Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Monday, September 10, 2012

Ilmu pendorong kejayaan benteng kejahatan



SETIAP manusia dianugerahkan Allah SWT kekuatan dan kelemahan. Tiada ada seorang pun yang tidak mempunyai kelemahan atau kekuatan semata-mata. Dengan sebab itu, kekuatan mampu menjadikan manusia yang berguna kepada diri, negara dan agama.
 
Firman Allah SWT bermaksud: 'Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat perkara baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…'. Surah al-Imran, ayat 110.
 
Ayat ini menjelaskan potensi yang pada diri manusia ada kekuatan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Lebih istimewa lagi dijelaskan ‘umat Islam dilahirkan dengan sebaik-baik ummah’.
 
Dalam menjalani kehidupan, cabaran dan dugaan silih berganti. Kehidupan setiap individu akan diuji. Melalui proses ujian inilah mereka akan memperoleh kejayaan atau kegagalan. Dengan sebab itu, potensi diri manusia yang dimiliki oleh setiap individu hendaklah digunakan sebaik-baiknya agar tidak mudah tewas dengan ajakan nafsu, persekitaran, musuh dan syaitan.
Laporan media mengenai jenayah dan penyalahgunaan najis dadah membimbangkan masyarakat terutama umat Islam kerana Islam mengatur kehidupan manusia agar mereka berjaya di dunia dan akhirat.
 
Islam mengajarkan cara untuk menguatkan pertahanan iman dalam diri dengan perkara seperti berikut.
 
 Pertama: Berilmu.

Manusia yang lahir ke dunia tidak mengetahui kecuali selepas ia mempelajari. 'Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur'. – Surah an-Nahl, ayat 78.

'Sesungguhnya Kami aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami mengujinya (dengan kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.

“(Kerana keadaan itu tidak mencukupi) maka sesungguhnya Kami menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) jalan (yang benar dan salah; terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat, ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).” – Surah al-Insan, ayat 2-3.

Berdasar kepada ketiga-tiga ayat ini menunjukkan setiap manusia memerlukan ilmu dalam menjalani kehidupan ini. Asas utama dalam kehidupan manusia ialah ilmu. Sekiranya mempunyai ilmu, banyak perkara dapat difahami dan digunakan untuk kehidupan ini.

Ilmu secara formal dipelajari di sekolah dan tempat pengajian dan secara tidak formal pada majlis ilmu, TV, radio, internet, buku serta pengalaman orang lain. Ilmu mampu menjadikan manusia mengetahui sesuatu perkara dan menggunakannya melalui amalan dan praktikal.

Islam mengajar agar setiap umatnya membaca al-Quran, memahami maksudnya dan menghayati kandungan serta mengamalkan suruhan-Nya. Sekiranya umat Islam sendiri tidak membaca dan menghayatinya, matlamat kehidupan mereka tidak sempurna. Hidup berpandukan al-Quran adalah hidup yang diredai oleh Allah SWT. Manusia tidak akan sesat walaupun pada abad mana pun.

Apabila ayat al-Quran dibaca, manusia akan mendapati mereka adalah makhluk yang lemah dan semuanya adalah daripada Allah SWT. Sifat takut dan takwa kepada Allah SWT akan menghalang daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah. Namun sekiranya manusia tidak rasai kewujudan dan pemerhatian Allah SWT sudah tentu tidak takut untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah, merugikan masa dan mengundang dosa. Maksud hadis yang diriwayatkan oleh Muslim.

'Beribadah kepada Allah, seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu'.

Berilmu dan beramal bukan hanya dilihat kepada mendapat pahala daripada Allah SWT saja malah kebahagiaan dan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
 
 Kedua: Beramal dengan ilmu.

Kualiti modal insan bergantung pada kekuatan ilmu dan kecanggihan keterampilan yang dimiliki seseorang. Ilmu merangkumi bidang yang luas dan pelbagai. Orang yang berilmu akan cenderung untuk melaksanakan apa yang dimilikinya. Berilmu dengan ilmu dengan erti kata bekerja, berakhlak dengan akhlak yang baik, melaksanakan ajaran Islam mengikut apa yang diajar oleh Islam. Antara hadis yang menyuruh secara langsung agar mempertahankan akhlak antaranya;

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; Orang yang kuat itu bukanlah orang yang menang berkelahi, tetapi orang yang kuat ialah yang dapat menguasai dirinya pada waktu marah'. – Hadis Riwayat al-Bukhari

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud; 'Berilah saya wasiat (petunjuk/ajaran) Baginda bersabda; 'Jangan menjadi seorang pemarah'. Ucapan ini diulang berkali-kali. – Hadis Riwayat al-Bukhari.
 
 Ketiga; Menggunakan masa dengan perkara berfaedah.

Menyedari kehidupan ini sementara, manusia hendaklah menggunakan masa yang ada untuk kehidupan mereka. Modal insan dalam perspektif Islam ialah bagaimana potensi insan seperti akal, hati, jasmani dijadikan kekuatan mengurus diri dengan masa yang ada. Masa yang ada digunakan untuk belajar, bekerja, berkeluarga, bermasyarakat hingga tercapai matlamat kehidupan yang sebenar.

Daripada Ibnu Abbas RA, katanya, Nabi SAW bersabda, bermaksud: 'Ada dua nikmat yang sering kebanyakan manusia tertipu (sering melupakannya) iaitu waktu sihat dan waktu lapang'. – (Riwayat al-Bukhari)
 
 Keempat; Menggunakan akal fikiran sebaik mungkin.

Seseorang kanak-kanak akan baligh apabila sampai kepada tahap perkembangan tertentu dan bermula daripada itu akalnya dikira berfungsi dengan lebih baik dan sempurna. Allah SWT menyuruh manusia menggunakan akal bagi membezakan yang baik dan buruk, kejahatan, kecantikan, kekayaan, suruhan dan larangan.
 
Akal sempurna berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah mampu meletakkan manusia menjadi khalifah (pentadbir) alam dengan sebaik mungkin. Penggunaan akal secara maksimum mampu menjadikan manusia berjaya di dalam perkara yang dilakukannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails