Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Friday, August 3, 2012

Menuai Pahala Tanpa Batas



Rasulullah saw bersabda :
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali ganda. Allah swt berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. (HR Muslim)

Dalam riwayat lain dikatakan :
“Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untukKu.’ (HR Bukhari)

Dalam riwayat Ahmad dikatakan :
“Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya), ‘Setiap amalan adalah sebagai kafarah/tebusan kecuali amalan puasa. Amalan  puasa adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya.’” (HR Ahmad dengan sanad sahih sesuai dengan syarat Muslim)

PAHALA YANG TIDAK TERHINGGA DI SEBALIK PUASA

Dari riwayat pertama, dikatakan bahwa setiap amalan akan dilipatgandakan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kebaikan yang semisal dengannya kecuali amalan puasa.
Amalan puasa tidaklah dilipatgandakan seperti cara di atas kerana puasa itu tidak dibatasi dari segi gandaan pahalanya. Oleh kerana itu, amalan puasa akan dilipatgandakan oleh Allah hingga berganda-ganda tanpa ada batasan bilangan.
Kenapa boleh berlaku demikian?

Imam Ibnu Rajab Al Hanbali mengatakan :
Kerana puasa adalah bahagian dari kesabaran”.

Mengenai ganjaran orang yang bersabar, Allah swt berfirman :
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS Az Zumar : 10)
Sabar itu ada tiga bentuk :
  1. Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.
  2. Sabar dalam meninggalkan yang haram.
  3. Sabar dalam menghadapi takdir yang terasa menyakitkan.
Ketiga-tiga bentuk sabar ini semuanya terdapat dalam amalan puasa.
Dalam puasa tentu sahaja wujud di dalamnya bentuk melakukan ketaatan, menjauhi perkara-perkara yang diharamkan dan juga dalam berpuasa, seseorang akan berusaha untuk bersabar dari perkara-perkara yang menyakitkan seperti menahan diri dari rasa lapar, dahaga, dan lemahnya badan.
Itulah sebab kenapa amalan puasa boleh meraih pahala tidak terhingga sebagaimana sabar.


AMALAN PUASA ADALAH KHUSUS UNTUK ALLAH

Dalam riwayat lain dikatakan bahwa Allah swt berfirman :
“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untukKu.”

Riwayat ini menunjukkan bahwa setiap amalan manusia adalah untuknya sedangkan amalan puasa, Allah khususkan untuk diriNya. Allah menyandarkan amalan tersebut untukNya.
Kenapa Allah menyandarkan amalan puasa untukNya?


ALASAN PERTAMA

Di dalam puasa, seseorang meninggalkan berbagai kesenangan syahwat. Perkara ini tidak didapati dalam amalan-amalan lain. Semasa kita berihram misalnya, memang ada perintah meninggalkan jima’ (berhubungan badan dengan isteri) dan meninggalkan berbagai wangi-wangian. Namun bentuk kesenangan lain dalam ihram tidak ditinggalkan.

Begitu juga dengan  ibadah solat. Dalam solat, memang kita dituntut untuk meninggalkan makan dan minum. Namun itu dalam waktu yang singkat. Bahkan ketika hendak solat, jika makanan telah dihidangkan dan kita merasa perlu pada makanan tersebut, kita dianjurkan untuk menyantap makanan terlebih dahulu dan boleh menunda solat ketika dalam keadaan sedemikian.

Tapi dalam amalan puasa, kita dikehendaki meninggalkan berbagai macam syahwat yang tidak kita jumpai pada ibadah-ibadah yang lain. Jika seseorang telah melakukan itu semua seperti meninggalkan  hubungan badan dengan isteri dan meninggalkan makan-minum ketika puasa dan dia meninggalkan itu semua kerana Allah, padahal tidak ada yang memperhatikan apa yang dia lakukan tersebut selain Allah, maka ini menunjukkan benarnya iman orang yang melakukan perkara semacam itu.

Itulah yang dikatakan oleh Ibnu Rajab :
“Inilah yang menunjukkan benarnya iman orang tersebut.”

Orang yang melakukan puasa seperti itu sentiasa menyedari bahwa dia berada dalam pengawasan Allah meskipun dia berada sendirian. Dia telah mengharamkan melakukan berbagai macam syahwat yang dia sukai. Dia lebih suka mentaati Rabbnya, menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya kerana takut pada siksaan dan sentiasa mengharap ganjaranNya.

Sebahagian salaf mengatakan :
“Beruntunglah orang yang meninggalkan syahwat yang ada di hadapannya kerana mengharapkan janji Rabb yang tidak nampak di hadapannya.”
Oleh kerana itu, Allah membalas orang yang melakukan puasa seperti itu dan Dia pun mengkhususkan amalan puasa tersebut untukNya dibandingkan amalan-amalan lainnya.


ALASAN KEDUA

Puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Rabbnya yang tidak ada orang lain yang mengetahuinya. Amalan puasa berasal dari niat batin yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya dan dalam amalan puasa ini terdapat bentuk meninggalkan berbagai syahwat.

Oleh kerana itu, Imam Ahmad dan selainnya mengatakan :
“Dalam puasa, sukar sekali untuk terdapatnya riya’ (ingin dilihat / dipuji orang lain).”
Dari dua alasan inilah, Allah swt menyandarkan amalan puasa padaNya yang berbeza dengan amalan lainnya.

SESEORANG MEMASUKI SYURGA DI SEBABKAN PAHALA PUASA

Ada satu riwayat lain di mana Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya) :
“Setiap amalan adalah sebagai kafarah / tebusan kecuali amalan puasa. Amalan  puasa adalah untukKu.”

Sufyan bin ‘Uyainah mengatakan :
“Pada hari kiamat nanti, Allah swt akan menghisab hambaNya. Setiap amalan akan menimbus berbagai macam kezaliman yang pernah dilakukan sehingga tidak tersisa satu pun kecuali satu amalan iaitu puasa. Amalan puasa ini Allah akan simpan dan akhirnya Allah memasukkan orang tersebut ke syurga.”

Jadi, amalan puasa adalah untuk Allah swt. Oleh kerana itu, tidak boleh bagi sesiapapun untuk mengambil ganjaran amalan puasa tersebut sebagai tebusan baginya. Ganjaran amalan puasa akan disimpan bagi pelakunya di sisi Allah swt.
Dengan kata lain, seluruh amalan kebaikan dapat menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan oleh pelakunya sehingga kerana banyaknya dosa yang dilakukan, seseorang tidak lagi memiliki pahala kebaikan apa-apa.

Ada sebuah riwayat yang menyebutkan bahwa pada hari kiamat nanti, antara amalan keburukan dan kebaikan akan ditimbang, satu yang lainnya akan saling memangkas. Lalu tersisalah satu kebaikan dari amalan-amalan kebaikan tadi yang menyebabkan pelakunya masuk syurga.

Itulah dia amalan puasa yang akan tersimpan di sisi Allah. Amalan kebaikan lain akan memangkas keburukan yang dilakukan oleh seorang hamba. Ketika tidak tersisa satu kebaikan kecuali puasa, Allah akan menyimpan amalan puasa tersebut dan akan memasukkan hamba yang memiliki simpanan amalan puasa tadi ke dalam syurgaNya.


DUA KEBAHAGAIAAN YANG DIRAIH OLEH ORANG YANG BERPUASA

Dalam hadits di atas dikatakan :
“Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya.”

PERTAMA : KETIKA SESEORANG BERBUKA PUASA
Ketika berbuka, jiwa begitu ingin mendapat hiburan dari perkara-perkara yang dia rasakan tidak menyenangkan ketika berpuasa, iaitu jiwa sangat senang menikmati makanan, minuman dan menggauli isteri. Jika seseorang dilarang dari berbagai macam syahwat ketika berpuasa, dia akan merasa senang jika perkara-perkara tersebut dibenarkan semula.

KEDUA : KETIKA SEORANG HAMBA BERJUMPA DENGAN  RABBNYA
Di mana ia akan menjumpai pahala amalan puasa yang dia lakukan tersimpan di sisi Allah swt. Itulah ganjaran besar yang sangat dia perlukan.
Allah swt berfirman :
“Dan kebaikan apa sahaja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperolehi (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya.” (QS Al Muzzammil : 20)
“Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (dimukanya).” (QS Ali Imran : 30)
“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.” (QS Al Zalzalah : 7)

BAU MULUT ORANG YANG BERPUASA DI SISI ALLAH
Ganjaran bagi orang yang berpuasa yang disebutkan pula dalam hadits di atas adalah :
“Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.”

Seperti kita tahu bersama bahwa bau mulut orang yang berpuasa apalagi di siang hari sungguh tidak mengenakkan.
Namun bau mulut yang seperti ini adalah bau yang menyenangkan di sisi Allah kerana bau ini dihasilkan dari amalan ketaatan di samping mengharapkan ridha Allah. Sebagaimana juga darah orang yang mati syahid di mana pada hari kiamat nanti, warnanya adalah warna darah, namun baunya adalah bau minyak kasturi.
Keharuman bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah ini ada dua sebab :

PERTAMA :
Sebagaimana dijelaskan sebelumnya bahwa puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Allah di dunia. Ketika di akhirat, Allah pun menampakkan amalan puasa ini sehingga makhluk pun tahu bahwa dia adalah orang yang gemar berpuasa.
Allah memberitahukan amalan puasa yang dia lakukan di hadapan manusia lainnya kerana dahulu semasa di dunia, dia berusaha kuat untuk menyembunyikan amalan tersebut dari orang lain.
Inilah bau mulut yang harum yang dinampakkan oleh Allah di hari kiamat nanti kerana amalan rahsia yang dia lakukan.

KEDUA :
Barangsiapa yang beribadah dan mentaati Allah, sentiasa mengharapkan ridha Allah di dunia melalui amalan yang dia lakukan, lalu muncul dari amalannya tersebut bekas yang tidak terasa enak bagi jiwa di dunia, maka bekas seperti ini tidaklah dibenci di sisi Allah. Bahkan bekas tersebut adalah sesuatu yang Allah cintai dan baik di sisiNya.

Ini disebabkan kerana bekas yang tidak terasa enak tersebut  muncul dalam rangka melakukan ketaatan dan mengharap ridha Allah. Oleh kerana itu, Allah pun membalasnya dengan memberikan bau harum pada mulutnya yang menyenangkan seluruh makhluk, walaupun bau tersebut tidak terasa enak di sisi makhluk ketika di dunia.
Inilah beberapa keutamaan amalan puasa.

Inilah yang akan diraih oleh seorang hamba yang melaksanakan amalan puasa yang wajib di bulan Ramadhan mahupun amalan puasa yang sunnah dengan berlandaskan keikhlasan dan sentiasa mengharap ridha Allah.

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami sehingga kami mampu meraih keutamaan dari amalan puasa Ramadhan yang kami lakukan. Kurniakanlah kepada kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik serta amalan yang diterima sehingga kami bergembira apabila bertemu denganMu dan mendapati pahala yang melimpah ruah yang disimpan untuk kami hasil dari puasa kami di dunia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails