Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Friday, March 29, 2013

Perkahwinan dan hak suami ke atas isteri serta hak isteri ke atas suami




Perkahwinan merupakan fitrah yang Allah anugerahkan ke atas manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Menurut Islam perkahwinan bukanlah atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan syahwat tetapi untuk memenuhi kehendak tujuan kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada  Allah. Kerana itu setiap Muslim mahupun Muslimah perlu merancang agar perkahwinan mereka tergolong di dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ila Allah).

Dalam sebuah hadis yang  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;
“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]

Hadis di atas menerangkan pedoman dari Rasulullah bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada ketakwaan. Muslimin dan Muslimat di sarankan agar memotivasikan diri untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai rangka mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Perkahwinan merupakan pangkal, sementara berbagai-bagai hubungan lain hanyalah cabang dari adanya hubungan perkahwinan. Dengan kata lain, jika tidak ada perkahwinan, tidak mungkin muncul status suami, isteri, anak, bapa, ibu dan sebagainya.Islam telah menganjurkan kaum Muslimin untuk melangsungkan perkahwinan. Ibnu Mas’ud radhiallahu anhu menuturkan bahawa Rasulullah bersabda sebagai berikut:
“Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai.”

Seorang Muslim atau Muslimah yang baik selalu berharap kepada Allah agar mendapatkan pasangan yang dapat menjaga kehormatan dirinya, keluarganya dan kedekatannya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Ia akan bersyukur jika ia berhasil memiliki pasangan yang soleh/solehah. Sebab ia telah mendapat keberuntungan yang paling besar. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” [HR Muslim]

Seorang Muslim tidak dianjurkan menikahi seseorang kerana kecantikannya, kekayaannya mahupun darjatnya, tetapi dianjurkan agar memilih yang bertaqwa. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;
“Janganlah kalian menikahi perempuan itu kerana kecantikannya, mungkin kecantikannya itu akan membawa kerosakan bagi mereka sendiri. Janganlah pula kalian menikahi mereka kerana mengharap harta mereka, mungkin hartanya itu akan menyebabkan mereka sombong. Akan tetapi, nikahilah mereka dengan dasar agamanya. Sesungguhnya hamba sahaya yang hitam lebih baik, asalkan ia beragama.” [HR Ibnu Majah]

Hadis di atas menuntut agar seseorang berkahwin kerana agama dan bukan kerana selainnya. Apa yang penting, setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana Allah. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana Allah, nescaya mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang.” [TMQ ar-Rum (30):21]

Kehidupan suami isteri
Pada dasarnya, hubungan suami-isteri adalah hubungan yang didasarkan pada prinsip persahabatan yang akrab, saling mengerti dan saling memerlukan. Hubungan suami isteri ini akan menjadi lebih bermakna jika suami isteri itu tahu menjalankan tanggung jawab masing-masing. Dengan ini syariat Islam telah menjelaskan apa yang menjadi hak isteri atas suaminya dan hak suami atas isterinya. Sebagaimana Firman Allah:
“Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” [TMQ al-Baqarah (2):228]

Ertinya hak yang dimiliki oleh seorang isteri atas suaminya sama seperti hak suami atas isterinya dari sudut masing-masing mesti mematuhi perintah dan larangan Allah. Oleh sebab itu Ibn Abbas pernah bertutur demikian,
“Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana ia berhias untukku. Aku pun suka meminta agar ia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.”  

Dan kata-katanya lagi;
“Para isteri berhak merasakan suasana persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka pun berkewajiban untuk melakukan ketaatan dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka.”

Antara hak dan kewajiban suami ke atas isterinya ialah:
(1) Suami berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:
“Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban]

(2)  Suami berkewajiban memenuhi keperluan seksual isterinya, walaupun hanya sekali dalam masa empat bulan, yakni jika keadaan tidak mengizinkan. Keadaan ini ditetapkan berdasarkan Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya dari isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Baqarah (2):226]

(3)  Minimum tidur bersama isteri sekali dalam setiap empat hari. Pada masa Umar bin al-Khatthab ketetapan semacam ini pernah dilakukan. Ketetapan Umar ini diambil dari firman Allah;
“Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” [TMQ an-Nisa’ (4):3]

Ini bermaksud, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Jadi, berdasarkan mafhum ayat, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani hak tidur isteri, walaupun isterinya adalah seorang. 

(4) Berbuat adil dalam pembahagian jika suami mempunyai isteri lebih dari seorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Siapa saja yang mempunyai dua orang isteri, kemudian dia lebih cenderung kepada salah satunya, maka orang itu pada hari kiamat akan dipapah oleh seseorang kerana jatuh atau tertatih-tatih.” [HR at-Tirmidzi]

(5) Jika isterinya seorang gadis, maka si suami hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari dari permulaan pernikahannya dan tiga hari (dari tarikh pernikahan) jika isterinya seorang janda. Ini di ambil dari sabda Rasulullah yang ertinya:
“Bagi gadis tujuh hari, sedangkan bagi janda tiga hari, kemudian barulah ia kembali kepada isterinya yang lama.” [HR Muslim]

(6) Suami disunnahkan memberikan izin kepada isterinya jika ingin melihat saudaranya yang sakit atau menziarahi jika ada yang meninggal dunia.

Di antara hak suami atas isterinya ialah:
(1) Isteri wajib mentaati suaminya dalam hal kebaikan, bukan dalam kemaksiatan kepada Allah. Namun demikian, seorang suami hendaknya tidak memberatkan atau menyusahkan isterinya. Ketentuan semacam ini diambil dari Firman Allah:
“Jika isteri-isteri kalian mentaati kalian maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” [TMQ an-Nisa’ (4):34]

Rasulullah juga bersabda:
“Sekiranya aku dibolehkan menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri bersujud kepada suaminya.” [HR at-Tirmidzi]

(2) Seorang isteri wajib menjaga harta kekayaan dan rahsia suaminya. Ia juga tidak boleh keluar rumah kecuali atas izin suaminya. Ketentuan ini diambil dari sabda Rasulullah:
“(Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya” [HR an-Nasa’i]

(3) Berpergian bersama suaminya jika diajak. Sebab, berpergian bersama suami merupakan hak suami yang wajib ditaati oleh isterinya.

(4) Isteri wajib melayani suami jika suami mahu bersamanya. Ini kerana, melayani keperluan seksual suami merupakan kewajipan isteri dan hak bagi suami. Dalam sebuah hadis disebutkan:
“Jika seorang suami mengajak isterinya untuk tidur bersama, kemudian isterinya menolaknya, hingga suaminya marah, maka malaikat akan melaknatnya hingga pagi hari.” [Muttafaq ‘alaih]

(5)  Seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika ia hendak mengerjakan puasa sunat. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah:
“Tidak halal bagi isteri untuk melakukan puasa ketika suaminya menyaksikannya, kecuali berdasarkan izinnya.” [Muttafaq ‘alaih].

Apa yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian dari hak dan tanggungjawab di antara suami isteri di dalam kehidupan rumah tangga. Jika suami tidak menunaikan hak isterinya, suami tersebut telah melakukan kesalahan. Begitu juga, jika seorang isteri tidak memenuhi hak suaminya ia telah melakukan nusyuz.

Nusyuz
Nusyuz adalah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Hukum nusyuz berlaku apabila si isteri melanggar perintah dan larangan suami semasa berada di dalam hayatul khas/kehidupan khusus (rumah tangga) seperti di dalam rumah. Adapun jika seorang isteri melanggar perintah suaminya di luar kehidupan khusus itu, ini tidak dinamakan nusyuz.

Syariat Islam telah menetapkan beberapa hak suami yang perlu dijalankan oleh seorang isteri. Antaranya menguruskan rumah tangga. Apabila seorang suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak, memandikan anak-anak dan menggosok pakaiannya, jika isterinya tidak mahu melakukannya, ini bermakna isterinya itu telah melakukan nusyuz terhadap suaminya. 

Begitu juga, jika seorang suami melarang isterinya bertabarruj (berhias diri) atau tidak memakai tudung di hadapan tetamunya di dalam rumah, jika isterinya melanggar larangan suaminya itu, maka isteri tersebut telah melakukan nusyuz. 

Sebaliknya jika suami tersebut melarang si isteri keluar rumah bertabarruj atau tidak memakai tudung (di luar rumah – hayatul am), jika si isteri tersebut tidak mengikut larangan suaminya itu, ini tidak dinamakan nusyuz kerana perbuatan itu bukanlah di dalam hayatul khas. Isteri tersebut telah melakukan keharaman kerana melanggar perintah Allah, cuma perbuatan tersebut tidak termasuk kategori nusyuz kerana berlaku di dalam hayatul am.

Contoh yang sama adalah jika si suami melarang isteri dari mencuri. Namun isteri melanggar perintah suami dan tetap mencuri (contohnya mencuri di pasar raya), maka isteri tersebut telah melakukan dosa dan keharaman. Namun ini tidak termasuk di dalam kategori nusyuz. Dan dari segi hukuman, isteri tersebut wajib dipotong tangannya oleh negara (Khilafah) dan bukannya dikenakan hukuman nusyuz oleh suami. 

Ketika syariat Islam telah menetapkan hak suami secara umum untuk memerintahkan isterinya melakukan sesuatu, atau melarangnya, syariat juga telah membenarkan beberapa hal dari keumuman tersebut. Misalnya, syariat membolehkan seorang wanita untuk menjalankan perniagaan, mengajar, menghubungkan silaturrahim, pergi ke masjid, menghadiri ceramah ataupun seminar dan sebagainya. Seandainya si isteri melanggar larangan suaminya ini, maka si isteri tersebut tidak jatuh nusyuz kerana ini merupakan hak di dalam kehidupan umum yang dibenarkan oleh Allah ke atas wanita. Namun si isteri mestilah meminta izin kepada suami untuk keluar rumah dan mesti mentaati keputusan suaminya selama mana tidak melanggar syarak. 

Syariat Islam juga telah mewajibkan wanita untuk berdakwah dalam masyarakat. Ini bermakna wanita/isteri juga wajib berdakwah, sebagaimana lelaki/suami. Seandainya si suami melarang si isteri untuk keluar berdakwah, ini adalah satu kesalahan bagi pihak suami. Meski demikian, jika di rumah ada kewajipan lain seperti menguruskan anak-anak, menyiapkan pakaian, makan dan minum suami, maka hal ini hendaklah dilakukan terlebih dahulu oleh si isteri. 

Hukuman nusyuz.

Hukuman nusyuz telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud: 
“Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” [TMQ an-Nisa’(4):34)

Jadi bentuk hukuman tersebut (dan mesti dilakukan menurut urutan) adalah: 
1. menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. mengasingkan tempat tidur.
3. memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.

Semua hukuman tersebut ditetapkan sebagai cara agar seorang isteri mentaati suaminya. Jadi, apabila isteri melakukan nusyuz, maka penyelesaiannya mestilah mengikut hukuman di atas. 

Di samping itu, satu hal yang semestinya diperhatikan adalah bahawa kehidupan suami isteri harus merupakan bentuk kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan rahmat (mawwadah wa rahmah ). Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: 
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik di antara kalian terhadap keluargaku.” [HR Muslim]

Wednesday, February 6, 2013

Makna Asmaul-Husna




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Allah: ( الله ) Lafaz yang Maha Mulia yang merupakan nama dari Zat Ilahi yang Maha Suci serta wajib adanya yang berhak memiliki semua macam pujian dan sanjungan.
Lafadz ini disebut juga lafadz Jalalah, dan juga disebut Ismu Zat . Iaitu Zat yang menciptakan langit, bumi dan seisinya termasuk kita sebagai umat manusia ini. Dan Dialah Tuhan seru sekalian alam.
Adapun nama-nama lain, maka setiap nama itu menunjukkan suatu sifat Allah yang tertentu dan oleh sebab itu bolehlah dianggap sebagai sifat bagi lafaz yang Maha Mulia.
.
.
Berikut ini adalah 99 nama Allah SWT (Asmaul Husna) beserta maknanya:
1. Ar-Rahmaan: ( الرحمن ) Maha Pengasih, iaitu pemberi kenikmatan yang agung-agung dan pengasih di dunia.
2. Ar-Rahim: ( الرحيم ) Maha Penyayang, iaitu pemberi kenikmatan yang di luar jangkaan dan penyayang di akhirat.
3. Al-Malik: ( الملك ) Maha Merajai/ Menguasai /Pemerintah, iaitu mengatur kerajaanNya sesuai dengan kehendakNya sendiri.
4. Al-Quddus: ( القدوس ) Maha Suci, iaitu tersuci dan bersih dari segala cela dan kekurangan.
5. As-Salaam: ( السلام ) Maha Penyelamat, iaitu pemberi keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh makhlukNya.
6. Al-Mu’min: ( المؤمن ) Maha Pengaman / Pemelihara keamanan, iaitu siapa yang bersalah dan makhlukNya itu benar-benar akan diberi seksa, sedang kepada yang taat akan benar-benar dipenuhi janjiNya dengan pahala yang baik.
7. Al-Muhaimin: ( المحيمن ) Maha Pelindung/Penjaga / Maha Pengawal serta Pengawas, iaitu memerintah dan melindungi segala sesuatu.
8. Al-’Aziiz: ( العزيز ) Maha Mulia / Maha Berkuasa, iaitu kuasaNya mampu untuk berbuat sekehendakNya
9. Al-Jabbaar: ( الجبار ) Maha Perkasa / Maha Kuat / Yang Menundukkan Segalanya, iaitu mencukupi segala keperluan, melangsungkan segala perintahNya serta memperbaiki keadaan seluruh hambaNya.
10. Al-Mutakabbir: ( المتكبر ) Maha Megah / Maha Pelengkap Kebesaran. iaitu yang melengkapi segala kebesaranNya, menyendiri dengan sifat keagungan dan kemegahanNya.
11. Al-Khaaliq: ( الخالق ) Maha Pencipta, iaitu mengadakan seluruh makhluk tanpa asal, juga yang menakdirkan adanya semua itu.
12. Al-Baari’: ( البارئ ) Maha Pembuat / Maha Perancang / Maha Menjadikan, iaitu mengadakan sesuatu yang bernyawa yang ada asal mulanya.
13. Al-Mushawwir: ( المصور ) Maha Pembentuk / Maha Menjadikan Rupa Bentuk, memberikan gambaran atau bentuk pada sesuatu yang berbeza dengan lainnya. (Al-Khaaliq adalah mengadakan sesuatu yang belum ada asal mulanya atau yang menakdirkan adanya itu. Al-Baari’ ialah mengeluarkannya dari yang sudah ada asalnya, manakala Al-Mushawwir ialah yang memberinya bentuk yang sesuai dengan keadaan dan keperluannya).
14. Al-Ghaffaar: ( الغفار ) Maha Pengampun, banyak pemberian maafNya dan menutupi dosa-dosa dan kesalahan.
15. Al-Qahhaar: ( القهار ) Maha Pemaksa, menggenggam segala sesuatu dalam kekuasaanNya serta memaksa segala makhluk menurut kehendakNya.
16. Al-Wahhaab: ( الوهاب ) Maha Pemberi / Maha Menganugerah, iaitu memberi banyak kenikmatan dan selalu memberi kurnia.
17. Ar-Razzaaq: ( الرزاق ) Maha Pengrezeki / Maha Pemberi Rezeki, iaitu memberi berbagai rezeki serta membuat juga sebab-sebab diperolehnya.
18. Al-Fattaah: ( الفتاح ) Maha Membukakan / Maha Pembuka , iaitu membuka gedung penyimpanan rahmatNya untuk seluruh hambaNya.
19. Al-’Aliim: ( العليم ) Maha Mengetahui, iaitu mengetahui segala yang maujud dan tidak ada satu benda pun yang tertutup oleh penglihatanNya.
20. Al-Qaabidh: ( القابض ) Maha Pencabut / Maha Penyempit Hidup / Maha Pengekang, iaitu mengambil nyawa atau menyempitkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki olehNya.
21. Al-Baasith: ( الباسط ) Maha Meluaskan / Maha Pelapang Hidup / Maha Melimpah Nikmat, iaitu memudahkan terkumpulnya rezeki bagi siapa yang diinginkan olehNya.
22. AI-Khaafidh: ( الخافض ) Maha Menjatuhkan / Maha Menghinakan / Maha Perendah / Pengurang, iaitu terhadap orang yang selayaknya dijatuhkan akibat kelakuannya sendiri dengan memberinya kehinaan, kerendahan dan seksaan.
23. Ar-Raafi’: ( الرافع ) Maha Mengangkat / Maha Peninggi, iaitu terhadap orang yang selayaknya diangkat kedudukannya kerana usahanya yang giat, iaitu termasuk golongan kaum yang bertaqwa.
24. Al-Mu’iz: ( المعز ) Maha Menghormati / Memuliakan / Maha Pemberi Kemuliaan/Kemenangan, iaitu kepada orang yang berpegang teguh pada agamaNya dengan memberinya pentolongan dan kemenangan.
25. Al-Muzil: ( المذل ) Maha Menghina / Pemberi kehinaan, iaitu kepada musuh-musuhNya dan musuh ummat Islam seluruhnya.
26. As-Samii’: ( السميع ) Maha Mendengar.
27. Al-Bashiir: ( البصير ) Maha Melihat.
28. Al-Hakam: ( الحكم ) Maha Menghukum / Maha Mengadili, iaitu sebagai hakim yang menetapkan / memutuskan yang tidak seorang pun dapat menolak keputusanNya, juga tidak seorang pun yang berkuasa merintangi kelangsungan hukumNya itu.
29. Al-’Adl: ( العدل ) Maha Adil. Serta sangat sempurna dalam keadilanNya itu.
30. Al-Lathiif: ( اللطيف ) Maha Menghalusi / Maha Teliti / Maha Lembut serta Halus, iaitu mengetahui segala sesuatu yang samar-samar, pelik-pelik dan kecil-kecil.
31. Al-Khabiir: ( الخبير ) Maha Waspada/  Maha Mengetahui.
32. Al-Haliim: ( الحليم ) Maha Penyabar / Maha Penyantun / Maha Penghamba, iaitu yang tidak tergesa-gesa melakukan kemarahan dan tidak pula gelojoh memberikan siksaan.
33. Al-’Adzhiim: ( العظيم ) Maha Agung, iaitu mencapai puncak tertinggi dan di mercu keagungan kerana bersifat dengan segala macam sifat kebesaran dan kesempunnaan.
34. Al-Ghafuur: ( الغفور ) Maha Pengampun, banyak pengampunanNya kepada hamba-hambaNya.
35. Asy-Syakuur: ( الشكور ) Maha Pembalas / Maha Bersyukur, iaitu memberikan balasan yang banyak sekali atas amalan yang kecil.
36. Al-’Aliy: ( العلي ) Maha Tinggi Martabat-Nya / Maha Tinggi serta Mulia, iaitu mencapai tingkat yang setinggi-tingginya yang tidak mungkin digambarkan oleh akal fikiran sesiapa pun dan tidak dapat difahami oleh otak yang bagaimanapun pandainya.
37. Al-Kabiir: ( الكبير ) Maha Besar, yang kebesaranNya tidak dapat dicapai oleh pancaindera ataupun akal manusia.
38. Al-Hafidz: ( الحفيظ ) Maha Pemelihara Maha Pelindung / Maha Memelihara, iaitu menjaga segala sesuatu jangan sampai rosak dan goyah. Juga menjaga segala amal perbuatan hamba-hambaNya, sehingga tidak akan disia-siakan sedikit pun untuk memberikan balasanNya.
39. Al-Muqiit: ( المقيت ) Maha Pemberi kecukupan/ Maha Pemberi Keperluan , baik yang berupa makanan tubuh ataupun makanan rohani.
40. Al-Hasiib: ( الحسيب ) Maha Penjamin / Maha Mencukupi / Maha Penghitung, iaitu memberikan jaminan kecukupan kepada seluruh bamba-hambaNya pada hari Qiamat.
41. Al-Jaliil: ( الجليل ) Maha Luhur, iaitu yang memiliki sifat-sifat keluhuran kerana kesempurnaan sifat-sifatNya.
42. Al-Kariim: ( الكريم ) Maha Pemurah, iaitu mulia tanpa had dan memberi siapa pun tanpa diminta atau sebagai penggantian dan sesuatu pemberian.
43. Ar-Raqiib: ( الركيب ) Maha Peneliti / Maha Pengawas Maha Waspada, iaitu yang mengamat-amati gerak-geri segala sesuatu dan mengawasinya.
44. Al-Mujiib: ( المجيب ) Maha Mengabulkan, iaitu yang memenuhi permohonan siapa saja yang berdoa padaNya.
45. Al-Waasi’: ( الواسع ) Maha Luas Pemberian-Nya , iaitu kerahmatanNya merata kepada segala yang maujud dan luas pula ilmuNya terhadap segala sesuatu.
46. Al-Hakiim: ( الحكيم ) Maha Bijaksana, iaitu memiliki kebijaksanaan yang tertinggi kesempurnaan ilmuNya serta kerapiannya dalam membuat segala sesuatu.
47. Al-Waduud: ( الودود ) Maha Pencinta / Maha Menyayangi, iaitu yang menginginkan segala kebaikan untuk seluruh hambaNya dan juga berbuat baik pada mereka itu dalam segala hal dan keadaan.
48. Al-Majiid: ( المجيد ) Maha Mulia, iaitu yang mencapai tingkat teratas dalam hal kemuliaan dan keutamaan.
49. Al-Ba’ithu: ( الباعث ) Maha Membangkitkan, iaitu membangkitkan semangat dan kemahuan, juga membangkitkan para Rasul dan orang-orang yang telah mati dari kubur masing-masing nanti setelah tibanya hari Qiamat.
50. Asy-Syahiid: ( الشهيد ) Maha Menyaksikan / Maha Mengetahui keadaan semua makhluk.
51.  Al-Haq: ( الحق ) Maha Haq / Maha Benar yang kekal dan tidak akan berubah sedikit pun.
52. Al-Wakiil: ( الوكيل ) Maha Pentadbir / Maha Berserah / Maha Memelihara penyerahan, yakni memelihara semua urusan hamba-hambaNya dan apa-apa yang menjadi keperluan mereka itu.
53. Al-Qawiy: ( القوى ) Maha Kuat / Maha Memiliki Kekuatan , iaitu yang memiliki kekuasaan yang sesempurnanya.
54. Al-Matiin: ( المتين ) Maha Teguh / Maha Kukuh atau Perkasa / Maha Sempurna Kekuatan-Nya , iaitu memiliki keperkasaan yang sudah sampai di puncaknya.
55. Al-Waliy: ( الولى ) Maha Melindungi, iaitu melindungi serta mengaturkan semua kepentingan makhlukNya kerana kecintaanNya yang amat sangat dan pemberian pertolonganNya yang tidak terbatas pada keperluan mereka.
56. Al-Hamiid: ( الحميد ) Maha Terpuji, yang memang sudah selayaknya untuk memperoleh pujian dan sanjungan.
57. Al-Muhshii: ( المحصى ) Maha Menghitung  / Maha Penghitung, iaitu yang tiada satu pun tertutup dari pandanganNya dan semua amalan diperhitungkan sebagaimana wajarnya.
58. Al-Mubdi’: ( المبدئ ) Maha Memulai/Pemula / Maha Pencipta dari Asal, iaitu yang melahirkan sesuatu yang asalnya tidak ada dan belum maujud.
59. Al-Mu’iid: ( المعيد ) Maha Mengulangi / Maha Mengembalikan dan Memulihkan, iaitu menumbuhkan kembali setelah lenyapnya atau setelah rosaknya.
60. Al-Muhyii: ( المحي ) Maha Menghidupkan, iaitu memberikan daya kehidupan pada setiap sesuatu yang berhak hidup.
61. Al-Mumiit: ( المميت ) Maha Mematikan, iaitu mengambil kehidupan (roh) dari apa-apa yang hidup.
62. Al-Hay: ( الحي ) Maha Hidup, iaitu sentiasa kekal hidupNya itu.
63. Al-Qayyuum: ( القيوم ) Maha Berdiri Dengan Sendiri-Nya , iaitu baik ZatNya, SifatNya, Af’alNya. Juga membuat berdirinya apa-apa yang selain Dia. DenganNya pula berdirinya langit dan bumi ini.
64. Al-Waajid: ( الواجد ) Maha Penemu / Maha Menemukan, iaitu dapat menemukan apa saja yang diinginkan olehNya, maka tidak berkehendakkan pada suatu apa pun kerana sifat kayaNya yang secara mutlak.
65. Al-Maajid: ( الماجد ) Maha Mulia, (sama dengan no. 48 yang berbeda hanyalah tulisannya dalam bahasa Arab, Ejaan sebenarnya no. 48 Al-Majiid, sedang no. 65 A1-Maajid).
66. Al-Waahid: ( الواحد ) Maha Esa.
67. Al-Ahad: ( الأحد ) Maha Tunggal.
68. Ash-Shamad: ( الصمد ) Maha Diperlukan / Maha Diminta / Yang Menjadi Tumpuan, iaitu selalu menjadi tujuan dan harapan orang di waktu ada hajat keperluan.
69. Al-Qaadir: ( القادر ) Maha Berkuasa/ Maha Kuasa / Maha Berupaya
70. Al-Muqtadir: ( المقتدر ) Maha Menentukan.
71. Al-Muqaddim: ( المقدم ) Maha Mendahulukan / Maha Menyegera, iaitu mendahulukan sebahagian benda dari yang lainnya dalam mewujudnya, atau dalam kemuliaannya, selisih waktu atau tempatnya.
72. Al-Muakhkhir: ( المؤخر ) Maha Menangguhkan / Maha Mengakhirkan / Maha Membelakangkan / Maha Melambat-lambatkan., iaitu melewatkan sebahagian sesuatu dari yang lainnya.
73. Al-Awwal: ( الأول ) Maha Pemulaan  / Maha Pertama, iaitu terdahulu sekali dari semua yang maujud.
74. Al-Aakhir: ( الآخر ) Maha Penghabisan / Yang Akhir, iaitu kekal terus setelah habisnya segala sesuatu yang maujud.
75. Azh-Zhaahir: ( الظاهر ) Maha Zahir / Maha Nyata / Maha Menyatakan, iaitu menyatakan dan menampakkan kewujudanNya itu dengan bukti-bukti dan tanda-tanda ciptaanNya
76. Al-Baathin: ( الباطن ) Maha Tersembunyi, iaitu tidak dapat dimaklumi ZatNya, sehingga tidak seorang pun dapat mengenal ZatNya itu.
77. Al-Waalii: ( الوالى ) Maha Menguasai / Maha Menguasai Urusan / Yang Maha Memerintah, iaitu menggenggam segala sesuatu dalam kekuasaanNya dan menjadi milikNya.
78. Al-Muta’aalii: ( المتعال ) Maha Suci/Tinggi , iaitu terpelihara dari segala kekurangan dan kerendahan.
79. Al-Bar: ( البار ) Maha Dermawan / Maha Bagus (Sumber Segala Kelebihan) / Yang banyak membuat kebajikan, iaitu banyak kebaikanNya dan besar kenikmatan yang dilimpahkanNya.
80. At-Tawwaab: ( التواب ) Maha Penerima Taubat, iaitu memberikan pertolongan kepada orang-orang yang melakukan maksiat untuk bertaubat lalu Allah akan menerimanya.
81. Al-Muntaqim: ( المنتقم ) Maha Penyiksa / Yang Maha Menghukum, kepada mereka yang bersalah dan orang yang berhak untuk memperoleh siksaNya.
82. Al-’Afuw: ( العفو ) Maha Pemaaf / Yang Maha Pengampun, menghapuskan kesalahan orang yang suka kembali untuk meminta maaf padaNya.
83. Ar-Rauuf: ( الرؤف ) Maha Pengasih / Maha Mengasihi, banyak kerahmatan dan kasih sayangNya.
84. Maalikul Mulk: ( المالك الملك ) Maha Pemilik Kekuasaan  / Maha Menguasai kerajaan / Pemilik Kedaulatan Yang Kekal, maka segala perkara yang berlaku di alam semesta, langit, bumi dan sekitarnya serta yang di alam semesta itu semuanya sesuai dengan kehendak dan iradatNya.
85. Zul-Jalaali Wal Ikraam: ( ذوالجلال والإكرام ) Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan  / Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan. Juga Zat yang mempunyai keutamaan dan kesempurnaan, pemberi kurnia dan kenikmatan yang amat banyak dan melimpah ruah.
86. Al-Muqsith: ( المقسط ) Maha Mengadili / Maha Saksama, iaitu memberikan kemenangan pada orang-orang yang teraniaya dari tindakan orang-orang yang menganiaya dengan keadilanNya.
87. Al-Jaami’: ( الجامع ) Maha Mengumpulkan / Maha Pengumpul, iaitu mengumpulkan berbagai hakikat yang telah bercerai-berai dan juga mengumpulkan seluruh umat manusia pada hari pembalasan.
88. Al-Ghaniy: ( الغنى ) Maha Kaya Raya / Maha Kaya serta Serba Lengkap, iaitu tidak berkehendakkan apa juapun dari yang selain ZatNya sendiri, tetapi yang selainNya itu amat mengharapkan padaNya.
89. Al-Mughnii: ( المغنى ) Maha Pemberi kekayaan / Maha Mengkayakan dan Memakmurkan, iaitu memberikan kelebihan yang berupa kekayaan yang berlimpah-ruah kepada siapa saja yang dikehendaki dari golongan hamba-hambaNya.
90. Al-Maani’: ( المانع ) Maha Membela atau Maha Menolak / Maha Pencegah, iaitu membela hamba-hambaNya yang soleh dan menolak sebab-sebab yang menyebabkan kerosakan.
91. Adh-Dhaar: ( الضار ) Maha Mendatangkan Mudharat / Maha Pembuat Bahaya  / Maha Pemberi bahaya, iaitu dengan menurunkan seksa-seksaNya kepada musuh-musuhNya
92. An-Naafi’: ( النافع ) Maha Pemberi Manfaat , iaitu meluaslah kebaikan yang dikurniakanNya itu kepada semua hamba, masyarakat dan negeri.
93. An-Nuur: ( النور ) Maha Pemberi Cahaya  / Maha Bercahaya, iaitu menonjokan ZatNya sendiri dan menampakkan untuk yang selainNya dengan menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya.
94. Al-Haadi: ( الهادى ) Maha Pemberi Petunjuk / Yang Memimpin dan Memberi Pertunjuk, iaitu memberikan jalan yang benar kepada segala sesuatu agar berterusan adanya dan terjaga kehidupannya.
95. Al-Badii’: ( البديع ) Maha Indah / Tiada Bandingan  / Maha Pencipta yang baru, sehingga tidak ada contoh dan yang menyamai sebelum keluarnya ciptaanNya itu.
96. Al-Baaqi: ( الباقع ) Maha Kekal, iaitu kekal hidupNya untuk selama-Iamanya
97. Al-Waarits: ( الوارث ) Maha Membahagi / Maha Mewarisi  / Maha Pewaris, iaitu kekal setelah musnahnya seluruh makhluk.
98. Ar-Rasyiid: ( الرشيد ) Maha Cendekiawan / Maha Pandai / Bijaksana / Maha Memimpin, iaitu yang memimpin kepada kebenaran, iaitu memberi penerangan dan panduan pada seluruh hambaNya dan segala peraturanNya itu berjalan mengikut ketentuan yang digariskan oleh kebijaksanaan dan kecendekiawanNya.
99. Ash-Shabuur: ( الصبور ) Maha Penyabar yang tidak tergesa-gesa memberikan seksaan dan tidak juga cepat melaksanakan sesuatu sebelum masanya.
.Sumber Dari shafiqolbu

Friday, January 11, 2013

PERKARA SUNAT DILAKUKAN HARI JUMAAT



1. MANDI

Bagi kita di Malaysia dan penduduk negara lain yang mempunyai cuaca serupa, mandi ialah suatu rutin hidup. Namun, mandi boleh menjadi amal soleh jika kita meniatkannya semata-mata kerana Alah s.w.t. Contohnya ialah mandi pada hari Jumaat dengan maksud mematuhi galakan Rasulullah s.a.w.

Sabda baginda yang bermaksud, 
"Apabila datang kepada kamu hari Jumaat, maka mandilah." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).


2. Menghias dan Pakai Wangi-Wangian 

Menghias diri, memakai pakaian yang baik dan memakai wangi-wangian Hari Jumaat umpama hari raya untuk minggu tersebut. Justeru, kita disunatkan menghias diri dengan kadar yang dibenarkan oleh syarak dengan memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian. 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang telah ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Sekiranya kita mampu pakailah baju berwarna putih pada hari Jumaat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, 
"Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya ia adalah pakaian kamu yang paling baik dan kafankanlah orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu dengannya."


3. Memotong Kuku

Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan. 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, 
"Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai." 
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama. Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.


4. Membaca Surah al-Kahfi

Sunat membaca Surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat. 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, 
"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan." 
(Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Sabda Rasulullah s.a.w lain yang bermaksud, 
"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antaranya dan Baitul `Atiq." 
(Riwayat Al-Baihaqi)

5. Memperbanyak Doa

Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita, di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita. Sehubungan itu, kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t untuk menghadapi segala ujian ini. Antaranya dengan cara berdoa.

Kita digalakkan untuk banyak berdoa, apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa. Di antara hadis Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini ialah 

Sabda baginda yang bermaksud, 
"Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat." 
(Riwayat Muslim).

6. Berselawat 

Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Pada hari Jumaat, kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Sabda baginda yang bermaksud, 
"Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku."" 
Related Posts with Thumbnails