Setiap detik pasti ada
orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi yang baru
dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang
pergi akan digantikan dengan yang baru. Kita di dunia adalah umpama seorang
musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian dia
akan meneruskan perjalanannya ke alam kubur ataupun alam barzakh. Menurut kamus
Mukhtar al-Shahhah (????? ??????) oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh
bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Berdasarkan
(iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di
dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia terletak di antara alam
dunia dan alam akhirat. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T di dalam
surah Al-Mukminun ayat 99-100:
Kesudahan golongan
yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara
mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di
dunia) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam perkara-perkara yang telah
aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu
hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka
alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari
Kiamat).
Seseorang yang sudah mati
dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat
kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud:
"Sesungguhnya kubur
itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang
itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih
mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada
(seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."
Dr A’idh Abdullah
al-Qarni menulis di dalam sebuah bukunya yang cukup terkenal bertajuk “Malam
Pertama Di Alam Kubur”: Seorang penyair arab pernah mendendangkan
syairnya:
Aku tinggalkan
tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah
berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang
tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah
katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut .Yang Allah pasti
mentakdirkannya pada setiap hamba.
Renungkanlah bagaimana
perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i
berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya,
kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan
datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke
dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu
yang kini telah dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini
matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah
telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur
terbenam.”
Umar bin Abdul Aziz
pernah berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai
fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang
kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam kubur,
pasti kau tak akan berani mendekatinya.
Pada suatu ketika pula ,
Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat
dikebumikan, maka semua orang telah bersurai kecuali beliau dan beberapa orang
sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur tersebut. Tidak lama kemudia
sahabatnya bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah
ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu.
Umar pun berkata: “ Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang.
Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah
tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin
Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada
jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar
kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah
dagingnya.
Mahukah engkau tahu apa
yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu
persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan
menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku
cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak
kakinya.
Setelah mendengar
penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata.” Ketahuilah
sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan.
Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu
olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat
rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku.
Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian
beliau meninggal dunia.
Antara syarat kemenangan
dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian dan
menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai di kalangan
kita mengabaikan peringatan dan ancaman yang berbahaya ini. Jika pun kita
mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah
saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang
terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita
keras dan gelap dari cahaya.
Saudaraku sekalian, jalan
Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh
dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia
dengan penjelasan dahsyatnya kubur. Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali.
Untuk merawat hati yang keras ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa
perkara:
Pertama-
Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Dengan cara ini hati menjadi
hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun jarang jarang membaca al-Quran
adalah hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya syaitan.
Kedua- Sentiasa
merendah diri dan menangis di hadapan Allah. Kita hendaklah bersikap kepada
Tuhan sebagai seseorang yang sangat memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa
kesulitan, merintih dan berdoalah kepada-Nya.
Ketiga –
Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang
semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari
menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Ini termasuklah
majlis tari-menari dan juga konsert-konsert hiburan yang
melalaikan.
Keempat-
Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya
tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang
angan-angan.
Kelima- Menziarahi
kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka
inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. Rasulullah
s.a.w bersabda:
“Ziarahilah kubur
kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”. (Riwayat
Muslim)
Kesimpulannya, jelaslah
kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik.
Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa
berada dalam keadaan bersedia.
“Wahai orang tua yang
telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap sedia
menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta, pangkat
dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri menghadapi malam pertama? Ia
adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi
malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam
neraka selanjutnya.
No comments:
Post a Comment