Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Wednesday, November 14, 2012

merencana azam tahun baru




Setiap kali datangnya tahun baru Hijrah atau dipanggil ‘Awal Muharram’ mahupun ‘Maal Hijrah’, maka soalan biasa yang sering ditanya ialah “Apa azam tahun baru Hijrah kamu?”
Saya yang dhaif lagi lemah ini terfikir. Apakah kaitannya sambutan perayaan Maal Hijrah ini dengan azam tahun baru. Mungkin kata mereka, sekurang-kurangnya kita berazam untuk melakukan perubahan yang lebih baik. Dalam masa yang sama azam kita mengikut kalendar Hijrah. Betul jugak ekkk…Bukankah berubah menjadi lebih baik itu satu tuntutan. Bukankah azam itu sebahagian dari niat? Niat yang baik akan diberi pahala walaupun tidak melaksanakannya.
Sebenarnya jika dirujuk kepada penulisan sejarah, membuktikan bahawa tarikh penghijrahan Nabi sallahu alaihi wasallam ke Madinah dari Mekah tidak berlaku pada bulan Muharram. Walaupun berlaku khilaf berkenaan tarikh Hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam, namun tiada langsung pendapat yang mengatakan ianya berlaku pada 1 Muharram.
Syeikh Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya Fiqh al-Sirah, beliau memilih pendapat yang terkuat tentang hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam berlaku pada 2 Rabiul Awwal iaitu 13 tahun selepas kerasulan baginda.
Tiba pada zaman Khalifah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, beliau melihat keperluan untuk Islam memiliki kalendar tersendiri.  Lalu dengan kelebihan dan kehebatan peristiwa Hijrah Nabi sallahu alaihi wasallam ke Madinah, maka pada tahun tersebut ianya dipilih sebagai tahun pertama Kalendar Islam.
Yang menariknya di sini Khalifah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu tidak memilih tahun kelahiran Nabisallahu alaihi wasallam sebagai permulaan kalendar Islam. Sebagaimana kalendar Masihi yang bermula dari Tahun kelahiran Nabi Isa alaihissalam. Benar sabda Rasulullah sallahu alaihi wasallam yang memberi gelaran kepada Umar al-Khattab dengan panggilan al-Farouq. Iaitu pembeza di antara kebenaran dan kebatilan. Beliau cukup cekap menafsir kehendak agama yang dibawa Nabi sallahu alaihi wasallam yang amat suka mencari sesuatu sebab membezakan Islam dengan agama lain.
Mungkin atas faktor inilah ada sebahagian ulama yang mempertikaikan majlis bacaan doa awal dan akhir tahun. Sebab pada zaman Nabi sallahu alaihi wasallam masih belum mempunyai kalendar Islam. Namun bagi saya yang lemah dan dhaif. Berdoalah pada setiap masa. Tidak mengira awal, akhir, tengah ataupun tepi setiap tahun. Asalkan tidak mensabitkan waktu-waktu tertentu yang tiada asalnya daripada Nabisallahu alaihi wasallam.(Wallahua’lam, rujuklah ustaz di kawasan anda)


Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. bukanlah berlaku secara tidak sengaja. Segala-galanya telah dirancang dan disusun dengan rapi Allah s.vv.t. agar kita sebagai umat yang kemudian dapat mempelajari sesuatu daripada peristiwa yang hebat ini.Memang boleh sekiranya Allah menghijrahkan Rasul-Nya dari Mekah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya. Bahkan penghijrahan Baginda Rasulullah s.a.w. boleh dilakukan dengan cepat dan tanpa perlu bersusah payah, dan Rasulullah pun boleh sampai ke bumi Madinah dengan selesa dan
selamat. Tetapi yang jelas Allah tidak menghendaki sedemikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan unsur perlindungan Ilahi dan juga ikhtiar manusia.

Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga akhir, ia
penuh dengan peristiwa-peristiwa yang cemas dan mendebarkan. Memang Rasulullah
mendapat perlindungan Allah, tetapi Baginda juga terpaksa menempuhi perjalanan yang serba pahit.  Bukannya mudah untuk melepasi jaring-jaring maut kaum Quraisy yang berhabis-habisan memburu untuk menghapuskan Baginda. Begitu rapi perancangan kaum Quraisy, namun perancangan hijrah Rasulullah yang diilhamkan oleh Allah jauh lebih rapi dan tersusun.
Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasulullah s.a.w. memang
sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, demikian Baginda tidak pernah
berasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merencanakan perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting yang telah diperlihatkan oleh Baginda dalam menjayakan rencana penghijrahan ini termasuklah:
   
Pertama,  perancangan yang rapi dan teliti.Baginda tidak tidur di biliknya pada malam
itu. Sebaliknya diperintahkan Ali Abi Talib mengambil tempatnya tidur di kamar Baginda untuk mengelirukan musuh yang menyangka Baginda masih berada di biliknya. Begitu juga Baginda tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah utara selepas keluar dari Mekah, tetapi sebaliknya Baginda menghala ke selatan dan berhenti di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan pihak Quraisy sudah mulai mengendur.

Kedua, sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh
menerusi Abdullah Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat di
Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Baginda di Gua
Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga
kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual beli dengan harga yang
sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya perancangan perisikan yang tujuannya tidak lain hanya untuk mendapatkan maklumat.                               

Ketiga, kerahsiaan adalah satu perancangan Baginda yang sangat berkesan. Lihat
saja bagaimana tidak seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Abu Bakar
r.a. hinggalah ke saat perlaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan
bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran
maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan
musnahnya seluruh perencanaan.

Keempat, menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau daripada orang kafir
sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu
bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke
Madinah. Hal ini dilakukan oleh Baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan
Islam itu tidak akan mengkhianatinya. Daripada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-siurnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berencana. Sesuatu cita-cita tidak
mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus
dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan seperti mana firman Allah dalam surah al-Anfal ayat ke-60.Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan- kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails