Puasa adalah ibadat yang berkesan sekali dalam mengendalikan hawa nafsu sekaligus dapat menyinari hati dan mendidik seluruh anggota sehingga ke martabat taqwa, kerana puasa yang sebenar-benarnya bukan hanya menahan perut dan kemaluan serta mengecap keinginan syahwat bahkan mengekang pancaindera daripada melakukan perkara-perkara dosa dan haram. Akhirnya berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran keduniaan yang boleh memesongkan perhatian selain Allah.
Di dalam Islam di samping puasa fardhu yang diwajibkan di bulan Ramadan, ada disyariatkan juga puasa-puasa sunat yang dikerjakan di luar bulan Ramadan. Puasa sunat mempunyai beberapa perbezaan daripada puasa fardhu yang dikerjakan di bulan Ramadan dari berbagai-bagai segi. Di antaranya:
1. Orang yang dalam mengerjakan puasa sunat atau lain-lain perkara yang sunat seperti sembahyang kecuali haji dan umrah adalah harus baginya memutuskan (tidak wajib menyempurnakan) puasanya itu berdasarkan sabda Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: "Orang yang dalam berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahdia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka." (Hadits riwayat Imam Ahmad)
2. Tidak disyaratkan berniat di malam hari dalam mengerjakan puasa-puasa sunat kerana akhir waktu untuk berniat bagi puasa-puasa sunat itu adalah sebelum tergelincir matahari (waktu zuhur) berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepadaku pada satu hari: "Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu (untuk dimakan)?" Aisyah berkata, aku berkata: "Wahai Rasulullah! Tidak ada di sisi kita sesuatu pun (untuk dimakan)" Baginda bersabda: "(Jika begitu) maka aku berpuasa. (Hadits riwayat Muslim)
Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di dalam bulan Syawal. Ia boleh dikerjakan berselang seli di dalam bulan Syawal, tetapi mengerjakannya berturut-turut selepas hari raya adalah terlebih afdhal. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun." (Hadits riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment