Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Tuesday, October 26, 2010

Zaid Bin Tsabit - Penghimpun al-Quran


Jika anda seorang yang tekun dan selalu membaca al-Quran, anda akan menurutinya dengan teliti, surah demi surah, ayat demi ayat. Ketahuilah bahawa orang yang telah berjasa besar dan patut diberi ucapan terima kasih atas sumbangan membukukan kitab ini adalah seorang tokoh besar bernama Zaid bin Tsabit.

Peristiwa-peristiwa pengumpulan al-Quran sehingga menjadi satu mushaf (buku), tidak dapat dipisahkan daripada tokoh ini.

Sekiranya diadakan undian bintang untuk mengenang sahabat-sahabat Rasulullah yang berjasa dalam pengumpulan dan penyusunan al-Quran, maka Zaid bin Tsabit akan mendapat undian bintang tertinggi.

Beliau termasuk kaum Anshar. Sewaktu Rasulullah saw datang ke Madinah, usianya baru mencecah 11 tahun. Beliau masuk Islam bersama keluarganya dan pernah didoakan oleh Rasulullah sendiri. Satu kemuliaan tersendiri baginya.

Beliau pernah dibawa oleh ibubapanya berangkat ke Perang Badar, namun Rasulullah melarangnya ikut berperang karena usia dan tubuhnya ketika itu masih kecil.

Ketika Perang Uhud, beliau bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya meminta kebenaran daripada Rasulullah supaya diizinkan untuk ikut serta dalam peperangan. Bahkan, keluarga mereka juga turut merayu kepada Rasulullah agar diizinkan bagi mujahid-mujahid kecil ini untuk ikut sama berjihad.

Rasulullah memandang ke arah para penunggang kuda ini. Ada rasa bangga tersirat di wajah baginda. Namun, baginda tetap tidak akan mengizinkan mereka untuk bergabung dalam tentera Islam.

Rafi' bin Khadij, salah seorang daripada mereka, berdiri di hadapan Nabi dengan membawa tombak. Beliau menghayunkan tombaknya dengan hebat sekali. Kemudian, beliau berkata kepada Rasulullah, "Seperti yang Rasul lihat, aku handal melontar tombak. Oleh sebab itu, izinkanlah aku ikut berperang."

Rasulullah tersenyum dengan gelagat jaguh muda ini. Baginda terus mengizinkannya ikut berperang.

Sikap beliau telah menaikkan semangat rakan-rakannya yang lain. Sekarang tiba pula giliran Samurah bin Jundub untuk tampil ke hadapan. Dengan penuh sopan beliau menunjukkan kedua-dua lengannya yang kuat dan kental. Keluarganya berkata, "Ya Rasul, Samurah mampu mengalahkan Rafi' dalam bertumbuk."

Rasulullah tersenyum puas. Baginda memberikan keizinan kepadanya untuk berperang.

Rafi' dan Samurah ketika itu sudah berusia 15 tahun. Di samping itu juga, tubuh mereka besar dan gagah.

Masih tinggal 6 orang lagi, termasuk Zaid bin Tsabit dan Abdullah bin Umar. Apa sahaja cara dilakukan agar diizinkan untuk ikutserta dalam Perang Uhud. Ada yang berharap dan merayu, ada juga yang menunjukkan kepandaian mereka. Namun, usia dan tubuh mereka masih terlalu kecil. Akhirnya, Rasulullah berjanji akan memberi keizinan kepada mereka untuk ikut sama berperang pada perang yang akan datang.

Zaid dan rakan-rakannya mulai ikut berperang ketika Perang Khandaq, iaitu pada tahun ke-5 H.

Keimanan Zaid semakin kukuh dari hari ke hari. Beliau tidak hanya menonjol di medan pertempuran, tetapi juga hebat sebagai ilmuwan dengan pelbagai keistimewaan. Beliau menghafal al-Quran, menulis wahyu yang turun kepada Nabi, dan juga hebat di bidang ilmu dan hikmah. Ketikamana Rasulullah memulakan langkah mengembangkan dakwah Islam ke luar Madinah dan mengirimkan surat tawaran masuk Islam kepada para pemerintah negeri, baginda menyuruh Zaid untuk belajar bahasa mereka. Hanya dalam masa yang singkat sahaja, Zaid dapat menguasai bahasa mereka.

Peribadi Zaid makin terserlah. Belau dihormati dan dimuliakan.

