Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Thursday, September 30, 2010

Nasihat Abu Bakar R.A


Abu Bakar pernah berkhutbah, ia berkata:

aku wasiatkan agar kalian bertaqwa kepada Allah, kerana keperluan dan kebergantungan kalian padaNya. Dan hendaklah kalian memujiNya, kerana Dia adalah pemilik segala pujian. Serta hendaklah kalian memohon ampun padaNya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.”

Ketahuilah sesungguhnya selama kalian ikhlas (beribadah) untuk Allah ta’ala, maka engkau akan ta’at kepada Allah dan menjaga hak-hakNya keatasmu.

Tunaikanlah sedekah kalian pada saat kalian diberi kemampuan untuk itu. Dan jadilah ia sebagai keutamaan bagi kalian. Maka kalian akan mendapatkan gantinya yang setimpal pada saat kalian fakir dan memerlukan.

Kemudian fikirkan lah wahai hamba-hamba Allah, tentang orang-orang sebelum kalian, kemana mereka kelmarin? Dan dimanakah mereka sekarang? Dimanakah raja-raja meninggalkan bekas di muka bumi dan memerintahnya? Mereka telah melupakanNya dan mereka pun dilupakan. Dan mereka sekarang tidak ada gunanya, sebagaimana firman Allah :

“Maka itulah rumah-rumah mereka dalam keadaan runtuh disebabkan kezaliman mereka” (An-Naml:52)

Dan mereka berada dalam kegelapan liang lahat,sebagaimana firmanNya:

“adakah kamu melihat seorang pun dari meraka atau kamu mendengar suara mereka yang samar-samar” (Maryam:98)

Dimanakah saudara-saudara dan sahabat-sahabat yang kalian kenal? Sungguh mereka telah mendatangi apa yang mereka tuju, baik mereka nanti akan mendapat kesengsaraan atau kebahagiaan. Sesungguhnya Allah tidak mempunyai hubungan dengan hambaNya yang Ia berikan kebaikan dan menjauhkannya dari keburukan, kecuali kerana ketaatan dan kepatuhannya semata. Sesungguhnya tidak ada kebaikan pada kebaikan yang akhirnya adalah neraka. Dan tidak ada pada kejelekan pada kejelekan yang akhirnya adalah surga. Sekian yang aku sampaikan, dan aku memohon ampun kepada Allah untuk diriku dan kalian semua”

Janganlah Kalian Bangga Diri

Dalam khutbahnya Abu Bakar r.a. pernah berkata:

Amma ba’du.. wahai manusia aku wasiatkan agar kalian bertaqwa kepada Allah Yang Maha Agung, dalam setiap urusan dan dalam berbagai keadaan. Dan agar kalian berpegang pada kebenaran baik dalam hal yang engkau suka mahupun yang engkau benci.

Sesungguhnya tidak ada kebaikan selain kejujuran dalam ucapan. Barangsiapa yang berdusta, mak dia telah berbuat dosa, dan barangsiapa yang berbuat dosa maka ia akan hancur.

Dan janganlah kalian bangga diri, apa yang bisa dibanggakan dari makhluk yang tercipta dari tanah, dan akan kembali ke tanah juga. Sekarang ia hidup dan esok akan mati. Ketahuilah dan persiapkanlah dirimu menghadapi kematian. Dan apa yang susah engkau pecahkan, kembalikanlah pada Allah. Hantarlah diri kalian kepada kebaikan, nescaya kalian akan mendapatkan balasannya. Sesungguhnya Allah berfirman:

“Pada hari ketika tiap-tiap orang mendapati segala amal kebajikannya berada di hadapannya. Begitu juga amal keburukan yang ia kerjakan, ia berharap seandainya antara dirinya dan hari tersebut ada jarak yang sangat jauh. Dan Allah memperingatkan kalian terhadap diriNya. Dan sangat penyayang kepada hamba-hambaNya” (Ali Imran:30)

Maka bertaqwalah kalian wahai hamba-hamba Allah…sedarilah bahawa Allah selalu mengawasi kita. Dan ambillah pelajaran dari orang –orang sebelum kalian. Ketahuilah bahawa pertemuanmu dengan Rabbmu dan balasan atas segala amalmu adalah suatu kepastian, baik yang kecil maupun yang besar , kecuali apa yang diampuni olehNya, sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kalian bertanggungjawab atas diri kalian, dan aku memohon pertolongan kepada Allah, tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolonganNya”


Monday, September 27, 2010

Mengumpat: Seperti Makan Daging Saudara Sendiri!




Dalam hidup seharian, kita takkan lari dari terlibat dari aktiviti mulut ini..

Mengumpat bukan sahaja sinonim dikalangan perempuan.. dikalangan lelaki pun apa kurangnya?

Maaf kaum lelaki, inilah kebenaran.

Tapi cuba kita renungkan bersama.. Kalau kita mampu elakkan diri dari mengumpat, tapi mendengar umpatan orang pula lebih kurang sama dosa dengan mengumpat...

Makna mengumpat tu seperti umumnya yang kita tahu.. bila kita mengata tentang sesuatu yang buruk .. dibelakang hamba Allah tu.

Dan bila dia tahu dia tentu marah atau kecil hati.. Dah nama pun mengumpat,tentu la berkongsi sesuatu yang tak baik kan?

Kadang-kadang kita tak nak terlibat dalam aktiviti senaman mulut kurang sihat ni, tapi cerita.. orang kata kalau tak mengumpat ni macam masakan tiada rasa..macam garam dan gula pula.. tapi kita sedar tak, perencah ni memang mahal dan terlaris sebab nak mengumpat ni dosa besar.

Dalam Islam,mengumpat ni seperti makan daging saudara seislam sendiri. MasyaAllah, sampai begitu sekali perumpamaan aktiviti senaman mulut ni!

Walaubagaimanapun pun, kita adalah hambaNya yang lemah. Itulah pentingnya kita saling ingat mengingatkan, bukan nak buruk-memburukkan.

Kalau keburukan diri dapat diterima dan cuba dikikis sebaiknya, siapakah kita untuk menilai keburukan orang lain?

Fokus kembali pada tips-tips nak elakkan mengumpat/sesi mengata ni..

01.Bila berkumpul dengan kawan-kawan..

dan bila rakan dah mula filem umpat dengan watak yang bertambah-tambah dan siap letakkan jiwa dan emosi lagi.

Masa tu, kalau dah bersama, mesti susah nak elak dari bubuh skrip tambahan.

Dinasihatkan masa ni la kita banyak-banyak Ingat Allah.

Sedar yang kita ni pun sama taraf dengan orang yang diumpat tu iaitu Hamba Allah.

Masing-masing ada kekurangan. Cepat-cepat istighfar, sambil tu tegurlah kawan sama.. Kalau tak dapat juga, sebaiknya kita pergi dari situasi ni.

02.Bila yang nak jadi moderator 'umpat2' tu kawan baik kita sendiri..

Apa kata kita ajak dia berbual tentang keburukan diri masing-masing?

Bila kita bercerita tentang baik buruk diri kita ni.. sekurang-kurangnya kita pun sedar banyak juga kekurangan kita.

Tak payah lah cerita semuanya, tapi cuba fikir.. rasanya kalau nak senaraikan pun mesti lebih tiga, lebih dari sepuluh? dua puluh?.. jadi layakkah kita nak bagi senarai keburukan orang, sedangkan senarai keburukan kita sendiri pun dah lebih dari sebakul.

03.Bila yang nak ajak mengumpat tu orang senior dari kita..

tentu payah benar nak buat sesi teguran kan?

Apa kata kalau tak dapat nak elak pun.

Sambil dia lafaz bait-bait mengata tu, kita pula sambung setiap ayat umpatan tu dengan doa.

Doakan sesiapa yang diumpat dengan ikhlas, supaya Seni0r kita tu pun sedar dengan sendirinya. InsyaAllah!

04.Bila terasa sakit hati dengan seseorang hamba Allah tu..

dan terasa nak cari kawan nak buka forum mengumpat, jom ambil wudhu secara Tertib.

Masa nak kumur-kumur tu, bacalah doa. Minta dipelihara lidah ni dari perbuatan yang memberi dosa.. InsyaAllah.

Semoga dengan itu, segala niat buruk tu terbatal sendiri.

05.Kalau kita selalu terlupa tentangNya, apa lagi bila tengah cerita panas atau gosip liar.

Masa ni nak istighfar pun berat sekali nak buat. Apa lagi nak muhasabah diri yang dah rebah kan?

Jadi.. sumbatkan lah telinga anda dengan lagu-lagu atau sebaiknya.. dengar bacaan alQuran ke.. nasyid ke.

Ini lebih baik dari bibir tu mengata hal-hal tepi kain orang.

Sedangkan tepi kain sendiri entah masih elok atau tak.. dah koyak ke.. atau tersangkut kat mana-mana..

Sebab tu kita ada dua telinga.. sebagai perumpamaan kita kena mendengar dua kali dulu sebelum bercakap sesuatu..

06.Bila nak mengata orang tu.. cuba bayangkan kita berada di tempat orang yang dikutuk tu.. agak-agaknya boleh tak jadi seperti Khalifah atau nabi terdahulu..

Bila diumpat, boleh pula beri hadiah.. siap doakan orang tu dirahmati Allah SWT.

Agaknya kita antara golongan yang bila tahu ada orang cakap belakang tentu rasa nak bagi penumbuk sulung pada orang berkenaan, paling tidak pun.. mengutuk dan buat la ayat makian paling pedas untuk dia.

Cuba kita ubah sedikit perspektif pemikiran kita.. bila kita diumpat, tu bermakna ada orang ambil berat,ada orang cuba nak beri ingat.. ada yang nak bagi pendapat.

Supaya dengan Tuhan kita terasa dekat.

Ujian tu taklah seberat kutukan yang nabi pernah terima dahulu kan...

07.Terakhir, minum air banyak-banyak..dimulakan dengan selawat dan bacaan basmallah.

Semoga dengan nikmat air tu, kita akan ringan untuk memujinya.

Banyak lagi tips yang ada.. tapi semuanya bergantung pada niat.

Niat untuk pelihara diri dan jaga ukhwah sesama saudara.

Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur.. setiap yang bersyukur akan sentiasa ingat yang memberi.

Tiada unsur nak sindir sesiapa cuma sekadar memberi peringatan buat diri sendiri dan pembaca yang sudi baca..

Thursday, September 23, 2010




Antara isi/kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah SAW – disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.


“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3)Ayat Terakhir yang diwahyukan Allah SWT ke atas Baginda Rasulullah SAW tidak lama selepas Khutbah Wida’


Wednesday, September 22, 2010

Remaja Muslim perlu bina jati diri

REMAJA adalah transisi usia antara kanak-kanak dan dewasa. Mereka adalah pewaris masa depan seluruh ummah. Banyak kisah daripada al-Quran dan hadis yang boleh dijiwai oleh remaja untuk diselidiki dan dicontohi. Antaranya kisah Nabi Zulkarnain. Remaja boleh terus meneliti surah al-Kahfi untuk mengetahui ciri kepemimpinan Islam yang dimiliki Nabi Zulkarnain.Namanya saja cukup gah dan hebat untuk kita dapat menilai siapa sebenarnya Zulkarnain. Maksud namanya ialah ‘dia yang mempunyai dua tanduk’ – disebabkan kekuasaannya yang melata dan merentasi benua Barat menjangkau ke Timur.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada Zulkarnain di muka bumi ini dan kami memberikan kepadanya jalan bagi mencapai segala sesuatu.”

Ciri kepemimpinannya yang perlu diteladani.

# Takwa

Kekuatan pola takwa Zulkarnain tidak diganggu-gugat walaupun beliau mampu menundukkan pelosok dunia Timur dan Barat. Zulkarnain tidak mudah lupa diri dan berlagak seperti beraja di mata, bersultan di hati walaupun menguasai dunia. Dia tahu kedudukannya di sisi Allah Maha Pencipta.

Hayati kata-katanya sebelum membina tembok pemisah penghadang Yakjuj dan Makjuj seperti di dalam ayat 95, surah Al Kahfi bermaksud : “Sesungguhnya apa yang dikurniakan Allah kepadaku adalah lebih baik (daripada pemberianmu).”

Begitu juga sikap Zulkarnain yang tidak berganjak atau goyah walaupun selepas menempa kejayaan dalam pembinaan tembok itu, seperti dalam surah sama, ayat 98 bermaksud: “(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar.”

Betapa tingginya darjah takwa yang terpahat di hati dan jiwa Zulkarnain.

# Berwawasan, mempunyai misi dan tujuan hidup yang jelas.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 87 hingga 88, Allah berfirman bermaksud :

“Berkata Zulkarnain, Adapun mereka yang zalim, maka kami akan menyeksanya (yakni menghukumnya dengan tegas), kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya dan Tuhan akan mengazabkannya dengan azab yang dahsyat. Adapun mereka yang beriman dan beramal salih maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan kami akan titahkan kepadanya perintah yang mudah daripada perintah-perintah Kami.”

Berdasarkan ayat ini, wawasannya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta memerangi segala bentuk kekufuran dan kemaksiatan seperti yang digariskan Allah. Sungguhpun Zulkarnain dikurniakan segala keperkasaan dan kebesaran, ia tidak begitu mudah memesongkannya daripada matlamat dan hala tuju wawasan yang terpahat di jiwanya.

