Terkini
Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.
Tuesday, July 13, 2010
Harapan
1. Marilah kita bersaudara kerana ALLAH.
Alangkah perlunya kita bersaudara kerana Allah semasa kita berjalan bersama di atas jalan dakwah untuk memperteguh ikatan di antara kita sebagaimana yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w. tatkala baginda mempersaudarakan di antara Muhajirin dengan Ansar. Mereka telah membuat contoh yang indah dan agung tentang cinta dan ikrar yang mengutamakan saudaranya lebih dari dirinya sendiri. Peganglah wahai saudaraku tangan saudaramu di atas jalan dakwah dengan pegangan yang penuh cinta, ikrar dan kasih sayang dengan sepenuh kekuatan tanpa melepaskannya di waktu kegawatan atau di waktu susah atau di waktu berkecamuknya fitnah dan ujian atau di waktu terjadinya berbagai peristiwa. Junjungan kita yang tercinta Nabi Muhammad s.a.w telah menggalakkan dan mendorong kita supaya berbuat demikian.
“Orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah laksana bangunan yang sebahagiannya
menyokong sebahagian yang lain “.
Oleh kerana itu hai saudaraku, kenalilah saudara-saudaramu, bersatu-padulah, nasihat menasihatilah dan tegur menegurlah dengan cara terbuka. Tanggung menanggunglah dan berkasih sayanglah, dan jadilah kamu bersaudara.
2. Marilah kita saling ingat-mengingati diantara kita.
Alangkah perlunya kita saling ingat-mengingati tatkala kita berjalan di atas jalan dakwah kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman. Marilah kita saling ingat-mengingati bahawa kewajipan yang menghimpunkan kita di atas jalan dakwah, tidak ada pilihan lain lagi bagi kita melainkan itu sahaja. Sesungguhnya Islam mewajibkan ke atas kita untuk melaksanakan segala ajarannya. Hendaklah kita ingat ketika kita berada di atas jalan dakwah, bahawa kita menyeru manusia kepada perkara yang paling baik dari segala yang diserukan orang kerana kita menyeru manusia kepada Allah:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”. Fussilat: 33
Sesungguhnya kita dengan Islam ini telah menjadi guru dunia yang mempunyai kemuliaan pimpinan:
“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu umat Islam, umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agarRasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. Al-Baqarah: 143
Hendaklah kita ingat wahai saudaraku, di samping itu semua, bahawa sebenarnya Allah itu
Maha Kaya dari kita dan jihad kita. Dan kitalah yang berhajat kepadaNya dan berhajat kepada limpah kurniaNya dan pahalaNya.
“Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam “. Al-Ankabut: 6
Hendaklah kita ingat bahawa apabila kita berjuang di medan dakwah, maka kita tidak akan memperoleh yang lainnya iaitu apabila kita tidak memperjuangkan dakwah, maka dakwah itu tetap berjalan dan berlaku. Maknanya jika kita tidak memperjuangkan Islam, Islam itu akan tegak juga,islam tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukan lslam. Jika kita tidak berjuang, InsyaAllah, akan ada orang lain yang lebih baik dari kita.
3. Marilah kita saling wasiat-mewasiati
Hendaklah kita saling berwasiat dengan kebenaran yang telah menyatukan kita di atas jalan dakwah Islam dengan berpegang teguh kepada kebenaran dan menghayatinya. Janganlah kita berpaling darinya. Kita mesti menjaga dan mempertahankannya untuk diwariskan kepada generasi yang akan menggantikan kita tanpa menyelewengkannya dan merubahnya dan tidak memecah-mecahkan kepada beberapa bahagian. Hendaklah kita saling berwasiat dengan kesabaran, sabar menanggung kesusahan di sepanjang jalan dakwah, tabah mengharungi berbagai-bagai rintangan dan memelihara diri dari segala penyelewengan. Lalu kita berjalan di atas ilmu dan pandangan yang benar dan jitu dengan mata terbuka dan terang, kefahaman yang sempurna terhadap manhaj perjalanan ini. Dengan keazaman yang teguh dan kemahuan yang kuat, amal yang tetap dan berterusan untuk masa depan yang cemerlang untuk dakwah ini dengan menilai bagaimana beratnya amanah ini dengan mengambil iktibar dan pengajaran dari berbagai-bagai peristiwa dan keadaan-keadaan masa lalu dan sedang berlaku sekarang. Hendaklah kita wasiat mewasiati dengan meluangkan masa dan berkorban di jalan dakwah kerana dakwah Islam itu menuntut dari diri saudara dan apa-apa yang ada pada saudara semuanya dan tidak cukup dengan mengorbankan sebahagian sahaja. Penggabungan diri kita di dalam jalan dakwah ini menuntut supaya kita menggabungkan dengan sepenuhnya hingga ke titik penghabisan hidup kita, bukan penggabungan yang sementara dan sebahagian sahaja. Kita telah mengikat satu perjanjian teguh dengan Allah bahawa kita akan menyerahkan harta dan jiwa kita. Kita akan menyerahkan segala nikmat kurnia Allah yang diberikan kepada kita untuk Allah, untuk dakwah Islam supaya Dia mengurniakan syurga yang seluas langit dan bumi kepada kita:
“Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jualbeli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”. At-Taubah: 111
Sekiranya saudara sanggup dan mampu menyerahkan waktu, usaha, harta dan fikiran
saudara untuk dakwah ini, buatlah dan janganlah saudara bimbang lagi, kerana bila saudara berbuat demikian, saudaralah yang berjaya dan beruntung:
“Dan apa-apa yang kamu usahakan dari kebaikan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan “. Al-Baqarah:110
Adapun orang yang bakhil dengan sesuatu dari yang demikian maka dialah yang tertipu dan rugi:
“Dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepadaNya), dan jika kamu berpaling nescaya Doa akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)”. Muhammad: 138
Bergembiralah wahai saudaraku dan berbahagialah saudara tatkala mendapati waktu saudara dipenuhi dengan amal untuk dakwah, daya dan tenaga saudara dihabiskan dan dikorbankan di bidang dakwah Islam ini kerana itu adalah dari kurnia Allah ke atas saudara:
“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan RahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan RahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. Yunus:58
Masa itu adalah kehidupan dan kewajipan kita lebih banyak dari masa yang ada seperti
yang pernah dikatakan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Hendaklah kita wasiat mewasiati dengan ikhlas kerana Allah kerana tiada keselamatan bagi kita dan tiada hasil bagi amalan kita kecuali dengan ikhlas niat dan tujuan kita kerana Allah semata-mata. Allah s.w.t tidak menerima suatu amalan kecuali yang ikhlas kerana Allah.
“Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama”. Az-Zumar: 11
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan salat, dan menunaikan zakat, dan yang demikian itu adalah agama yang lurus”. Al-Bayinah: 5
Wahai saudaraku sentiasalah memeriksa hati saudara dan bersihkanlah dia dari segala bahaya. Rendahkanlah diri kepada saudara-saudaramu di atas jalan dakwah, berlemah lembutlah dengan mereka. Tawadhuklah kepada mereka dan janganlah merelakan diri saudara bersikap sombong kepada saudara-saudaramu. Janganlah menonjol-nonjolkan diri sebab yang demikian itu memusnahkan tulang belakang!
Kenali dan fahamilah taraf diri sendiri dan taraf saudara-saudaramu. Saudara, jauhilah dari terpedaya dengan diri sendiri. Ini akan menjauhkan saudara dari barisan dan kawan-kawan juga menjauhkan saudara dari jalannya. Hendaklah saudara sentiasa memulangkan segala kemuliaan itu bagi Allah di dalam segala kebaikan dakwah yang tercapai melalui usaha saudara. Janganlah menganggap bahawa ilmu yang ada pada saudara, kemampuan atau kekuatan peribadi adalah hak saudara semata-mata kerana sesungguhnya tiada kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.
Hendaklah kita wasiat mewasiati supaya kita sama-sama memikul tanggungjawab dan tugas kita terhadap dakwah, supaya bangun dari tidur yang nyenyak dan menjauhkan diri dari corak hidup bermewah-mewah dan bermalas-malas, tetapi hendaklah sentiasa berfikir dan sibuk dengan urusan dakwah. Dakwah ini adalah segala-galanya dalam hidup kita. Kita sentiasalah berfikir dan berusaha melaksanakan sesuatu yang boleh menjayakan kepentingan dakwah dan kepentingannya dan menolak bahaya daripadanya.
Hendaklah kita faham bahawa setiap dari kita berada di tiap-tiap penjuru dakwah yang penting, janganlah dakwah itu dirosakkan dari penjuru kita. Hendaklah kita wasiat mewasiati, supaya kita memperbanyakkan bekalan di atas jalan dakwah ini dan sebaik-baik bekalan ialah takwa kepada Allah. Itulah yang menguatkan kita untuk memikul segala kesusahan dan kesulitan di atas jalan dakwah ini, yang memelihara kita dari tergelincir di tempat-tempat licin, yang menolong kita menempuh segala rintangan.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. Al-A’raaf: 201
4. Hendaklah kita tetap diatas jalan dakwah.
Hai saudaraku! Hendaklah kita tetap di atas jalan dakwah supaya tidak tergelincir setelah mantap. Hendaklah kita berjalan terus menerus di atas jalan ini. Janganlah kita merasa jemu berjalan setiap waktu di setiap tempat segala suasana walaupun keseorangan tersisih jauh di muka bumi. Hendaklah kita merasa-rasa penyertaaan Allah, sebab Dialah sebaik-baik Penjaga dan sebaik-baik Penolong. Janganlah jemu berjalan di atas jalan dakwah walaupun jauh dari tanda-tanda kemenangan, tidak melihat hasil dan buah amal usaha dan jihad saudara. Kerana Allah tidak menghisab hasil-hasil kerja kita, tetapi Allah menghisab di atas usaha dan niat kita.
Hendaklah kita tetap beristiqamah wahai saudaraku sekalipun tidak terdedah kepada bermacam-macam gangguan dan rintangan. Walaupun kebatilan sentiasa mengancam, menakut-nakutkan atau menggertak kita, sebab kita mempunyai contoh teladan yang paling baik dari Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Hendaklah kita menghayati firman Allah:
“Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”. Al-Baqarah: 177
Hendaklah kita tetap di atas jalan dakwah wahai saudaraku dan tidak menjauhkan diri daripadanya walau sejengkal pun sehingga kita mati ketika berada di atas jalan itu tanpa menukar, merubah atau memungkiri janji kita terhadap Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment