Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Thursday, March 17, 2011

Kumpulan / Akidah Yang Bertentangan Dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah



1.0 PENDAHULUAN

Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah satu kumpulan umat Islam yang pegangan akidah mereka dan amalan-amalan hidup juga metod mereka mengikut apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W dan juga apa yang di pegang dan di hayati oleh sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka dipanggil juga Firaq Najiah (kumpulan Umat Islam yang berjaya dan terselamat) tidak menyeleweng dan tidak mengada-mengada atau mereka-mereka perkara baru dalam agama.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya; “Orang-orang Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu golongan, orang–orang Nasrani berpecah kepada tujuh puluh dua golongan dan umat ku (umat Islam) berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan semuanya masuk neraka kecuali satu. Para sahabat bertanya, siapakah kumpulan itu, Baginda menjawab, mereka ialah yang megikut apa yang aku berpegang kepadanya dan yang dipegang oleh sahabat ku”.

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa umat Islam akan berpecah kepada berpuluh-puluh golongan yang semuanya menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar yang sesat dan jauh dari ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Golongan yang selain daripada golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini ada dua golongan besar iaitu:

Pertama: golongan-golongan mubtadi' (yang mereka–mereka atau mengada-adakan beberapa ajaran baru dalam ajaran agama), seperti golongan Syiah, Khawarij, Mu'jiah, Qadariah dan seumpamanya.

Kedua :golongan-golongan yang sesat menyeleweng jauh dari ajaran Islam seperti semua ajaran-ajaran sesat yang ada di mana-mana sahaja termasuk di Malaysia seperti ajaran Hassan anak Harimau, ajaran, Mat Laksamana, golongan anti hadis, Qadianiah, Bahai'ah, Batiniah dan lain-lain lagi.

2.0 GOLONGAN-GOLONGAN YANG MENYELEWENG

Di sini akan dijelaskan akidah beberapa golongan di atas secara ringkas dan penyeleweng masing-masing :

2.1 Golongan Khawarij

Khawarij mula lahir dizaman Saidina Ali k.w selepas mereka tidak menerima pendapat Ali yang menerima pedamaian dengan Mu'awiah dalam majlis Tahkim. Golongan ini akhirnya berpecah kepada beberapa golongan seperti Haruriah, Syurah, Mariqah, Azariqah, dan lain-lain lagi

Antara aqidah mereka ialah :
Mereka menyatakan Ali salah menerima Tahkim kemudian mengkafirkan Ali. Khalifah boleh di lantik dari orang yang bukan dari keturunan Quraisy dengan syarat orang itu adil. Kalau rakyat tidak menerima Khalifah itu, dia boleh di bunuh. Pelaku dosa besar dikatakan tidak beriman dan tidak kafir tetapi berada di antara keduanya. (Fi manzilah baina manzilatain) Mereka mangatakan umat Islam ynag tidak bersama mereka dikira kafir.


2.2 Syiah

Syiah ialah golongan yang mengikut Ali r.a secara khusus dan mengatakan beliau lebih berhak menjadi Khalifah selepas Rasulullah S.A.W (bukan Abu Bakar r.a, Umar r.a dan Othman r.a), juga menganggap bahawa jawatan Imamah atau Khalifah selepas Ali mestilah dari keturunan Ali. Jika jawatan itu di pegang oleh orang lain, itu mungkin diperolehi oleh orang itu secara zalim, melalui kekerasan atau kerana taqiyyah dari pekak Ali dan keturunannya

Syiah ini ada banyak golongan antaranya Sabai'yah, Ghurabiyyah, Kaisaniyyah, Zaidiyyah dan Rafidah atau Syiah Immaniyyah. Syiah Immamiyyah paling ramai sekarang ini berada di Iran, Pakistan dan lain-lain lagi. Antara akidah mereka ialah:

  1. Mereka menuduh ramai para sahabat Rasulullah S.A.W melanggar perintah baginda seperti dikatakan Abu Bakar r.a dan Umar r.a merampas hak Ali r.a menjadi Khalifah dan menolak wasiat nabi. Dikatakan Abu Bakar, Umar ,Uthman dan Mu'aniyah sebagai empat buah berhala.
  2. Mereka percaya iman-iman mereka mempunyai kedudukan yang tinggi, bersifat maksum, tidak berdosa.
  3. Mereka percaya kepada aqidah taqiyyah terutama apabila berurusan dengan golongan lain khususnya dengan golongan Ahli Sunnah. Mereka merahsiakan pegangan yang sebenar dan melahirkan sesuatu yang berbeza daripada pegangan mereka yang sebenar.
  4. Mereka juga percaya bahawa al-Quran yang ada ini bukan yang sebenar, bahkan telah diubah dan dipinda. Al-Quran yang sebenar berada bersama iman mereka yang kedua belas yang sekarang ini sedang ghaib dan akan muncul di akhir zaman nanti.

2.3 Golongan Mu'tazilah

Golongan ini asalnya adalah pengikut Wasil bin Ata' yang berkata pelaku dosa besar bukan mukmin dan bukan kafir bahkan berada diantara dua kedudukan kafir dan mukmin. (Fi manzilah baina Munzilatain )

Pegangan penting mereka ada lima iaitu :

Tauhid, Adil, Wa'dun, (janji baik kepada orang taat), Wa'id (janji jahat bagi mereka yang jahat ), Manzilah baina Manzilatain dan amar makruf nahi munkir.

Dari segi tauhid mereka berkata sifat Allah adalah zat-Nya. Mereka juga berkata Allah tidak dapat dilihat dihari kiamat nanti

2.4 Gerakan Jemaah Islam Liberal, Satu Kumpulan Sesat

Pada peringkat awal di Indonesia kumpulan ini terdiri dari sekumpulan anak-anak muda Nahdatul Ulama (NU), lahir di Jakarta Timur, Pancaran dan di Ibu Kota Jakarta. Kemudian Luthfi Syaukani seorang pensyarah di Universiti Paramadina, Jakarta membuka laman web sebagai saluran menyebar idea-idea mereka. Dalam bulan Mac 2001 laman web mereka lebih menumpukan kepada jawapan dan penolakan terhadap padangan kumpulan Ahli Sunnah yang membela Islam sebenar.

Selepas itu lahir pula sebuah Lembaga dikenali dengan nama “Jaringan Islam Leberal (JIL)”. Tokoh utama mereka ialah Ulil Abshar Abdulla dan rakan-rakannya. Dikatakan kumpulan ini ada pertalian dengan kumpulan di Malaysia seperti kumpulan anti hadis. Di antara badan yang membiayai gerakan ini ialah Asia Foundation, Ford Foundation dan Sorosh Foundation.

2.4.1 Ajaran-ajaran Salah JIL

Jika dikaji bahan-bahan penulisan pendokong gerakan ini, didapati banyak penyelewengan dan karut yang boleh mengelirukan pemikiran umat Islam antaranya:

i) Menghina Hukum Allah

Tidak ada yang disebut hukum Allah seperti yang difahami oleh kebanyakan orang Islam. Misalnya dikatakan tidak ada hukum Tuhan tentang pencurian, jual beli, perkahwinan, pemerintahan dan sebagainya.

ii) Menyerang Peribadi Rasulullah S.A.W

Bagi mereka Rasulullah S.A.W adalah tokoh histories (sejarah) yang mesti dikaji dengan mengemukakan kritikan-kritikan sehingga tidak hanya menjadi mitos (cerita dongeng) yang dikagumi sahaja, tanpa memandang dan menganggap Baginda sebagai manusia biasa yang banyak kekurangan.

iii) Menyamakan Kedudukan Semua Agama.

Sewaktu kumpulan ini merujuk kepada satu hadis yang bermaksud, “ Bahawa Nabi Muhammad S.A.W seperti satu batu bata yang diletakkan di satu penjuru bangunan yang hampir siap...” Mereka berkata hadis ini bermaksud, “Islam adalah agama yang menyempurnakan agama-agama sebelumnya sahaja bukan membatalkan atau menasakhkan agama-agama itu. Ibnu Arabi mengatakan semua agama sama, semua menuju jalan kebenaran, jadi Islam bukan yang paling benar.

iv) Agama Islam Agama Serah Diri

Muhammad Ali seorang pensyarah di UIAN, Jakarta mengatakan bahawa ayat- ayat 19 dan 85, surah Ali-Imran, perkataan; "Islam" perlu diertikan sebagai ‘agama penyerah diri’.

v) Perikatan Kafir Tidak Diertikan Non-muslim

Dr. Djalaluddin Rahmat berkata, “Dalam al-Quran, perkataan kafir tidak pernah di definisikan sebagai Non-muslim. Definisi kafir sebagai Non-muslim hanya terjadi di Indonesia sahaja.”

2.4.2 Implikasi Buruk Dari JIL

Antara implikasi negatif dan bahaya kumpulan JIL kepada umat Islam ialah:
Pengertian Islam yang asli telah diubah, di mana Islam telah diberi tafsiran tersendiri secara salah.

Mereka berusaha menerbitkan al-Quran edisi berbentuk Kritis, kerana al-Quran yang sebenar perlu diragui.

Fahaman ini dengan mudahnya menolak hadis, dan sanggup menghina perawi hadis yang terdiri dari kalangan para sahabat, tabi’in dan tabi'-tabi’in. Mereka mengemukakan gagasan bahawa pintu Ijtihad terbuka luas dan menganggap sebagai Fiqh Rakyat, sesiapa sahaja boleh melakukan ijtihad walaupun dia orang awam. Mereka sengaja melahirkan keraguan di kalangan umat Islam terhadap Islam dan akibatnya umat Islam akan menjauhi agama Islam yang sebenar.

Sebagai kesimpulan, umat Islam khususnya para ulama perlu memahami bahaya dan penipuan kumpulan gerakan ini dan ulama juga perlu memberi amaran dan penjelasan kepada mesyarakat umum supaya tidak terpengaruh kepada ajaran golongan ini, nanti boleh merosakkan akidahnya.

2.5 Ajaran Sesat

Kita telah lama mendengar mengenai ajaran sesat, tetapi mungkin ramai dari kita yang tidak memahami apa sebenarnya ajaran sesat itu dan apakah bahayanya kepada akidah Islam. Di bawah ini akan dijelaskan dengan ringkas pengertian ajaran sesat, ciri-ciri dan nama-nama beberapa ajaran sesat yang tersebar di Malaysia amnya dan di Kelantan khususnya.

2.5.1 Definisi

Ajaran sesat ialah seseorang yang menganut, mengajar, memberi penerangan atau menyebarkan kepada orang lain apa-apa ajaran atau fahaman atau menjalankan apa-apa istiadat atau perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak atau fatwa Majlis Islam serta bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah. Menurut Tafsir (Pimpinan Ar-Rahman, halaman 4) orang yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha mempelajarinya atau orang yang berpengetahuan agama yang tidak betul kerana dipelajari dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.

2.5.2 Sejarah Kelahiran

Pada tahun 1950an, wujud ajaran sesat di Kelantan dikenali dengan Ajaran Subud. Ajaran sesat yang paling lama usianya ialah Ajaran Taslim yang dibawa oleh Hj. Ahmad Matahari pada tahun 1870an bermula di kg. Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang seterusnya di negeri Kelantan telah diperkenalkan oleh Sulaiman dan Ismail di Kg. Machang. Ajaran ini menyentuh tentang kesucian akidah sebenar. Umat Islam sentiasa terdedah kepada ajaran sesat yang berkembang di Malaysia hasil dari faktor-faktor tasawuf Falsafah atau Teo sufi, Ajaran Batiniah, Ajaran Syiah, Khurafat, amalan bomoh dan tradisi, usaha menjauhkan umat Islam dari al-Quran dan al-Sunnah, kebebasan akal tanpa batas, persatuan seni silat dan lain-lain.

2.5.3 Ciri-ciri ajaran sesat

Sebagai panduan umum, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kertas kerjanya pada 19.6.2000 telah menggariskan ciri-ciri ajaran sesat iaitu:

  1. Guru atau mereka yang membuat pengakuan menerima wahyu.
  2. Mengaku bahawa gurunya sebagai Nabi atau malaikat.
  3. Mempercayai mereka boleh menebus dosa dengan wang.
  4. Mempercayai semua agama adalah sama.
  5. Mempercayai ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad S.A.W.
  6. Mengaku Allah menjelma dalam dirinya.
  7. Mendakwa dirinya sebagai wakil nabi dan boleh memberi syafaat kepada muridnya.
  8. Mempercayai wahyu masih lagi turun selepas wafatnya Nabi Muhammad.S.A.W
  9. Mempercayai orang mati boleh memberi pertolongan apabila disebut namanya.
  10. Mengaku dan mempercayai seseorang itu boleh berhubung terus dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada dalam dirinya.
  11. Boleh memanggil roh orang mati dalam amalan menurun oleh bomoh atau tukang sihir.
  12. Memansuhkan syariat Islam dan membuat syariat baru.
  13. Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk dan tanpa uzur syar’ie.
  14. Amalan Haji tidak semestinya di Mekah, di tempat lain pun boleh juga.
  15. Mengaku diri sebagai Nabi Isa.a.s
  16. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib.
  17. Guru mendakwa tugas-tugas Rasul diamanahkan kepadanya.
  18. Mendakwa ajaran tarikatnya diterima terus dari Rasulullah S.A.W secara jaga (Ilmu Laduni).
  19. Mempercayai orang-orang tertentu tidak mati dan lahir semula sebagai Imam Mahadi.
  20. Mempercayai bahawa bacaan seseorang guru ke atas sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain-lain boleh memberi kesan baik atau buruk.
  21. Mengagung-agungkan keturunan Yahudi sebagai kaum baik dan perlu dicontohi.
  22. Mengaku sebagai Imam Mahadi.
  23. Mendakwa jadi wali sedangkan dirinya bergelumang dengan maksiat.
  24. Menghalalkan nikah adik-beradik.
  25. Mematuhi dengan buta tuli ajaran gurunya walaupun gurunya melakukan kesalahan dan dosa.
  26. Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, anak, isteri dan harta benda kepada gurunya.
  27. Islam seseorang itu tidak sah jika tidak di Islamkan oleh gurunya.
  28. Semua manusia boleh melihat Allah di dunia ini.
  29. Mendakwa dirinya atau gurunya mempunyai mukjizat.
  30. Mendakwa dirinya sebagai penjelmaan sahabat-sahabat Nabi Muhammad.S.A.W
  31. Bersemadi di tempat-tempat gelap, memusatkan fikiran kepada satu-satu hajat.
  32. Jika ada kemusykilan dalam satu-satu ajaran, murid dilarang berbincang sesama sendiri, tetapi dirujuk kepada guru.
  33. Boleh meramalkan kedatangan Imam Mahadi dan hari kiamat.
  34. Pengikut boleh menerima kuasa luar biasa dari guru.
  35. Pengikut lelaki dan perempuan diuji dalam bilik khas dan bersumpah tidak akan menceritakan kepada sesiapa apa yang terjadi dengan guru tersebut.
  36. Pengikut tidak boleh berkahwin dengan bukan pengikut ajaran itu.
  37. Pengikut diwajibkan merahsiakan ajaran Islam, kalau tidak akan ditimpa bala.
  38. Sembahyang tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat.
  39. Nikah mengikut syariat hanyalah mengikut adat. Sebab itu dikehendaki dinikahkan sekali lagi dengan nikah batin.
  40. Percaya kepada makhluk-makhluk seperti kayu, batu atau seumpanya mempunyai kuasa ghaib.
  41. Perbuatan manusia seperti judi, zina dan minum arak serta segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru tarikatnya dan boleh dapat jaminan ampun dari Allah ke atas dosa pengikutnya.
  42. Huruf-huruf dalam kalimah syahadah hanyalah lambang sahaja.
  43. Murid-murid tidak boleh mengahwini wanita-wanita yang diminati oleh gurunya.
  44. Murid-murid tidak boleh mengahwini janda gurunya.
  45. Ibadat sembahyang berpandukan kepada niat sahaja.
  46. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah atau sebaliknya.
  47. Al-Quran mempunya makna batin (isi) dan makna zahir itu kulit tidak berguna.
  48. Islam itu adalah zahir dan batin.

2.5.4 Beberapa jenis ajaran sesat

Pihak Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan dan Jemaah Fatwa Majlis Agama Negeri Kelantan telah mengambil tindakan terhadap beberapa orang tokoh penyebar ajaran sesat serta jenisnya yang tersebar di Kelantan, antaranya:
i. Ajaran Wan Omar - Wakaf Bharu, Tumpat
ii. Tarikah Zikrullah Hassan Anak Rimau (Hassan b. Yaacob) - Tanah Merah.
iii. Ajaran Mohd. Noor b. Seman - Gaal, Pasir Puteh.
iv. Ajaran Daud Majid - Perupok, Bachok.
v. Ajaran bercanggah dengan Ahli Sunah Wal-Jamaah (Wan Ismail b. Wan Hassan) - Tumpat
vi. Ajaran Nabi Isa akhir zaman (Abd. Mutalib b. Hj. Ibrahim) - Tumpat
vii. Ajaran Malmun (Malmun Rabiah / Mariam bt. Ab. Rahman) - Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
viii. Ilmu Tajali ( Hj. Ahmad Laksamana b. Omar)- Kubang Kerian, Kota Bharu.
ix. Tarikat Mohd Yamin (Hj. Mat Yamin b. Abd Rahman)- Tumpat
x. Ajaran Pak Teh selamat-(Awang Teh b Kamal) Batul Jelawat, Bachok
xi. Ajaran ayah Pin

Ajaran sesat yang telah lama lahir dan sekarang lahir semula di Besut dibawa oleh Arifin bin Mohammad. (Ajaran ayah Pin) antara ajaran ini adalah perkampungannya dipanggil Kerajaan Langit, disitu ada reflika Bahtera Nabi Nuh, Sunggai Nil, Beliau sendiri selain dari ada empat isteri ada lagi isteri Nikah Batin iaitu isteri beliau tanpa ada akad nikah yang sah, tidak wajib sembahyang dan lain-lain lagi ajaran karut .

2.6 Kumpulan Anti Hadis

Kumpulan ini diketuai oleh Kasim Ahmad, lahir dan berpusat di Pulau Pinang, diambil dari ajaran Rasyid Khalifah. Kumpulan ini tidak menerima hadis Rasulullah, bahkan cukup dengan berpegang kepada al-Quran sahaja. Mereka berkata di dalam al-Quran ada semua perkara sebab Allah berfirman yang bermaksud: "Kami tidak tinggalkan di dalam Kitab al-Quran sebarang perkara" (yakni al-Quran semua perkara ada disebut di dalamnya)

2.7 Isme-Isme dan Fahaman Ciptaan Barat

Selain itu fahaman-fahaman dan isme-isme ciptaan barat juga bertentangan dengan ajaran dan akidah Ahli Sunnah seperti fahaman sekular, fahaman kebangsaan, pertubuhan freemonson, kelab loin, kelab Rotery dan lain-lain.

Dari penjelasan dan keterangan di atas jelaslah bahawa ajaran sesat atau ajaran yang bercangah dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah ajaran yang tidak berpandu dan bersumber kepada ajaran Islam yang sebenar, bahkan berpandu kepada ajaran rekaan pengasas masing-masing termasuk ajaran-ajaran musuh-musuh Islam dari Barat. Ajaran sesat diikuti oleh ramai orang yang jahil agama. Umat Islam perlu menjauhi diri dari terjebak dengan perangkap ajaran sesat dan isme-isme ciptaan Barat, semoga imannya terpelihara.

3.0 KESIMPULAN

Demikianlah maklumat ringkas tentang pegangan dan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan kumpulan-kumpulan lain yang menyeleweng dan sesat yang lahir dahulu dan sekarang dalam masyarakat Islam termasuk di Malaysia. Ajaran-ajaran tersebut telah dapat mempengaruhi sebahagian umat Islam sehingga ramai yang terjebak dan terpengaruh dengan kumpulan-kumpulan tersebut. Pengikut-pengikut ajaran tersebut sanggup menyebarkan kepada orang ramai. Diharap semoga umat Islam dari kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tidak terpengaruh kepada kumpulan-kumpulan yang menyeleweng dan sesat seperti di atas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails