Redha Allah adalah terletak pada redha ibu bapa kita.
Kalau ibu bapa kita marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya
susahlah hidup kita. Bukan hanya di dunia jer tak selamat (tiada
keberkatan), malah lebih teruk nasib kita di akhirat nanti.
Oleh
yang demikian kami menyeru kepada anda semua agar taati dan jaga lah
kedua ibu bapa anda sebaik mungkin. Sementara mereka masih hidup ini,
cubalah berbakti kepada mereka seberapa banyak yang boleh.
Sebenarnya banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti
itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata malah, ianya merangkumi
elemen spiritual dan hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan oleh
setiap insan bernama ANAK. Apatah lagi jika ibu bapa anda semakin uzur
dan memerlukan lebih perhatian.
Berikut ini dikongsikan 10 bakti @ kebaikan yang boleh anda lakukan untuk ibu bapa anda:
- (1.) Menghulurkan bantuan kewangan @ material
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak
dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika
bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga
yang semakin meningkat.Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah
atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa
berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
- (2.) Menyediakan tempat tinggal
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk
didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih
sesuai kepada ibu bapa.Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama
agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan
dengan baik.
- (3.) Memberi kasih sayang
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini
dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas
sebaik-baiknya.Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu
bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka
diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud:
Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti
mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil. (Surah al-Isra, ayat 24)
- (4.) Memberi perhatian
Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan
seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan
menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada
kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.Ramai ibu bapa yang disisihkan
dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak
mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga
dan membesarkan beberapa anak.
- (5.) Memenuhi permintaan
Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu
keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan
masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan
tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik
berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan
seumpamanya..
Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada
berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu
Umar berkata:
Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: Apakah perbuatan
disukai oleh Allah? Lalu Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.
Kemudian apa?, tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua
ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi? Jawab Baginda: Berjihad pada jalan
Allah.
- (6.) Melakukan apa yang disukai
Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada
pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna
melakukan perbuatan derhaka.Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat
keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa
disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud ;
Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud:
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut
kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada
kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada
pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
- (7.) Bercakap dengan lemah lembut
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut
dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan
mereka..
Firman Allah bermaksud:
Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain
Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika
salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua,
janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan
janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan
santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara
tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam
diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa.
Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan
keadaan sebenar.
- (8.) Menghadiahkan kejayaan
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan,
dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu
bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan
itu..
- (9.) Meluangkan masa bersama-sama
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan
masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan
menatap wajah anaknya.
- (10.) Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan
mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka
meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud:
Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala
amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan
memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain
dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu
bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak
tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia
berbakti sepanjang hayatnya..
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa
sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya
semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah
sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih
hidup.Jangan menyesal di kemudian hari.
No comments:
Post a Comment