Segala kekuasaan yang dimilikinya dianggap sebagai alat atau wasilah yang digunakan sepenuhnya untuk menegakkan kebesaran Allah. Kaedah ini diterapkan secara konsisten dalam setiap wilayah yang berada di bawah sayap taklukannya.

# Bijak menyusun strategi

Setiap perkara untuk mencapai wawasan perlu dirancang dengan rapi. Bukan tindakan yang membuta atau ikut suka-suka. Dalam hal ini, surah al-Khafi mengulangi ayat yang bermaksud berikut: “(Zulkarnain) telah mengikuti satu jalan atau menggunakan pendekatan tertentu.”

Sebanyak tiga kali iaitu di dalam ayat 85, 89 dan 92.

Apakah makna di sebalik penekanan itu?

Ia untuk menegaskan bahawa bagi mendaki tangga kejayaan perlu kepada penyusunan strategi yang rapi, teliti dan halus. Mesti adanya pelan tindakan.

# Berfikiran luas berteraskan pandangan global.

Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir yang menjangkaui tahap global dalam menghadapi globalisasi. Allah menyatakan dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulkarnain) di muka bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.”

Remaja Muslim seboleh mungkin perlu mempunyai ketrampilan ‘glokal’. Jika diselidiki, budaya glokal bermaksud mempunyai daya dan kemampuan bertindak secara bijak pada peringkat setempat dengan mengambil kira ketepatan tuntutan secara global.

Konsep ini sebenarnya menjadi pegangan negara Jepun sejak zaman Maharaja Meiji pada 1876 lagi, khususnya dalam kegiatan pertanian. Asalnya ia dipanggil ‘dochakuka’, istilah berakarumbikan kata kunci dalam bidang pertanian. Konsep ini diperkenalkan untuk amalan tani di negara itu.

Berikutan itu kegiatan pertanian Jepun mengalami perubahan sehingga dapat melahirkan industri dan produk berkualiti yang mampu bersaing di peringkat domestik dan berjaya menembusi pasaran dunia. Justeru, sikap remaja Muslim perlu dicanai sehingga mempunyai jati diri tulen yang akan menyerlahkan kebaikan ciri Islam mereka di kalangan masyarakat tempatan.

# Mahir berkomunikasi.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 93 hingga 94, Allah berfirman: “Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua-dua bukit itu satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Mereka berkata, “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di muka bumi.”

Bayangkan jika seseorang pemimpin itu mampu memahami bahasa satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Betapa hebatnya pemimpin itu? Bermakna, Zulkarnain juga seorang yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi.

Untuk memahami sesuatu, maka seseorang itu mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan yang perlu diambil sebagai ketua. Apatah lagi, kemahiran bertutur dan berpidato, petah berbicara dan pandai berhujah hingga dapat mematahkan tohmahan lawan.

Maka, tidak hairan Zulkarnain dapat menakluki dunia dari ufuk Barat sehinggalah ke Timur.

# Mampu menguasai kecanggihan teknologi terkini.

Kita harus kikiskan budaya’hanya lihat, guna dan tahu paka’ dan menggantikannya dengan budaya mengetahui, mendalami, menyelidiki dan merekacipta sendiri. Sungguh jauh jarak perbezaannya di antara kedua-dua perkara itu.

Budaya berkemahiran sebegini memang dimiliki Zulkarnain dan jelas ditunjukkan di dalam surah al-Kahfi ayat 96 hingga 97 sehingga dapat membina tembok besar untuk membendung kemungkaran Yakjuj dan Makjuj.

“Beliau berkata, Berilah aku potongan-potongan besi. Apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, berkatalah Zulkarnain, Tiuplah (api itu). Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berikan aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkannya ke atas besi panas itu. Maka, mereka tidak mampu untuk mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.”

INTI PATI

# Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir
# Kikis budaya ’hanya lihat, guna dan tahu paka’ sebaliknya dalami, selidik dan merekacipta sendiri
# Seseorang mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan
# Remaja Muslim perlu menguasai kecanggihan teknologi terkini

Monday, September 6, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri




Assalamualaikum...........

Saya ucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin kepada semua..

LORAT MALAYSIA

Kelantan...
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Terengganu...
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung suke

Pahang...
Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor...
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka...
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan...

Masak lomak cili api
Campo dongan ! daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri

(org kolumpo jgn kocik ati!!)

Selangor/K.Lumpur...
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak...
Gulai tempoyak ikan mayong
Deghoyan busok tebok tupei
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampei

Kedah...
Aloq Staq terketaq-ketaq
Lapaq perut makan pau
Macam mana tak ketaq2
Kena paksa bagi angpau

Penang...
Nasi kandaq kedai mamak
Anak mami juai pesemboq
Lepas raya usah dok triak
Kalu ceti mai ikut dapoq

Perlis...
Padang besaq kecik aja
Tempat siam lalu lalang
Hari raya kita berbelanja
Jangan sampai menambah utang

Thursday, September 2, 2010

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI


Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h: “Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h: “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah: “Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w: “Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487. Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak.

Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. . Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: “Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986. Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata: “Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata: “Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata: “Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

  • Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989. Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata: “Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata: “Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata: “Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959. • Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164. Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Wednesday, September 1, 2010

Angan-angan (Kemungkinan) vs Kematian (Kepastian)


Dari Anas r.a., katanya: “Nabi s.a.w. menggariskan beberapa garis, lalu beliau bersabda:

“Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah ajalnya. Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian – yakni angan-angannya masih tetap panjang dan membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah garis yang terpendek – yakni garis yang memotongnya iaitu kematian.”

(Riwayat Bukhari)


Keterangan:

Dalam hadis yang mulia ini, Rasullullah saw menjelaskan tentang lumrah kebanyakan manusia itu sendiri, iaitu terlalu kuat atau tinggi angan-angannya..Kita mampu memasang angan-angan yang kadangkala kita sendiri tidak mampu untuk mencapainya..sedangkan sedar atau tidak kita hanya merancang atau memikirkan tentang sesuatu yang belum pasti… ia hanyalah kemungkinan!

Namun begitu, amat menyedihkan kerana tidak ramai di antara kita yang selalu memikirkan tentang sesuatu yang pasti…iaitu ia pasti menimpa diri kita, mahu atau tidak, rela atau terpaksa, ia akan tetap berlaku tanpa dilambat atau dilewatkan walaupun sesaat..ketahuilah itulah kematian, suatu kepastian!

Bagi seorang hamba yang betul-betul beriman kepada Empunya dirinya, dia akan sentiasa mengingati mati…dan dengan berbuat demikian, maka hidupnya akan sentiasa terarah ke arah itu. Maksudnya, segala perbuatan dan amalan dalam kehidupannya adalah sebagai persiapan untuk menghadapi kematian itu, alangkah beruntungnya!

Di dalam Al-Quran, Allah swt telah menjelaskan tentang kepastian ini dalam begitu banyak surah.. hal ini membuktikan betapa pentingnya hal kematian ini dititik beratkan..hidup di dunia ini hanya sementara dan hanya sekali..maka janganlah sia-siakannya..alangkah ruginya! Ia juga hanyalah medan ujian daripada Allah swt untuk menguji siapakah di antara hambaNya yang betul-betul beriman kepadaNya..

Justeru, marilah kita sama-sama bersegera mengingati kematian, kerana ia sesuatu yang pasti dan akan menjemput kita bila-bila masa..mungkin hari ini, esok, lusa atau bila-bila masa yang sudah ditetapkanNya tanpa kita ketahuinya..

Imam Al-Ghazali menjelaskan, sesungguhnya perkara yang paling dekat dan hampir dengan kita semua, itulah kematian..maka soallah diri sendiri, adakah kita sudah bersedia untuk dijemputNya? Jika jawabnya belum, maka bersegeralah selagi nyawa dikandung badan..selagi jasad belum kaku tanpa roh..selagi belum terlambat..

Sesungguhnya kita milik Allah swt, dan kita akan kembali kepadaNya!

Allah Ta’ala berfirman:

“Setiap jiwa itu akan merasakan kematian. Hanyasanya engkau semua itu akan dicukupkan semua pahalamu nanti pada hari kiamat. Maka barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan dalam syurga, maka orang itu benar-benar memperoleh kebahagiaan. Tidaklah kehidupan dunia ini melainkan hartabenda tipuan belaka.” (ali-lmran: 185)

“Seseorang itu tidak akan mengetahui apa yang akan dikerjakan pada esok harinya dan seseorangpun tidak akan mengetahui pula di bumi mana ia akan mati.” (Luqman: 34)

Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Maka apabila telah tiba waktu ajal mereka, tidaklah mereka itu dapat mengundurkannya barang sesaat dan tidak kuasa pula mendahuluinya.” (an-Nahl: 61)
Related Posts with Thumbnails