari sudut
bahasa perkataan riddah kebiasaannya membawa maksud kembali atau rujuk
iaitu kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Adapun perkataan
irtidad membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan
agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk
mempercayai agama lain. Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggalkan
atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana
akidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samaada dengan
melalui perkataan, perbuatan atau apa-apa iktikad, kepercayaan dan keyakinan
hati.
PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN MURTAD
Menurut Islam, murtad boleh terjadi dengan melakukan salah satu daripada tiga
perkara berikut :-
Pertama : Melalui perkataan atau ucapan dan kata-kata. (Murtad Qawli)
Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata yang
dikeluarkan oleh seseorang Islam yang menunjukkan dia menolak hukum-hukum
Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau
kata-kata yang menghina mana-mana ajaran Islam, hukum-hukum Islam,
menghina Allah SWT, menghina nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi lain dan
sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib
berpuasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain. Begitu juga
kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang diharamkan oleh Allah dan
rasulnya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah
disepakati oleh para ulama tentang halal atau haramnya seperti dia
menghalalkan zina, menghalalkan liwat (hubungan sejenis), menghalalkan
minum arak atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jualbeli dan
seterusnya. Maka sikap demikian boleh menjadi murtad.
Kedua : Melalui perbuatan atau tingkahlaku. (Murtad Fi’li)
Murtad juga boleh berlaku melalui apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkahlaku
yang boleh membatalkan imannya, maka seseorang itu boleh menjadi murtad
seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau
kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain
daripada Allah SWT seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain. Begitu
juga yang meninggalkan sembahyang fardu atau puasa Ramadhan dengan
mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia
mengingkari salah satu perkara wajib yang telah diketahui oleh setiap orang
Islam, tetapi kalau dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak
menjadi murtad. Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah
dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan Al-Quran ke tempat-tempat
kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadis dan tafsir atau memijak-mijaknya
dengan niat menghina.
Ketiga : Melalui akidah, kepercayaan atau niat. (Murtad I’tiqadi)
Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang
Islam mengingkari didalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia
yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa
agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jenayah Islam)
tidak layak dilaksanakan sekarang di dalam masyarakat moden. Begitu juga
apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam
ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi.
Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa nabi Muhammad SAW bukan
nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh
manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah
hukum-hukum lampau, tidak sesuai dengan zaman moden sekarang. Dia
menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktikad tidak ada dosa dan
pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkitkan semula
sesudah mati, beriktikad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam atau
berbalik-balik hati antara mahu menjadi kafir pada masa akan datang dan lainlain
lagi keyakinan dan iktikad yang salah.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA MURTAD
1 - Tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu dan bapa.
2 - Tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibubapa atau keluarga
yang bercerai.
3 - Tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing yang mendapat
halangan keluarga.
4 - Saudara Baru yang memeluk Islam dengan tujuan mendapat kemudahan
dan simpati dan apabila gagal mendapat bantuan berterusan ia akan
kembali kepada agama asal mereka.
5 - Terpengaruh dengan ajaran sesat, black metal, dadah dan gejala yang
bersifat negatif.
6 - Pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibubapa.
7 - Adanya pakatan sulit peguam-peguam bangsa asing untuk mengeluarkan
saudara baru dari agama Islam.
8- Dengan penyebaran risalah atau Kitab Bible dalam bahasa Melayu secara
meluas di kompleks membeli-belah dan hotel-hotel penginapan.
9 - Hiburan melampau yang dimainkan oleh media menjadikan remaja
melayu lalai.
10 - Kurang perhatian orang Islam terhadap Saudara Baru yang bermasalah
dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa.
IMPLIKASI MURTAD
1 - Disuruh bertaubat.
Apabila seseorang telah sabit murtad, dia perlu diberi nasihat dan
kaunseling, juga disuruh bertaubat beberapa kali. Jika tidak mahu
bertaubat setelah disuruh berulang kali, dia mesti dibunuh. Tempoh masa
untuk bertaubat tersebut mengikut Jumhur U’lama selama tiga hari tiga
malam. Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta
mahu kembali kepada Islam semula, taubatnya diterima dengan melalui
beberapa perkara seperti mengucap dua kalimah syahadah semula dan
menginsafi segala kesalahan dan perlu membuat pengakuan atau ikrar
diatas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi murtad.
2 - Dijatuhkan hukuman bunuh.
Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan
atau dikaunseling dalam tempoh masa yang ditentukan, maka dia mesti
dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya.
Hukuman bunuh seperti di atas telahpun dijalankan oleh sahabat-sahabat
Rasulullah SWT, antaranya Saidina Umar al-Khatab dan Saidina Ali bin
Abu Talib di zaman pemerintahan masing-masing.
3 - Dirampas hartanya.
Setelah sabit seseorang Islam itu murtad, maka segala harta miliknya
akan dirampas dari miliknya (ditahan hak milik terhadap harta itu) dan
diletak di bawah pengawasaan ketua negara atau wakilnya. Jika harta itu
perlu di ambil untuk urusan perbelanjaan dirinya sebelum dijatuhkan
hukuman bunuh, pihak kerajaan boleh mengambil dari hartanya sekadar
perlu sahaja. Sekiranya dia bertaubat memeluk Islam semula, harta
tersebut perlu diserah balik kepadanya.
4 - Terputus hubungan suami isteri.
Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan
dijatuhkan hukuman bunuh, apabila tidak mahu bertaubat. Sekiranya
salah seorang suami atau isteri murtad, maka pernikahan keduaduanya
terbatal. Walaupun begitu, Sekiranya yang murtad kembali
bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa edah isterinya belum habis
(tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira
kembali seperti asal. Tidak perlu akad nikah baru. Tetapi jika dia tidak
bertaubat dalam masa edah isterinya tamat, nikah tersebut dianggap
terbatal.
5 - Penyembelihan tidak halal dan segala pahala ibadatnya terbatal.
Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan.
Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang
menyembah berhala. Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat
yang dikerjakan, walaupun berapa banyak sekalipun menjadi sia-sia. Ini
akan berlaku sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati
di dalam kufur. Tetapi sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam
semula, maka dia dituntut supaya menggantikan amalan-amalan ibadat
seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang
tempoh murtad tersebut. Adapun haji yang dikerjakan sebelum murtad
tidak perlu digantikan.
SYOR UNTUK MENCEGAH GEJALA MURTAD.
1 - Meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran terhadap agama Islam.
2 - Mengemaskinikan lagi pendekatan dakwah Islam di semua peringkat dan
lapisan masyarakat.
3 - Memperkukuhkan instituti kekeluargaan.
4 - Mengadakan program keluarga angkat saudara baru.
5 - Menghapuskan program hiburan melampau.
6 - Meng’imarah’kan masjid dan memperkasakan cara hidup Islam.
7 - Memperkukuhkan jatidiri remaja Islam (sahsiah).
8 - Menanamkan sikap amal makruf nahi mungkar.
KESIMPULAN
Dari ulasan-ulasan diatas jelaslah bahawa murtad menurut perspektif Islam
merupakan satu jenayah besar dalam Islam, ia dianggap kufur yang paling jijik
dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang murtad dianggap
menghina Islam, menghina Allah s.w.t. dan Rasullullah s.a.w. Sebab itu, orang
murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh apabila didapati bertaubat beberapa
kali sedangkan dia tetap tidak mahu bertaubat.
No comments:
Post a Comment