Terkini


Salam sejahtera kepada semua pelawat-pelawat yang melayari blog ini,semoga anda mendapat manafaat dan sebagai wardah perkongsian ilmu.Sebarang cadangan atau ulasan yang membina amat-amat di alukan.Terima Kasih.


Thursday, July 1, 2010

Larangan Berjudi




SEBELUM kempen piala dunia bermula hinggalah ke hari ini, isu judi bola tetap menjadi buah mulut masyarakat. Ia bertambah rancak selepas sepak mula Piala Dunia 2010 antara pasukan Afrika Selatan menentang Mexico. Bermula dari saat itulah, isu ini kian dibincangkan.

Tidak dinafikan penulisan demi penulisan diterbitkan di akhbar mengingatkan umat akan bahaya judi. Atas dasar inilah Allah SWT mengingatkan hamba-Nya dalam firman yang bermaksud: “Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman.” (Surah al-Zariyaat, ayat 55).
Umat Islam wajib percaya al-Quran adalah kalamullah yang benar. Apabila Allah SWT memberi amaran bahaya judi, ia pasti akan terbukti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama kamu melalui arak dan judi serta menjauhkan kamu daripada mengingati Allah dan solat. Maka berhentilah kamu (dari perbuatan itu).” (Surah al-Maidah, ayat 91).

Ancaman Allah SWT terbukti dengan kes dipapar di media, terbaru di mana seorang lelaki bukan Islam membunuh diri dengan menikam dadanya kerana kalah judi menjelaskan kebenaran wahyu Ilahi.

Beberapa tangkapan turut dibuat pihak polis menerusi ‘Ops Soga’ terhadap bookie yang mengendalikan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010.

Di kala kita sibuk membicarakan mengenai judi bola membabitkan ramai mereka bukan Islam ditangkap, adakah kita sedar umat Islam turut terbabit kegiatan judi nombor ekor. Lihat saja betapa ramai umat Islam membeli nombor ramalan.
Ada juga tergamak membelinya sambil dilihat ahli keluarga yang menunggu di kenderaan. Tidak kurang, membeli nombor melalui sistem pesanan ringkas.

Sesungguhnya tiada yang dapat dibanggakan insan yang menganggap dirinya bertuah hanya dengan memenangi judi. Keseronokan bersifat sementara itu akan lenyap sekelip mata. Mana tidaknya, setiap rezeki diperoleh dengan jalan haram pasti tiada kebaikannya.

Ini jelas apabila Allah SWT sendiri mengingatkan bahawa judi itu membawa kepada permusuhan, kebencian sesama manusia dan menjauhkan insan dari Allah SWT.

Umum mengetahui tabiat buruk ini satu gejala yang menjadikan kaki judi ketagih dan tidak pernah serik. Ketagihan menyebabkan ekonomi sesebuah keluarga lumpuh.

Duit habis di kaunter dan meja judi, perintah Allah SWT diabaikan, keperluan anak dan isteri tidak dipenuhi, hati menjadi keras seperti batu dan kerap berhutang antara kesan buruk daripada judi.

Rezeki dikurniakan Allah SWT harus dibelanjakan sebaiknya, bukan ke jalan haram seperti judi. Ia patut dikongsi bersama keluarga kerana nafkah untuk mereka adalah satu kewajipan bahkan ia peringkat tertinggi dalam bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Satu dinar yang engkau sedekahkan untuk jihad (perang) di jalan Allah, dan satu dinar yang engkau sedekahkan untuk membebaskan hamba, dan satu dinar yang engkau sedekahkan untuk si miskin, dan satu dinar yang engkau sedekahkan untuk keluargamu, maka pahalanya yang terbesar ialah apa yang engkau sedekahkan untuk keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Justeru, tindakan perlu diambil pihak berwajib dan anggota masyarakat bagi membendung masalah ini. Ia boleh bermula dengan penerangan kepada masyarakat bahaya judi, pemantauan berterusan hinggalah tindakan tegas pihak berkuasa agama.

Jika seruan membayar zakat bersungguh dilaksanakan meningkatkan ekonomi, maka perkara sama juga boleh dilakukan demi menyelamatkan ekonomi keluarga Islam.

Sesungguhnya pengharaman judi adalah salah satu rahmat dibawa oleh Islam dan ia hanya dirasai umat dengan berusaha membanterasnya. Jika bukan umat Islam yang bersungguh memerangi judi yang berleluasa dalam masyarakat, siapa lagi yang akan lakukannya. Adalah menjadi tanggungjawab kita memperlihatkan keindahan Islam itu di mata ‘orang lain’.

Oleh Abu Abdillah al Basri
2010/07/01

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails