Fatimah binti Muhammad salallahu alaihi wasallam.
Fatimah al-Zahra adalah puteri kepada Rasulullah SAWA. Ibunya Khadijah iaitu isteri Rasulullah SAWA yang pertama dan amat dikasihinya. Tentang bondanya Khadijah, Rasulullah SAWA pernah bersabda yang bermaksud:
“Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun.” [Muhibuddin al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl.42; Al-Hakim alam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm.157].
Fatimah AH mempunyai nama-nama timangan seperti Ummal Hasan, Ummal Husayn, Ummal Muhsin, Ummal A’immah dan Umma Abiha [Bihar al-Anwar' Juzuk 43, hlm.16]
Rasulullah SAWA menggelarkannya Fatimah AH sebagai “Ummu Abiha” bermaksud ibu kepada ayahnya. Ini kerana Fatimah AH sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya yang dikasihi itu. Selain daripada itu gelaran-gelaran lain ialah Zahra, Batul, Siddiqah Kubra Mubarakah, Adhra, Tahirah, dan Sayyidah al-Nisa [Bihar al-Anwar, Juzuk 43, hlmn.16]
Fatimah dilahirkan pada 20 Jamadil Akhir di Mekah iaitu pada Hari Juma’at, tahun kelima selepas kerasulan Nabi Muhammad SAWA [Manaqib Ibn Shahrashub, (Najaf), Juzuk 3, hlm.132; al-Kulaini, al-Kafi; Misbah al-Kaf'ami; Syeikh al-Mufid, Iqbal al-Amal]. Tempat beliau dilahirkan ialah di rumah ayahanda dan ibundanya iaitu Rasulullah SAWA dan Khadijah ak-Kubra. Beliau AH wafat pada tahun ke-11 hijrah iaitu selepas enam bulan kewafatan ayahandanya Rasulullah SAWA [al-Bukhari, Sahih, Juzuk 5, Hadith 546]
Kelahiran Fatimah AH amat menggembirakan Rasulullah SAWA. Beliau SAWA bersabda tentang Fatimah AH:
” Dia adalah daripadaku dan aku mencium bau syurga dari kehadirannya.”[Kasyf al-Qummah, Juzuk 2, hlm.24].
Mengapa diberkan Nama Fatimah? Menurut Imam Ali al-Ridha AS nama “Fatimah” diberikan oleh Rasulullah SAWA Fatimah AH dan para pengikutnya terpelihara dari api neraka. Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata: ” Rasulullah SAWA bersabda kepada Ali AS: Tahukah kamu nama mengapa nama Fatimah diberikan kepadanya? Ali menjawab: Mengapa dia diberikan nama itu? Dia (Rasulullah SAWA) bersabda: Kerana dia dan shiahnya akan diperlihara dari api neraka.”
Fatimah az-Zahra AH mempunyai sifat-sifat kemuliaan yang dinyatakan dalam al-Qur’an. Ulama ahli sunnah dan syi’ah bersetuju bahawa ayat al-Qur’an surah Al-Insaan(76);8-9 ditujukan kepada keluarga Fatimah AH iaitu yang bermaksud: ” Dan mereka memberikan makanan yang disukai kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberikan makanan kepada kamu hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidaklah kami mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga (ucapan) terima kasih.”
Ayat di atas mengisahkan Hasan dan Husayn AS sedang dalam keadaan sakit. Rasulullah SAWA dengan beberapa orang sahabat menziarahi mereka. Rasulullah SAWA mencadangkan kepada Ali AS bernazar kepada Allah SWT bahawa dia dan keluarganya akan berpuasa selama tiga hari apabila anak mereka sembuh dari penyakit tersebut. Ali, Fatimah, dan pembantu mereka, Fizzah bernazar kepada Allah SWT. Apabila Hasan dan Husayn AS sembuh, mereka pun berpuasa. Pada waktu berbuka datang seorang pengemis meminta makanan kepada mereka. Pada hari itu mereka hanya berbuka dengan sahaja. Keesokan hari ini datang seorang anak yatim meminta makanan daripada mereka pada waktu berbuka dan sekali lagi mereka hanya berbuka dengan air sahaja. Pada hari ketiga, datang pula seorang tawanan perang meminta makanan. Selepas memberikan makanan, Ali membawa anak-anaknya ke rumah Rasulullah SAWA. Rasulullah SAWA berasa sedih melihat keadaan cucunya itu. Ali AS membawa Rasulullah SAWA ke rumah mereka. Sampai di sana Rasulullah SAWA melihat Fatimah AH sedang berdoa dengan keadaan yang amat lemah. Rasulullah SAWA berasa amat sedih. Turun malaikat Jibril berkata kepada beliau SAWA,” Wahai Muhammad ambillah dia (Fatimah). Allah memberikan tahniah pada Ahl Bayt kamu.” Lalu Jibril membacakan ayat tersebut.[Al-Hakim al-Haskani, Shawahid al-Tanzil, jld.II, hlm.298; al-Alusi, Ruh al-Ma'ani, jld.XXIX, hlm.157; Fakhur al-Razi, Jild.XIII, hlm.395]
Al-Bukhari meriwayatkan hadith dari Imam Ali AS bahawa pada suatu ketika Fatimah AH mengadu tentang kesusahannya mengisar tepung. Apabila beliau mendengar berita ada beberapa orang hamba dari rampasan perang telah dibawa kepada Rasulullah SAWA, beliau lalu pergi (ke rumah Rasulullah SAWA) untuk menemui baginda SAWA bagi mendapatkan pembantu tersebut, tetapi pada ketika itu (Rasulullah SAWA tidak ada di rumah) Aisyah tidak dapat mencari baginda SAWA. Lalu Fatimah menceritakan hasratnya kepada Aisyah. Apabila Rasulullah SAWA pulang, Aisyah menyatakan kepadanya perkara tersebut. Rasulullah SAWA kemudian pergi ke rumah kami….Mahukan kamu aku nyatakan suatu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? (Iaitu) apabila kamu hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah Allahu Akbar 34 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Subhan Allah 33 kali. Ini adalah lebih baik daripada yang kamu pohonkan.”[ Al-Bukhari, Jld. VI, hadith 344]
Aisyah binti Abu Bakr As-Siddiq Ummul Mu’minin
Aisyah binti Abu Bakar merupakan puteri kepada sahabat Baginda yang paling rapat, Abu Bakar as-Shiddiq. Beliau memiliki kedudukan yang amat istimewa di kalangan isteri Rasulullah dan diberi gelaran Humairah. Sepanjang 9 tahun hidup bersama Rasulullah SAW, beliau telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang berlaku kepada umat Islam di Madinah. Melalu pengalaman inilah beliau mampu untuk membezakan antara yang haq dan yang bathil, walaupun pada usia yang amat muda. Peribadinya juga dibentuk secara langsung oleh Rasulullah SAW, menjadikan Saidatina Aisyah seorang wanita yang ulung pada zamannya.
Beliau hanya berusia 9 tahun ketika menikahi Rasulullah SAW, setelah kewafatan Sayyidah
Khadijah. Pada usia yang amat muda, Aisyah merupakan seorang wanita yang cerdas dan kuat daya ingatannya. Beliau banyak sekali meriwayatkan hadith Rasulullah dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat ridhwanullah alaihim. Beliau juga merupakan satu-satunya isteri Rasulullah yang masih perawan, sedangkan Ummahatul Mu’minin yang lain telah bergelar janda sebelum menikahi Rasulullah SAW.
Pernah suatu ketika sewaktu pulang dari peperangan dengan Bani Mustaliq, Saidatina Aisyah ditinggalkan oleh rombongan yang membawanya, kerana mereka menyangkakan beliau masih berada di dalam sekedup untanya sewaktu mereka berangkat. Pada saat Aisyah duduk di tempat persinggahannya sambil berharap seseorang dari rombongannya akan menyedari kehilangannya dan berpatah balik untuk mengambilnya, lalu beliau tertidur. Ternyata Shafwan ibn al-Mu’attal as-Sulami kemudiannya melihat beliau, lantas mengenali Ummul Mu’minin yang berada di hadapannya. Kemudian Shafwan membawa beliau ke khemah berhampiran di mana tentera Islam sdg beristirehat pada hari yang sangat panas.
Kaum munafiqin mengambil peluang atas peristiwa ini untuk menaburkan fitnah terhadap Saidatina Aisyah dan Shafwan, lantas berita tersebut tersebar dengan pantas di serata kota Madinah. Natijah daripada fitnah ini Rasulullah SAW dan seluruh isi rumahnya berasa tertekan. Aisyah yang jatuh sakit pada waktu itu tidak menyedari akan hal ini, tetapi merasakan kelainan daripada cara Baginda selalu melayannya. Setelah mendapat tahu tentang fitnah yang tersebar itu Aisyah menjadi bertambah sakit, maka dengan izin Rasul beliau tinggal bersama kedua ibubapanya buat sementara waktu. Kerana api fitnah yang semakin dahsyat dan tekanan yang diterima, Baginda pergi berjumpa dengan Aisyah dan berkata kepadanya;Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku pelbagai perkataan tentang dirimu. Jika engkau memang bersih, Allah pasti akan membersihkanmu. Tetapi jika engkau bersalah, maka mohonkanlah ampunan dari Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya seorang hamba, apabila dia mengakui kesalahannya, kemudian dia bertaubat, maka Allah akan menerima taubatnya.
Tidak lama kemudian turunlah firman Allah yang membersihkan nama Aisyah daripada fitnah yang didatangkan oleh kaum munafiqin, melalui surah an-Nur ayat 11-26. Beliau kemudiannya memaafkan kesemua mereka yang terlibat dalam menyebarkan fitnah terhadapnya, dan kedudukannya menjadi semakin tinggi di mata umat Islam pada waktu itu.
Ummul Sulaim binti Milhan
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
“Aku masuk ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”[HR Bukhari]. Beliaulah Ummu Sulaim bintu Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Anshariyah Al-Khazrajiyah. [Siyar Alamin-Nubala, 2/304]. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi tauladan buat kita semua.
Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Ini menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, disamping iman, keikhlasan dan kebenarannya. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiat di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah. Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar. Ayuh kita ikuti kisah ini.
Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya kembali seraya memarahi beliau dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”. Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas, “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah)”. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya, Anas dan mengisyaratkan Anas agar mengucapkan lafaz syahadatain. Anas akur. Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga beliau menengking dengan kasar, “Jangan kau rosakkan anakku!”. Tetapi dengan penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab, “Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran”. Dengan membawa kemarahan yang menggumpal, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam, tetapi dibunuh musuhnya di pertengahan perjalanan tersebut. Ketika berita kematian suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bertekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.
Beliau bernikah kali kedua setelah dewasa puteranya Anas bin Malik. Suaminya bernama Abu Talhah bin alAnshary. Mahar pernikahan ini adalah pengislaman Abu Talhah dihadapan Rasulullah SAW. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.
Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Abu Thalhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil itu dengan jiwa yang redha dan sabar seraya berucap, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Beliau membaringkan jasad anaknya di atas tempat tidurnya dan berkata kepada ahli keluarganya yang lain,”Jangan kalian sampaikan khabar ini kepada Abu Talhah berkenaan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini kepadanya”.
Sekembalinya dari masjid, Abu Talhah bertanyakan keadaan Umair, “Bagaimanakah keadaan anakku?”
“Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya” jawab Ummu Sulaim. Kemudian Ummu Sulaim menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima’ dan setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya. Abu Talhah bersedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah dan menceritakan perlakuan isterinya. Mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita Bani Israel”. (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74)
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya kepada Abu Talhah, “Apakah semalam kalian telah berjima’?”. “Ya”. Jawab Abu Talhah. Rasulullah mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam ini dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala,. Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan tersebut. Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang soleh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi’ berkata, “ Aku melihat anak itu di kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya hafal Al-Quran” (Ath-thabaqat, 8/334; Sifathush-Shafwah, 2/69; Dala’ilun-Nubuwwah, 6/199)
No comments:
Post a Comment