Sa'bi berkata, "Pada suatu hari, Zaid hendak pergi menaiki kuda, maka Ibnu Abbas memegangkan tali pemacu kudanya. Zaid berkata, 'Tidak mengapa, wahai sepupu Rasulullah.' Ibnu Abbas kemudiannya menjawab, 'Seperti inilah yang kami Iakukan terhadap ulama kami.'"

Qabishah berkata, "Di Madinah, Zaid menjadi ketua Dewan Peradilan, ketua Dewan Fatwa, ketua Kumpulan Pembaca al-Quran, dan ketua Kumpulan Pembahagi Harta Warisan."

Tsabit bin Ubaid berkata, 'Aku belum pernah berjumpa dengan orang seperti Zaid. Di rumahnya, beliau suka bergurau manakala di majlis ilmunya, beliau sangat dihormati."

Ibnu Abbas berkata, "Para sahabat terkemuka tahu akan ilmu yang ada pada Zaid bin Tsabit."

Kata-kata di atas merupakan pandangan para sahabat terhadap keistimewaan yang dimiliki oleh Zaid. Hal ini kerana beliau menyimpan kemuliaan tersendiri. Beliau memikul tugas paling penting dan paling mulia dalam sejarah Islam, iaitu menghimpun al-Quran.

Sejak wahyu diturunkan kepada Rasulullah sebagai tanda pengangkatan baginda menjadi seorang ”Pemberi Peringatan”, ayat-ayat yang pertama sekali turun adalah ayat 1 hingga 5 daripada surah al-’Alaq:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-’Alaq[96]:1-5)

Setelah itu, wahyu kemudiannya turun kepada baginda pada setiap kali baginda memohon petunjuk dan bimbingan daripada Allah swt.

Dalam tempoh kerasulan baginda, Rasulullah menghadapi peperangan demi peperangan. Baginda melawan setiap tipu daya, helah dan serangan musuh. Hal ini dilakukan demi membangun masyarakat baru yang penuh dengan kesungguhan. Dalam tempoh itu juga, wahyu terus turun kepada baginda, dan Rasulullah membacakannya kepada para sahabat. Di sinilah ada segelintir para sahabat yang mencurahkan perhatiannya kepada al-Quran sejak daripada hari pertama wahyu diturunkan kepada Rasulullah. Ada di antara mereka yang menghafalnya dan ada juga yang menulisnya untuk memelihara keaslian al-Quran.

Selama lebih kurang 21 tahun, al-Quran turun ayat demi ayat sesuai dengan keperluan dan situasi yang dihadapi. Para penghafal dan penuIis al-Quran menumpukan sepenuh perhatian terhadap wahyu yang diturunkan.

Al-Quran tidak turun sekaligus, karena al-Quran itu bukanlah buku ataupun artikel. Akan tetapi, al-Quran adalah pedoman bagi umat baru yang dibangun secara bertahap, sejengkal demi sejengkal dan dari masa ke masa. Akidah mereka dibangunkan, hati mereka dibersihkan, pola fikir mereka dikembangkan dan tekad mereka dikuatkan sesuai dengan kehendak dan izin Allah swt. Mereka menerima kehendak ini dengan sepenuh hati tanpa adanya alasan.

Oleh sebab itulah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Hal ini demikian untuk mengikuti perjalanan hidup mereka, situasi yang berubah-ubah dan permasalahan yang ada.

Sebagaimana yang telah kita ketahui, jumlah sahabat yang menghafal dan menulis al-Quran cukup banyak. Antara yang terkenal adalah Ali bin Abu Thalib, Ubai bin Ka'ab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, dan Zaid bin Tsabit; semoga Allah ridha kepada mereka semua.

Setelah isi al-Quran turun dengan sempurna, Rasulullah membacakannya kepada para sahabat dan kaum muslimin secara tersusun, surah demi surah dan ayat demi ayat.

Selepas wafatnya Rasulullah, berlaku Perang Riddah.

Ketika berlakunya Perang Yamamah, ramai penghafal al-Quran yang syahid. Oleh sebab itulah, Saidina Umar bin al-Khattab segera menemui Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan mencadangkan agar al-Quran dihimpunkan sebelum semua penghafal al-Quran gugur dalam peperangan.

Saidina Abu Bakar yang menjadi khalifah ketika itu meminta petunjuk dari Allah. Beliau juga meminta pendapat daripada para sahabat. Kemudian, beliau memanggil Zaid bin Tsabit dan berkata kepadanya, "Wahai Zaid, kau masih muda dan cerdas. Kami sedikitpun tidak berburuk sangka kepadamu." Lalu, Zaid diperintahkan untuk mengumpul al-Quran dengan mendapat bantuan daripada para penghafal yang lain.

Zaid memulakan tugas yang bakal menentukan masa depan Islam. Segala usaha dan pengorbanan dicurahkan untuk menyelesaikan tugas yang paling agung dan berat ini. Beliau mengumpulkan ayat demi ayat dan surah demi surah daripada para penghafal al-Quran serta daripada lembaran-lembaran yang ada. Pekerjaan ini dilakukan dengan sangat teliti sehinggalah al-Quran dikumpulkan kesemuanya dan tersusun rapi.

Hasil kerjanya mendapat persetujuan daripada para sahabat yang telah mendengar al-Quran secara terus daripada Nabi semasa hidup baginda, terutamanya para penghafal dan penulis al-Quran.

Zaid pernah menyatakan kesusahan dalam menjalankan tugas mulia dan agung ini, "Demi Allah, seandainya mereka memintaku untuk memindahkan gunung dari tempatnya, maka itu adalah lebih mudah bagiku daripada mengumpulkan al-Quran."

Daripada doanya, ini menunjukkan bahawa Zaid lebih suka memikul satu atau lebih buah gunung daripada melakukan kesalahan walau sekecil mana pun ketika menyalin ayat atau menyusunnya dalam satu surah.

Beliau masih boleh bertahan walaupun terpaksa menghadapi ujian yang sangat getir. Namun, beliau tidak dapat menerima jika tersilap ketika melaksanakan tugas suci ini, meskipun kesalahan tersebut tidak disengajakan.

Zaid selalu mendapat petunjuk daripada Allah dan jaminan yang dijanjikanNya, iaitu; "Sesungguhnya Kami yang menurunkan peringatan (al-Quran), dan sesungguhnya Kamilah yang akan memeliharanya." (al-Hijr[15]:9)

Maka, akhirnya Zaid dapat melaksanakan tugas penting ini dengan baik.

Inilah tahap pertama pengumpulan al-Quran. Al-Quran kemudiannya disalin menjadi beberapa mushaf. Mushaf-mushaf tersebut ada sedikit perbezaan, meskipun tidak banyak. Sesuai dengan peredaran masa, peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan umat Islam menyebabkan para sahabat menjadikan al-Quran hanya dengan satu mushaf.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Uthman bin Affan, umat Islam terus mengembangkan dakwah sehingga ke luar daripada kota Madinah. Di samping itu, penduduk dunia yang memeluk agama IsIam semakin banyak. Mereka memiliki perbezaan bahasa dan dialek. Ketika inilah berlakunya perbezaan mushaf yang menyebabkan berlakunya perbezaan cara baca terhadap al-Quran. Hal ini bahkan terjadi perbezaan cara baca antara para sahabat generasi tua dengan generasi muda. Oleh sebab itulah, sejumlah sahabat (yang dipimpin oleh Hudzaifah bin Yaman) datang menghadap Khalifah Uthman untuk memberitahu bahawa pentingnya penyatuan al-Quran.

Saidina Uthman meminta petunjuk daripada Allah dan meminta pendapat daripada para sahabat yang lainnya. Sebagaimana Khalifah Abu Bakar yang dahulunya menugaskan Zaid bin Tsabit, sekarang Khalifah Utsman juga menugaskan Zaid.

Zaid mengumpulkan rakan-rakannya. Mereka mengambil kembali beberapa mushaf yang sengaja disimpan di rumah Hafshah binti Umar selama ini. Zaid memulakan tugas yang berat dan mulia ini bersama para sahabat yang turut ditugaskan mengumpulkan al-Quran menjadi satu mushaf. Mereka yang bersama Zaid dalam melaksanakan tugas ini adalah para penulis dan penghafal al-Quran.

Hampir tidak ada perbezaan pendapat di kalangan mereka. Jika wujud perbezaan pendapat di antara mereka, maka mereka akan menjadikan pendapat Zaid sebagai yang utama.

Pada masa sekarang, ketikamana kita membaca al-Quran dengan lancar, atau sedang mendengar bacaan al-Quran, kita sama sekali tidak terfikir bahawa ada kesulitan besar yang pernah dihadapi oleh para pengumpul al-Quran pada masa dahulu.

Sesungguhnya, kesulitan yang dihadapi oleh mereka adalah sama dengan kesulitan di medan peperangan untuk menegakkan kalimah Allah dan rnenghancurkan kegelapan dengan cahaya Ilahi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails