Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Wednesday, May 2, 2012

Dakwah Itu Cinta Abadi


Dakwah adalah cinta dan memang seperti itulah hakikat dakwah. Cinta akan meminta semuanya dari diri kita bermula dari:

1. Fikiran kita.
2. Perhatian kita.
3. Berjalan kita.
4. Duduk kita.
5. Tidur kita.

Bahkan di tengah-tengah kelelapan kita dalam tidur, isi mimpi kita pun tentang dakwah dan tentang umat yang kita cintai. Memang seperti itulah hakikat dakwah.  Ia menyedut :
 
1. Saripati tenaga kita.
2. Sampai ke tulang belulang kita.
3. Sampai ke daging terakhir yang menempel di tubuh kita.

Tubuh yang sudah tidak berdaya dan mulai lemah diseret-seretnya serta dipaksa berlari.

Seperti itulah pula apa yang berlaku  kepada rambut Rasulullah saw di mana kepalanya beruban kerana beban berat dari ayat yang diturunkan oleh Allah swt.

Sebagaimana tubuh mulia Umar bin Abdul Aziz.

Dia memimpin hanya sebentar, namun kaum muslimin benar-benar kagum dengan usahanya di mana tidak ada lagi orang miskin yang boleh diberi sedekah di zamannya dan tubuhnya yang mulia itu terkoyak-koyak.

Sukar membayangkan sekuat mana khalifah Umar bekerja. Tubuh yang segar bugar pada mulanya itu mulai ditimpa kelemahan dan kesakitan. Hanya dalam dua (2) tahun ia jatuh sakit dan kemudiannya meninggal dunia walaupun memang itu yang diharapkannya iaitu mati dalam keadaan jiwa yang tenang.

Dakwah bukannya :
a. Tidak meletihkan.
b. Tidak membosankan.
c. Tidak menyakitkan.

Bahkan juga para pejuang risalah bukannya sepi dari godaan kefuturan. Rasa letih dan sakit itu sentiasa bersama mereka sepanjang hidup yang dilalui.

Justeru kerana rasa letih dan sakit itu sentiasa mereka rasakan, sentiasa menemani mereka, sentiasa mengintai ke mana pun mereka pergi, maka akhirnya ianya menjadi sebahagian dari rutin kehidupan.

Kalau iman dan godaan rasa letih sentiasa bertempur, pada akhirnya salah satunya mesti mengalah dan rasa letih itu sendiri yang akhirnya mulai lemah untuk mencekik iman lalu iman itu terus berkobar di dalam dada.

Begitu pula rasa sakit di mana luka tidak akan terasa lagi sebagai luka sehingga ‘hasrat untuk mengeluh’ tidak lagi terlalu menggoda dibandingkan dengan jihad yang begitu mempesonakan.


Maka oleh sebab itu, bagi seorang pejuang, walaupun tubuhnya dikelilingi keletihan dan kesakitan, jasadnya dikoyak oleh bebanan dakwah namun iman di hatinya tetap memancarkan cinta dan mengajak kita untuk terus berlari :

1. Teruslah bergerak, hingga keletihan itu penat mengikuti kita.

2. Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejar kita.

3. Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersama kita.

4. Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu lemah menyertai kita.

5. Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemani kita.

Dalam doa Rabithah, Imam Hasan Al Banna telah melakarkan bait-bait berikut :

‘Ya Allah Engkau tahu, Hati-hati ini telah Berkumpul dalam cinta-Mu, Bertemu dalam taat-Mu, Menyatu menolong dakwah-Mu, Berjanji memperjuangkan syariat-Mu, Maka eratkan ikatannya, Dan abadikan cintanya.....’. (Doa Rabithah)

Tidak ada penjelasan sejarah tentang suasana yang melatari Imam Hasan Al Banna di kala menulis beberapa potongan doa tersebut.

Ia menyebutnya sebagai ‘Wirid Pengikat’.

Pengikat hati yang sedang dibangunkan untuk memikul bebanan dakwah bagi kebangkitan umat di mana mereka memahami bahwa :

1. Beban mereka berat.
2. Jumlah mereka sedikit.
3. Musuh mereka banyak.

Jadi mereka memerlukan landasan yang kukuh dan pengikat yang kuat.

Maka oleh itu :

1. Landasannya adalah iman.

2. Pengikatnya adalah cinta.

Cinta menjalin jiwa-jiwa mereka dalam kelembutan yang cukup menenangkan, maka setiap mereka adalah hamparan permaidani halus yang empuk dan masing-masing dengan bentuk yang unik mampu duduk bersama dalam keadaan santai.

Cinta mereka sentiasa mampu menampung semua bentuk perbezaan di mana ada kebebasan berpendapat namun tidak ada sikap yang melukakan hati saudaranya, begitu juga ada sikap keterbukaan tapi objektif dan matlamat tetap di atas segalanya.

Cinta melahirkan pertanggungjawaban di mana setiap mereka sentiasa bertanya tentang sejauh mana mereka mampu mempertanggungjawabkan sikap mereka di depan Allah swt nanti?

Cinta juga melahirkan kelembutan di mana perbezaan-perbezaan mereka dikelolakan dalam etika yang mampu menenangkan jiwa kerana setiap perbicaraan mereka sentiasa berakhir dengan amal. Perbezaan di antara mereka tidak akan mengubah situasi mereka sepertimana kata-kata penyair Mohamad Iqbal iaitu ‘Umpama penyapu lidi yang diikat dengan cinta untuk membersihkan kehidupan.’

Cinta juga memberi mereka tenaga di mana para pemikul beban kebangkitan itu pastilah akan menempuh jalan perjuangan yang penuh liku dan pendakian yang menyukarkan. Pada setiap satu jarak waktu dan tempat, nilai bebanan mereka semakin bertambah.

Hakikatnya mereka pasti mengalami proses penuaan diri, sepertimana sabda Rasulullah saw:

"Surah Hud dan saudara-saudaranya telah mengubankan rambutku."

Kalau bukanlah dengan tenaga yang kuat dan dahsyat itu, siapakah yang sanggup mendaki gunung sambil memikul bebanan di atas bahunya?

Itulah Cinta, sumber segala kekuatan.

Tenaga cinta menolak mereka untuk tumbuh, bergerak dan membangun dalam tempoh yang cepat di samping ikatan cinta yang mengatur irama mereka dalam keserasian yang begitu indah.

Itulah sumber yang membuatkan mereka kuat, tenang dan tidak pernah tergugah.

Jadi benarlah apabila Imam Hasan Al Banna mengumumkan kembali cintanya:

‘Maka Eratkan Ikatannya Dan Abadikan Cintanya.’

Ya Allah, tumbuhkanlah perasaan cinta di dalam hati kami terhadap saudara-saudara seperjuangan kami. Eratkanlah ikatan iman itu melalui ikatan cinta yang abadi sehingga ia menjadi tenaga yang mampu menegakkan tulang belulang kami dan meneruskan perjalanan dakwah yang panjang hingga kami mendapatkan kemenangan atau gugur syahid di jalanMu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails