Puasa Ramadan yang difardukan kepada umat Islam bukan saja ujian
kepada keimanan menahan nafsu makan minum, ibadat itu juga memberi
kebaikan kepada tubuh badan terutama untuk menghapuskan toksin yang
tersimpan selama ini.
Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin,
berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang
memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan
ketahanan tubuh badan.
Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan
sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan
asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.
Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.
“Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas.
Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan
kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan
mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.
“Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan
diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap
sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya
toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk
Ramadan dan Sains pada Seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut
Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam
Malaysia (PPIM).
Seminar bertemakan Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan
membabitkan kira-kira 150 pengamal perubatan, kakitangan hospital
kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Sebanyak enam
kertas kerja dibentangkan merangkumi aspek ibadah serta panduan
perubatan kepada pesakit di bulan Ramadan.
Pada pembentangan itu, Dr Danial menjelaskan kajian dilakukan
pelbagai pihak mengenai kesan makanan terhadap sikap manusia serta
keberkesanan puasa membantu mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi
sesetengah pihak sebagai panduan masyarakat umum.
Antara diketengahkan ialah laporan
mengenai makanan ringan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan
kumpulan berisiko adalah remaja belasan tahun yang ketagih makanan
ringan. Kajian oleh Universiti Toronto pula mendapati makanan ringan
boleh merosakkan otak.
Buku Dr Jack Goldstein mengenai puasa memberitahu amalan itu dapat
membina kekuatan tubuh badan, sementara Dr Shahid Athar dalam laporan
mengenai rumusan Kongres Kesihatan dan Ramadan yang diadakan di
Casablanca pada 1994 turut memperakukan puasa Ramadan dari sudut sains
dapat meningkatkan ketahanan tubuh.
Justeru, menurut Dr Danial, masyarakat tidak perlu bimbang terhadap
kesan puasa kepada tubuh dan sistem imunisasi kerana terbukti amalan
menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari bermula dari
waktu imsak hingga berbuka memberi lebih banyak manfaat daripada
kemudaratan.
“Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan
dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Yang
malas sarapan adalah calon untuk penyakit obesiti, dia-betes dan sakit
jantung. Jadi sahur ambil tempat sarapan pagi dan jika tidak makan 12
jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa.
“Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik. Begitu juga
amalan makan kurma ketika berbuka puasa kerana kelebihan kurma
mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5 dan 20 asid amino yang bagus untuk
sistem penghadaman selain memberi tenaga,” katanya.
Katanya, Ramadan bulan pendidikan untuk mentarbiah fikriah, jasadiah
serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa
dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan
ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan.
Dr Danial berkata, kajian oleh Dr Ebrahim Kazim dari Akademi Islam,
Trinidad, menunjukkan pada bulan Ramadan hormon yang banyak mempengaruhi
tingkah laku manusia dinamakan opioids dirembeskan dalam tubuh
menjadikan orang yang berpuasa dengan betul, banyak bertadarus serta
berzikir lebih tenang.
Sementara Dr Ahmad E Kadi yang membuat kajian mengenai solat serta
penyembuhan merumuskan hanya dengan mendengar bacaan al-Quran dapat
menurunkan tekanan darah, mengurangkan nadi serta memberi kerehatan
kepada otot.
“Satu lagi kajian tetapi belum disahkan, sebutan kalimah al-Quran
seperti Alif Lam Min dan Ya Sin, baik untuk jantung serta otak. Namun,
ini masih dalam kajian lagi. Apapun, nasihat saya kepada umat Islam,
Ramadan ini jangan fokus masalah tetapi fokus kepada Allah, masalah akan
reda,” katanya.
No comments:
Post a Comment