Apabila
insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman,
keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan
bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala
kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang
dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?
Sebahagian
ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya
jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru,
hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang
sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti
yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun,
insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar
segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka.
Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya,
bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu
menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih
kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya
keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah
ungkapan yang meredhakan Allah al-Rahman yang menjadikanNya dengan
pantas mendengar rintihan insan?
Insan
perlu sedar, antara penghalang rahmat Allah kepadanya adalah dosa dan
kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan
dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan,
terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati
nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan
pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah
syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya.
Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi
jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan
mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu
kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur,
dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian
hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap
kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan
dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun,
di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan
keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan
mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari
kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan
ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah
janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah
buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan
pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana
dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam
kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T
mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur.
Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka
keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan
cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah
janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar
dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan
hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang
berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas
sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta,
anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam
Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan
seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya
tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang
lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang
lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau:
Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan,
jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa
jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah
juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun
di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan
dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang
ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah:
(maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah
janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan
istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada
dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita
mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah
sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut
ditimpa bala! beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora
hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang
diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri
semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan
hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman
Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka
membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah
insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka
membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang
diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan
pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan
yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari
akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia
akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan
dengan Allah.
Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut
tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau
apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu
kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di
pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan
tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21.
Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
No comments:
Post a Comment