“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk
Allah, Tuhan semesta alam” (Surat Al-An'aam ayat 162)
IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan.
Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan setiap
perkara yang disukai dan diredhai Allah dari jenis perkataan atau
perbuatan lahir dan batin. Ibadah
dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata
seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah
ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari
rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara. Kerja
pula merupakan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu perkara bagi
mendapatkan upah atau ganjaran. Manakala amanah pula bermaksud memenuhi
dan mematuhi segala apa yang telah dipertanggungjawabkan.
Konsep
kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tugas atau tanggungjawab
untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencari
keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh dan apa yang
tidak boleh dilakukan, halal dan haram, syurga atau neraka. Di antara
ciri-ciri pekerja dan pekerjaan yang dianggap sebagai ibadah adalah:-
· Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;
· Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;
· Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti solat.
· Menghasilkan kerja yang berkualiti.
· Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;
· Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;
· Menghindarkan
diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal
sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut
sebagai ahli ibadah oleh orang ramai, suka berbangga dengan memberitahu
kepada orang lain akan amal kebajikannya dan menghindarkan diri dari
merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan amal ibadah.
Islam
mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang
cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari
hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan
produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa
bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga,
masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah SWT.
Berapa ramai di antara kita (pekerja) yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti pekerja yang memandang remeh mengenai kerja, bekerja
dengan sambil lewa, curi tulang, menggunakan peralatan pejabat untuk
kepentingan peribadi, solat pada waktu kerja sedangkan masa yang
diperuntukkan untuk solat diisi dengan berbual kosong.
“Makanlah
(wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh
Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah
akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata.”
(Surat An-Nahl, ayat 70)
Justeru,
marilah sama-sama kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat seawal
melangkah keluar dari rumah bahawa semua kerja yang dilaksanakan kerana
Allah SWT. Mudah-mudahan setiap pergerakan dari mula hingga pulang ke
rumah dikira sebagai ibadah dan rezeki yang diterima penuh dengan
keberkatan.
No comments:
Post a Comment