Iman merupakan nikmat Allah s.w.t. yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah s.w.t. akan ditentukan oleh tahap keimanan yang ada dalam diri seseorang.Sesiapa yang paling tinggi dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia disisi Allah s.w.t. Allah berfirman didalam al-quran surah al-Hujurat ayat : 13
Bermaksud : " Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi mendalam pengetahuannya ( akan keadaan dan amalan kamu )"
Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah s.w.t. serta tidak mengandungi sedikitpun perasaan syak dan ragu-ragu. Ketaqwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebagai ukuran samada kita benar-benar beriman atau sebaliknya. Allah s.w.t. telah menjelaskan di dalam firman-Nya surah al-Anfal ayat : 2 - 4
Berdasarkan ayat yang telah dibacakan tadi, terdapat 5 kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap bebar-benar beriman kepada Allah s.w.t. iaitu :
1. Apabila disebut nama Allah akan merasa gementar hati-hati mereka.
2. Apabila dibaca ayat-ayat Allah semakin bertambah iman mereka.
3. Sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t. pada setiap waktu.
4. Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah s.w.t.
5. Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah maka dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.
Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari dari menghadapi ujian dan cubaan dari Allah s.w.t. terutamanya dalam usaha mencari kesenangan dan kebahagian hidup. Oleh kerana itu, adalah tidak tepat sangkaan sesetengah manusia yang beranggapan bahawa hidup ini hanya untuk bersenang-bersenang, bermewah-mewahan dan bersuka ria semata-mata atau sebaliknya menganggap hidup ini penuh dengan penderitaan, dukacita dan segala macam musibah.
Oleh itu, kita seharusnya faham bahawa semua kejadian ini pada hakikatnya adalah lumrah hidup kita sebagai manusia dan ianya merupakan “Sunnah Allah”. bagi mereka yang beriman akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan segala amalan dan kebajikan sebanyak-banyaknya. Ianya tidak akan dilepaskan begitu sahaja dengan menjadikan ujian sebagai dorongan untuk beriman kepada Allah s.w.t. bukan sebaliknya. Hal ini sebagaimana telah digambarkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al - Ankabut ayat 2 – 3 :
Yang bermaksud: “Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta”
Ayat ini dengan jelas memberikan pengertian yang cukup bermakna kepada kita semua, bahawa hubungan manusia dengan kehidupan sememangnya sangat berkait rapat dengan ujian dan cubaan. Disamping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan sahaja, dengan mengakui “kami telah beriman kepada Allah” sedangkan mereka belum diuji. Kerana setiap ujian dan cubaan dari Allah s.w.t. merupakan penanda penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepada-Nya, dan siapakah pula yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan pada hakikatnya mereka berdusta kepada Allah s.w.t.
Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa ujian dan dugaan dari Allah s.w.t. itu bukan hanya dalam bentuk kesusahan atau dalam bentuk penderitaan atau kesakitan dan sebagainya. Kerana sesungguhnya terdapat ujian lain dari Allah s.w.t. kepada manusia yang berupa ujian dengan harta kekayaan, kemewahan, sanjungan, penghormatan pangkat dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Anbia’ ayat 35 :
Yang bermaksud:“Setiap diri akan merasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada kamilah kamu sekalian akan kembali”.
Sebenarkan ujian yang berbentuk kesusahan, penderitaan dan kesakitan merupakan ujian yang ringan kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji sejauh mana kesabaran kita menerima qadar dan qada’ dari Allah s.w.t. Sebaliknya ujian melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula merupakan ujian yang berat kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian tersebut. Ini disebabkan apabila mereka dikurniakan kekayaan dan kedudukan oleh Allah s.w.t. mereka gagal dan lupa kepada amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim yang diciptakan oleh Allah s.w.t. untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w. :
"سَيَأْتِي عَلَى أُمَّتِي زَمَانٌ يُحِبُّوْنَ خَمْسًا وَيَنْسَوْنَ خَمْسًا، يُحِبُّوْنَ الْحَيَاةَ وَيَنْسَوْنَ الْمَوْتَ، يُحِبُّوْنَ الدُّنْيَا وَيَنْسَوْنَ الآخِرَةَ، يُحِبُّوْنَ الْمَالَ وَيَنْسَوْنَ الْحِسَابَ، يُحِبُّوْنَ الْقُصُوْرَ وَيَنْسَوْنَ الْقُبُوْرَ، يُحِبُّوْنَ الْخَلْقَ وَيَنْسَوْنَ الْخَالِقَ "
(رواه البخاري)
Maksudnya : « Akan datang satu masa (zaman) di kalangan umatku, mereka sangat sukakan lima (5) perkara dan melupakan lima (5) perkara yang lain. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan( akhirat), mereka sukakan rumah-rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan ciptaan Allah dan melupakan Tuhan yang menciptakan »
Sekali lagi saya berpesan kepada diri saya dan seluruh jamaah marilah sama-sama kita menamamkan ikrar keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kita menyedari betapa rugi seandainya kita mengabaikan soal keimanan kepada Allah s.w.t.. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa :
1. Mengukuh dan memantapkan keimanan kepada Allah s.w.t. agar ia tidak menurun keparas yang akan membahayakan hidup kita di dunia dan di akhirat.
2. Mengakui bahawa kehidupan di dunia ini semenangnya tidak dapat lari dari ujian dan dugaan dari Allah s.w.t. yang merupakan sunnah Allah.
3. Hendaklah berserah diri kepada Allah s.w.t. setiap masa dan membelanjakan rezeki yang dikurniakan kejalan yang diredhai serta tidak melakukan pembaziran.
4. Hendaklah menerima setiap ujian dan dugaan dengan penuh kesabaran dan ketabahan sebagai hamba Allah yang pasrah dengan ketentuan qada’ dan qadar.
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu benar-benar akan melampaui batas, apabila ia merasai dan menganggap bahawa dirinya serba cukup, dan serba boleh. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui bahawa kepada Allah jualah mereka akan kembali”.
No comments:
Post a Comment