Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Thursday, August 26, 2010

Bubur Lambuk Kg. Baru

Resipi turun-temurun serta serta keberkatan air Masjid Jamek Kg. Baru menjadi punca ramai yang ketagih dengan bubur lambuk Kg Baru.


Saban tahun tibanya bulan Ramadhan, Kg. Baru menjadi tumpuan ramai. Semuanya gara-gara bubur lambuknya yang dikatakan cukup istimewa dan berbeza daripada kebanyakan bubur lambuk yang dihasilkan di tempat lain.

Buktinya seawal jam 4 petang, orang ramai telah mula beratur untuk mendapatkan bubur istimewa tersebut walaupun ianya hanya akan diagihkan selepas solat Asar iaitu kira-kira jam 5 petang.

Berkesempatan bertemu dengan ketua tukang masak, Hj. Yon Masron Hj Suradi yang bertanggungjawab menjaga kualiti bubur lambuk yang dihasilkan di Masjid Jamek Kg. Baru baru-baru ini, dia mengakui resipi turun-temurun yang digunakan menjadi punca orang ramai terus 'ketagih' dengan keaslian rasa dan keharuman aroma bubur lambuk Kg. Baru.

"Saya sudah lebih 13 tahun menjadi ketua tukang masak di sini. Resipi yang digunakan untuk menghasilkan bubur lambuk ini masih sama seperti yang digunakan pada tahun 1950. Itulah sebabnya rasanya tidak pernah berubah.

"Antara bahan asas yang wajib ada dalam pembikinan bubur lambuk ini ialah halba, kulit kayu manis, bunga cengkih, jintan putih, buah pelaga dan bunga lawang. Jika salah satu daripada rempah ratus ini tiada, rasanya akan berbeza," ujarnya yang menuntut ilmu tukang masak daripada beberapa orang tukang masak terdahulu yang ditugaskan menghasilkan bubur lambuk Kg. Baru.

Tambahnya, sejak dahulu permintaan terhadap bubur lambuk Kg. Baru tidak pernah susut. Malah sejak kebelakangan ini mereka terpaksa memasak lebih banyak daripada biasa lantaran permintaan yang terlalu tinggi. Ada juga pengunjung yang terlewat untuk berbaris terpaksa 'berputih mata' kerana bubur lambuk Kg. Baru telah habis.

"Kalau dulu kami hanya memasak lebih kurang 11 periuk tetapi kini kami perlu memasak sehingga 15 periuk sehari bagi menampung permintaan orang ramai. Bukan sahaja warga Kuala Lumpur, malah ada juga pengunjung yang datang dari Perlis dan Johor semata-mata untuk merasai kelazatan bubur lambuk Kg. Baru.

"Setiap periuk boleh menghasilkan sehingga 250 bungkus bubur lambuk. Jadi 15 periuk boleh menghasilkan hampir 4,000 bungkus bubur lambuk. Kesemua bubur lambuk itu akan diagihkan dan dalam masa tak sampai setengah jam, kesemua habis. Setiap seorang hanya akan mendapat sebungkus bubur lambuk," ujarnya ceria.

Ditanya apakah keistimewaan serta kehebatan bubur lambuk Kg. Baru sehinggakan begitu digemari, dia menyatakan cara pembuatan yang bersih serta keberkatan air Masjid Jamek Kg. Baru menjadi puncanya.

"Sekarang kami mendapat banyak sumbangan daripada badan korporat, orang persendirian serta syarikat swasta yang sudi menghulurkan bantuan untuk kami terus menghasilkan bubur lambuk dan mengagihkannya secara percuma kepada orang ramai.

"Bubur lambuk ini bukan sahaja dihasilkan pada bulan Ramadhan, sebaliknya jika ada pihak-pihak yang mahu membuat tempahan, ianya boleh dilakukan. Setiap satu periuk dikenakan harga RM450," jelasnya ramah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails