Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Tuesday, June 26, 2012

Kasih ibu sepanjang hayat, kasih ayah semasa ada



Pepatah mengatakan, "Kasih ibu sepanjang hayat, kasih ayah semasa ada." Setiap insan dilahirkan melalui rahim ibu. Mengenang jasa ibu bapa adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap anak. Jasa ibu bapa tidak dapat dibalas walau dengan menggunakan semua harta yang ada. Sesungguhnya kasih sayang mereka sudah terserlah daripada janin di dalam kandungan lagi. Anak-anak semestinya menerima dan mengenang semula kasih sayang yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada mereka. Semua kekayaan yang kita miliki ini tidak sama nilainya dengan satu titisan air susu ibu

Redha Allah adalah terletak pada redha ibu bapa kita. 

 Kalau ibu bapa kita marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya susahlah hidup kita. Bukan hanya di dunia jer tak selamat (tiada keberkatan), malah lebih teruk nasib kita di akhirat nanti.


Oleh yang demikian kami menyeru kepada anda semua agar taati dan jaga lah kedua ibu bapa anda sebaik mungkin. Sementara mereka masih hidup ini, cubalah berbakti kepada mereka seberapa banyak yang boleh.

Sebenarnya banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata malah, ianya merangkumi elemen spiritual dan hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan oleh setiap insan bernama ANAK. Apatah lagi jika ibu bapa anda semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Berikut ini dikongsikan 10 bakti @ kebaikan yang boleh anda lakukan untuk ibu bapa anda:
  • (1.) Menghulurkan bantuan kewangan @ material
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
  • (2.) Menyediakan tempat tinggal
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
  • (3.) Memberi kasih sayang
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud:

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil. (Surah al-Isra, ayat 24)
  • (4.) Memberi perhatian
Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.
  • (5.) Memenuhi permintaan
Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya..
Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata:

Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?, tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi? Jawab Baginda: Berjihad pada jalan Allah.
  • (6.) Melakukan apa yang disukai
Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud ;

Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud:

Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
  • (7.) Bercakap dengan lemah lembut
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka..
Firman Allah bermaksud:

Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
  • (8.) Menghadiahkan kejayaan
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu..
  • (9.) Meluangkan masa bersama-sama
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
  • (10.) Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud:

Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya..
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.Jangan menyesal di kemudian hari.

Friday, June 22, 2012

MENGENALI BULAN SYAABAN & MALAM NISFU SYAABAN


Bulan Syaaban muncul lagi. Syaaban menandakan umat Islam semakin menghampiri Ramadhan. Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan Malam nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan Syaaban, dan terutamanya pada malam kelima belasnya. Sebelum itu, marilah kita sama-sama mendalami dan mengenali sedikit sebanyak info tentang bulan Syaaban ini.



PENGERTIAN SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)



MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
 
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: 

“Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

 Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :

Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.

Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. 

“Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).


FADHILAT BULAN SYAABAN

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
  • Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
 
  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:

 "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.

Sabda Nabi s.a.w.: Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.

 
PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN

Mengenali bulan Syaaban tanpa mengetahui peristiwa penting yang berlaku di bulan Syaaban terasa tidak lengkap. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Syaaban. Antaranya ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat, dan peperangan bani Mustaliq.

Wednesday, June 20, 2012

PERSEDIAAN UMAT ISLAM MENJELANG RAMADHAN



Realitinya, apabila sesuatu tempat atau sesuatu majlis bakal dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin, selebriti, artis terkenal atau orang kenamaan adalah menjadi kelaziman kita bertungkus lumus membuat perancangan dan persediaan rapi. Kita sedaya upaya mengelak daripada berlakunya kekurangan dan cacat cela semata-mata meraikan kehadirannya.


Mungkin kita alpa dan leka, kedatangan bulan Ramadhan adalah seperti bulan-bulan biasa, tidak diendahkan bahkan ada yang merasakan kedatangannya memeritkan kerana terpaksa menahan diri dari lapar dan dahaga.


Anehnya wahai manusia, belum bermula Ramadhan sudah berkira-kira untuk membuat persediaan menyambut Syawal. Langsir sudah ditempah, rumah mungkin sudah dicat baru, perabot diganti baru. Tidak ketinggalan mereka yang sudah berkira-kira menerima tempahan kuih raya. Media elektronik pula sibuk dengan persediaan drama syawal, dan rakaman lagu sempena hari raya.  Alangkah bertuahnya sekiranya  persiapan yang sebegini rapi kita  lakukan sempena menyambut ketibaan Ramadhan yang dinanti-nantikan.








Yang Bermaksud:  Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).                         ( HR. Ahmad )


Jika dihayati mafhum hadith, mana mungkin seseorang yang tinggi keimanannya tidak bergembira dengan  berita akan tibanya satu bulan  yang dibuka padanya seluruh pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka. Beginilah keadaanya Rasulullah dan para sahabat yang ternanti-nanti bahkan rindu dengan kehadiran Ramadhan sehingga Baginda Rasulullah SAW mula membuat persedian menyambut Ramadhan seawal bulan Syaaban.


Baginda Rasulullah SAW seorang yang sering malaksanakan ibadah puasa sunat dan baginda tidak dilihat memperbanyakkan ibadah puasa melainkan  pada bulan syaaban.


Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadith Riwayat Bukhori )


Hikmah perbuatan rasulullah yang memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban boleh dikiaskan kepada kita sebagai  suatu bentuk sesi  latihan untuk menghadapi sebulan berpuasa. Bayangkan dengan amalan puasa sunat yang jarang-jarang atau tidak pernah  kita lakukan, secara tiba-tiba kita terus berpuasa selama sebulan mungkin memberi kesan tahap kesempurnaan ibadah dan juga kesihatan tubuh badan.   Ibn Rajab di dalam kitabnya Latoif al-Ma’a rif menyebut: Sesungguhnya puasa bulan Syaaban merupakan latihan sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan ,agar apabila telah masuk Ramadhan seseorang itu tidak merasa beban dan kesukaran. Selain daripada itu ia akan menjadikan orang yang berpuasa pada bulan Syaaban dapat merasai nikmat dan kelazatan berpuasa seterusnya apabila masuknya Ramadhan berpuasa dalam keadaan kuat dan cergas.


Antara amalan yang boleh dimulakan seawal mungkin ialah  membaca al-Quran. Anas bin Malik sahabat Baginda SAW berkata: Apabila masuk bulan Syaaban, Umat Islam pada ketika itu menumpukan sepenuh perhatian membaca al-Quran. Berkata seorang ahli Salaf: Bulan Syaaban adalah bulan pembaca-pembaca al-Quran, Sesiapa yang istiqamah dan dapat memelihara amalan membaca al-Quran sebelum Ramadhan nescaya dia dapat memeliharanya sehingga bulan Ramadhan.


Pernah diceritakan, seorang muslim yang sudah lama meninggalkan bacaan al-Quran merasa terlalu berat dan malas untuk membaca walaupun baru membaca beberapa potong ayat.. Maka dia dinasihatkan agar terus-menerus membaca al-Quran. Apabila dia telah membaca sekitar 2/3 al-Quran, perasaan malas dan berat itu hilang sebaliknya dia semakin minat untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Keadaan inilah yang biasa berlaku kepada mereka yang jarang dan lalai membacanya. Oleh yang demikian memperbanyakkan  membaca al-Quran di bulan Syaaban mampu menjernihkan hati sehingga hati dipenuhi dengan cahaya dan memudahkan jiwa untuk tunduk melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.

Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang ramadhan. Antara yang lain ialah:


1) Persediaan ilmu agama.

Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan  mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa.  Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.


2) Persediaan kesihatan.

Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya.

Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.



3) Persediaan  dari sudut kewangan.

Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:









“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari)


Mereka yang jarang-jarang  bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur.


Bagi mendapat kelebihan  bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah  pada bulan-bulan  lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan  dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.



4) Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.

Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan  sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Dunia Bola Sepak. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut  kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.

Tuesday, June 19, 2012

KESILAPAN UMAT ISLAM PADA HARI JUMAAT



Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan  ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki  dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. . Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus   yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:

Yang Bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).

Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat  Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli  dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua.
( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya  aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.

Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lau Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.

Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana  terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat.  Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T  memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid  pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid  terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani  kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang.  Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana  azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga:  Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping  mengambil peluang  masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah .  

Monday, June 18, 2012

4 kata-kata Kunci Ketenangan



Kehidupan di dunia ini menjanjikan seribu satu ujian yang mencabar kekuatan diri. Kata bijak pandai, bukanlah masalah itu sudah menjadi mudah, namun anda telah menjadi semakin kuat. Begitulah hikmahnya Allah menurunkan ujian demi ujian kerana dengannya, manusia akan kembali mengingatkan Tuhan yang menciptakannya dan memohon dipinjamkan kekuatan daripada-Nya Yang Maha Kuat.

Namun, kita ini tetap manusia yang punya hati budi dan perasaan. Setiap kali ujian, kita pasti merasa kegusaran. Seorang ulama Sufi di zaman tabi'in, Imam Hasan al-Basri menunjukkan kita jalan ketenangan dengan berpesan. Empat kata-kata yang merupakan kunci meraih ketenangan ialah:

1. "Aku tahu bahawa rezekiku tidak akan jatuh ke tangan orang lain, maka hatiku menjadi tenang."

Kata-kata ini membawa kefahaman kepada kita bahawa manusia yang faham benar konsep rezeki pasti tidak akan mengorbankan masa untuk persediaan akhiratnya demi kepentingan duniawinya. Mana mungkin ditinggalkan solatnya walau satu waktu, hanya kerana ribuan ringgit. Mana mungkin diabaikan pahala menjaga ibu yang tua kerana kepentingan lain. Mana mungkin ditinggalkan ibu tuanya yang memakai pampers dengan linangan air mata, semata-mata untuk menjadi si kaya dengan merantau ke bumi lain, sedangkan pendapatannya hari ini sudah lebih daripada cukup.

2. "Aku tahu bahawa tugasku (sebagai hamba) tidak akan dikerjakan orang lain, maka aku sibukkan diriku dengannya."

Sahabat-sahabat yang kucinta kerana Allah,
Jika kita ditugaskan untuk solat lima waktu, maka kewajipan itu ke atas diri kita. Tidak diterima solat orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menunaikan solat. Jika kita dibebani dengan kewajipan menutup aurat, maka tidak diterima dari orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menutup aurat. Jika kita sebagai suami yang membiarkan anak isteri tanpa makanan kerana kelalaian, lalu ada insan yang bersimpati menghulurkan bantuan, kewajipan kita tetap tidak terangkat. Kita adalah pendosa kerana mengabaikan kewajipan yang telah diamanahkan.

3. "Aku yakin Allah memerhatikanku, lalu aku malu untuk menjatuhkan diriku ke dalam dosa."

Allahu Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:



Sahabat-sahabat yang dikasihi, sekiranya anda menjadi seorang imam solat (waktu mengadap Tuhan) adakah anda sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak sopan? 
Sudah tentu tidak. Tetapi mengapa?

Kerana anda yakin bahawa ada mata yang memandang anda di belakang. Mata para makmum yang berkomunikasi baik dengan lidah mereka sehingga kejelikan akhlak anda cepat tersebar. Jika diikutkan, anda tidak mampu melihat ke belakang, bahkan anda juga tidak tahu apakah makmun tadi benar-benar melihat anda, anda juga tidak tahu adakah makmun tadi masih bersama atau sudah mufaraqah dari anda, tetapi lihatlah, betapa keyakinan anda sudah memadai untuk menjadikan anda imam yang penuh kesopanan.

Cuba kita bayangkan, seandainya kita berkeadaan seperti ini pada setiap ketika iaitu berkeadaan seolah-olah seorang imam yang sentiasa berasa diri diperhatikan, sudah pasti kita akan jauh daripada dosa dan penderhakaan. Sudah pasti, kita akan semakin hampir dengan Allah dan merasakan ketenangan hati.

4. "Aku tahu ajal itu pasti datang, maka aku selalu bersiap-siap menantinya."

Imam al-Suyuti dalam kitabnya Sharh al-Sudur bi Sharh hal al-Mawta wa al-Qubur menukilkan kata sahabat Nabi Abu Darda' R.A tentang ajal kematian:





Related Posts with Thumbnails