Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Friday, October 1, 2010

Hakikat kita.................


Antara sedar atau tidak, hari demi hari berlalu meninggalkan kita. Dalam kesibukan kita berusaha mencapai yang terbaik dalam kehidupan kita, ada kalanya kita terlupa untuk merenung kembali, siapa kita, mengapa kita di sini dan apa yang sedang kita usahakan.. Ya, mungkin kita semakin mengenali manusia, iaitu kita sendiri secara jasadnya. Kita semakin memahami apa yang sedang berlaku di dalam tubuh badan kita secara fizikalnya. Namun sejauh manakah kita cuba untuk mengenali hakikat kejadian manusia itu sendiri ; siapakah Pencipta kita? Untuk apa sebenarnya kita diciptakan..?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, dalam jutaan manusia, kita telah dipilih olehNya untuk berada di bumi, dengan segala keunikannya. Kita adalah antara insan yang dipilih untuk menikmati suasana musim luruh yang diciptakanNya ; tenang dan mendamaikan..Seolah-olah menyediakan ruang untuk kita duduk sebentar, dan bertanya pada diri, “Apa khabar imanku?” Sesekali memerhatikan daun-daun yang jatuh berguguran ke atas tanah, cuba menyelami apa yang disampaikan oleh Allah pada kita, hambaNya..

“Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada padaNya ; tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahuiNya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata.”

(Al-An’am 6 : 59)

Siapakah DIA Yang Maha Mengetahui itu, hinggakan setiap helaian daun yang berguguran di musim luruh ini berada di dalam pemerhatianNya? Pernahkah kita mengukur sejauh mana pengenalan kita kepadaNya? Cukupkah mengenalNya dengan mengetahui dan menghafal nama-nama dan sifat-sifatNya? Mengetahui dan menghafalnya merupakan sebahagian daripada pengenalan kita kepada Allah akan tetapi ia bukan sekadar itu.. Pengenalan yang sebenar-benarnya, sebagaimana diungkapkan oleh Ibnu Qayyim r.a, adalah pengenalan yang dapat menimbulkan perasaan malu, kecintaan, keterikatan hati, kerinduan, taubat, kedekatan dan hanya berharap kepadaNya. Semakin dikaji dan dikenali, semakin banyak keagungan Allah yang tersingkap, semakin besar cinta dirasakan, semakin besar harapan kepadaNya, semakin besar rasa takut kepadaNya, serta semakin meningkat upaya pendekatan diri kepadaNya..

“ Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

(Qaf 50 :16)

Manusia tidak akan mampu mengenali dirinya sendiri tanpa mengenali Tuhan Yang Menciptakannya. Manusia yang mengenal Tuhannya, tidak akan hidup di dunia ini melainkan dengan pengetahuan bahawa apa yang ada padanya dan yang ada pada manusia datang daripada Allah. Manusia tidak memiliki dirinya dan kekuatan tubuhnya; dan bahawa setiap sesuatu yang ada padanya adalah amanah daripada Allah yang tidak digunakan sesuka hatinya melainkan mengikut yang ditentukan oleh keridhaan Allah. Dan ia amat yakin dan pasti, bahawa Allah sentiasa memerhatikan pelaksanaan amanah ini dan akan membuat perhitungan seteliti-telitinya pada hari yang tidak diragukan lagi ketibaannya suatu hari nanti, yakni hari kiamat..

“Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan (sekecil zarah), nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisiNya.”

(An-Nisa` 4 : 40)

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita fikirkan dan renungkan bersama.. Siapakah DIA di hati kita? Dan siapakah kita di pandanganNya?..

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails